Apa untungnya orang melayu bersatu dalam Islam?
Keluhan hati aktivi LANDAS Langkawi
Pandangan ini bersandarkan pengalaman kami aktivis LANDAS di lapangan. Saya merasakan amat perlunya parti politik melayu bersatu dalam usaha mendaulatkan Islam. Kepayahan PBT melaksanakan tugas dalam penguatkuasaan contohnya tidak akan dapat di lakukan kerana terlalu menjaga hati kerana takut pengundi bukan Islam lari. Samada PAS atau UMNO kedua-duanya menghadapi masalah yang sama. Walau bagaimana pun masalah ini adalah ciptaan bekas pemimpin yang telah memerintah selama 22 tahun.
Dia sanggup melevelkan Islam dengan berbagai jenama yang menakutkan orang bukan Islam hanya kerana mahu terus memerintah. Persempadanan semula kawasan pilihan raya contohnya di mana orang ini telah menjadikan orang bukan Islam sebagai penentu kemenangan. Keadaan ini mahu tak mahu akan menyebabkan wakil rakyat Islam terpaksa mengikut kehendak mereka yang mengundi sekalipun ianya bertentangan dengan asas yang mereka bawa.
Jika keadaan ini terus berlaku percayalah Islamlah yang akan dipinggirkan. Di Selangor dengan rampasan arak dan di Kedah (Langkawi) pula dengan pusat hiburannya. Gejala manusia tak patuh undang-undang berleluasa kerana demi menjaga hati takut-takut merajuk. Apabila politik di terjemahkan begini maka masyarakat menganggap siapa sahaja yang memerintah adalah sama. Di Langkawi saya dapat rasakan apa yang saya maksudkan di ruangan ini.
PBT langsung tidak bermaya dalam menangani pusat hiburan yang beroperasi sehingga ke pukul 4 pagi. Apa yang kami usahakan dianggap oleh sesetengah pihak sebagai kacau daun. Mereka yang dahulunya menjadi kawan kini bermasam muka kerana mengaggap usaha kami memburukkan nama mereka. Bagi kami sesiapa pun yang memegang tampuk pemerintahan, cara kami adalah konsisten iaitu membantu. Membantu tak semestinya hanya memuji. Kami tak mahu menjadi mereka yang hanya mengkritik tetapi dalam masa yang sama memberikan pandangan.
Ada di antara sahabat saya yang dahulunya hanya mengkritik tetapi setelah dapat kuasa kerjanya hanya mengeluh tanpa mahu berbuat apa-apa untuk memperbaiki apa yang di kritiknya suatu masa dahulu. Inilah akibatnya apabila mendahulukan politik. Mereka bercakap tentang negara Islam setiap masa tetapi apakah usaha mereka untuk mendaulatkan Islam?
Yang bulat takkan datang bergolek dan yang pipih takkan datang melayang. Nasi pun kalau tak disuap takkan sampai ke mulut. Kepada sahabat saya yang berada di luar sana, di sini sekali lagi saya menjemput saudara sekalian untuk bersama kami menerokai uslub dakwah baru dalam usaha merialisasikan umat yang cintakan Islam. Kita terjun ke tengah masyarakat. Biar kita menyampaikan risalah Islam kepada mereka. Kita tidak akan dapat melihat bentuk Islam yang syumul sekiranya kita hanya mengharapkan masyarakat datang ke masjid untuk mencari Islam.
Para da’i (pendakwah) merentasi politik kepartian dan berhadapan dengan semua peringkat serta kelompok manusia. Setiap individu muslim yang mukallaf wajib berdakwah, samada manusia suka ataupun tidak. Kerja dakwah full time, bukan part time. Mesej dakwah jelas membawa berita gembira dan peringatan. Dakwah tetap diteruskan walaupun terpaksa menghadapi resiko daripada kawan atau lawan. Hinggakan Nabi Musa a.s. diperintahkan Allah s.w.t. menyampaikan mesej dakwah kepada Firaun yang zalim dan melampui batas walaupun dakwah tersebut ditolak.
(اذهب الى فرعون انه طغى قال رب اشرح لى صدرى ويسرلى أمرى واحلل عقدة من لسانى يفقهوا قولى)
Mohd Ali bin Abdullah
Pengerusi dan aktivis LANDAS Langkawi
0 ulasan:
Catat Ulasan