LANDAS

Chicklet Chooser

Add to Google Reader or Homepage

FeedBurner FeedCount

Cari Blog Ini

Sabtu, 27 Februari 2010

TERAPKAN PENGAJIAN DAKWAH UNTUK SETIAP PELAJAR SEKOLAH AGAMA


TERAPKAN PENGAJIAN DAKWAH UNTUK SETIAP PELAJAR SEKOLAH AGAMA


Firman Allah s.w.t. dalam Surah At Taubah ayat 122 bermaksud: “Satu golongan yang bertekun mendalami ilmu Agama yang bertugas memberi peringatan dan petunjuk kepada kaumnya (orang awam) bila mereka kembali kepada mereka (dari peperangan) supaya mereka ini awas dan memelihara diri dari kemungkaran.”


Agama lain seperti Kristian dan Yahudi telah berjaya melahirkan pendakwah mereka. Mereka menubuhkan institusi khas untuk melahirkan pendakwah yang sanggup berkhidmat di mana sahaja. Saya difahamkan Kristian telah melahirkan 85,000 pendakwah di seluruh dunia. Tak hairanlah mereka mampu bertapak di mana-mana. Mereka bergiat aktif dan dibekalkan dengan wang dan dana yang lebih dari mencukupi untuk mencapai misi mengkristiankan seluruh dunia. Mereka bergabung dan menubuhkan dana demi menjayakan misi mereka.


Pendakwah Islam bagaimana? Negara Islam tidak pernah memikirkan elemen dakwah dalam institusi yang penting. Negara Islam menjadi lubuk wang tapi sayang wang tersebut dicurahkan ke negara yang secara terang-terangan memusuhi umat Islam. Wang dan dunia menjadi kiblat mereka. Pendakwah Islam hanyalah dari kalangan individu dan pertubuhan kecil. Kegiatan mereka hanyalah melalui sumbangan sesetengah individu dan bantuan ehsan.


Pendakwah Islam tidak mampu memfokuskan kerja dakwah kerana terpaksa mencari wang untuk membiyayai kerja dakwah mereka. Malaysia memiliki Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM). Saya kurang pasti apakah fungsi institusi yang digelar "YAYASAN DAKWAH". Pemimpin agama seharusnya sedar dan sepatutnya mereka memikirkan kerja dakwah dari dulu lagi. Mereka seharusnya membuka mata seluas-luasnya tentang fungsi institusi khas yang diwujudkan oleh pihak Kristian seluruh dunia.


Malaysia memiliki banyak sekolah agama. Bayangkanlah berapa ramai pendakwah yang mampu dilahirkan jika semua sekolah agama mempunyai kesedaran betapa pentingnya kerja dakwah. Pelajar-pelajar yang lahir dari institusi agama tidak pernah dilatih secara teori dan praktikal menjadi seorang pendakwah yang mempunyai kemahiran dakwah bila turun ke dalam masyarakat.


Umat terbaik adalah mereka yang melaksanakan tugas dakwah turun ke masyarakat. Sepertimana Firman Allah dalam Al-Quran Surah Ali Imran, ayat 110, bermaksud: “Kamu adalah sebaik-baik Ummat, dilahirkan untuk manusia, kamu mengajak kepada kebaikan, dan kamu mencegah dari kemungkaran, serta kamu beriman kepada Allah.” Hanya hati yang ditanamkan dengan tanggungjawab dakwah sahaja yang mampu bergerak di tengah-tengah masyarakat. Kerja dakwah tak akan dapat di realisasikan jika tidak diasah dari awal, semenjak di alam persekolahan lagi. Rasulullah s.a.w. berjaya mentarbiyah para sahabat dan menyerapkan elemen dakwah di hati para sahabat baginda.


Mereka sedia dihantar walau ke pelusuk mana dalam misi menyampaikan mesej dakwah Islam. Umat Melayu khususnya adalah hasil sumbangan kegigihan para sahabat dalam gerak kerja dakwah mereka. Elemen dakwah telah ditinggalkan dan telah diambil alih oleh mereka yang memusuhi Islam. Akhirnya umat Islam menjadi sasaran mainan dan ujian kerana kegagalan kita mananamkan rasa cinta dan sayang sesama umat.


Kejayaan, kemenangan dan kecemerlangan hanya bagi mereka yang melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar. Inilah yang dinamakan “al-kkhir (الخير). Firman Allah dalam Al-Quran, Surah Ali Imran, ayat 104, bermaksud: “Hendaklah ada di antara kamu satu Ummat (golongan) yang memanggil kepada kebaikan, mengajak berbuat baik dan mencegah kemungkaran dan mereka itulah orang-orang yang menang.”


Cukup teranglah bahawa ada hubungan sebab musabab yang rapat antara luputnya sifat amarah dan kelemahan jiwa para pemuka Agama di bidang amar ma’ruf dan nahi mungkar di satu pihak, dengan kejatuhan ummat atau bangsa di lain pihak. Sama sekali tidak ada sesuatu alasan untuk mengira, bahawa bahagian bumi yang kita diami sekarang ini akan dikecuailikan daripadanya.


Sesungguhnya fungsi dan tanggungjawab dakwah dan para aktivis dakwah dalam rangka pembinaan ummat dan memelihara keselamatannya. Dengan lain perkataan perlaksanaan kerja dakwah wajib dipikul oleh seluruh masyarakat Islam, lelaki dan perempuan dengan harta, tenaga dan fikiran menurut kemampuannya masing-masing.


Firman Allah s.w.t. dalam Al-Quran, Surah An-Nahl, ayat 125: “Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk.”



DAKWAH TERAS KEJAYAAN UMMAH



Laporan Daripada: LANDAS Langkawi


0 ulasan:

 

Pengikut