KURSUS PENGUATKUASAAN UJIAN ALKOHOL
Langkawi - LANDAS Langkawi telah di jemput oleh Pejabat Agama Daerah Langkawi untuk menghadiri kursus ujian alkohol di Hotel Grand Contenantle, Pokok Asam, Langkawi. Difahamkan kursus seumpama ini adalah pertama kali diadakan yang melibatkan AADK, Jabatan Kimia, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah. Kehadiran peserta seramai lebih kurang 50 orang, yang turut dihadiri oleh Syeikh Muhammad Suhaimi bin Haji Saleh selaku Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa JHEIK, dan Tuan Syeikh Abdul Ghani b Haji Othman selaku ketua Pendakwa Syarie Negeri Kedah. Peserta yang turut hadir dikatakan dari seluruh Pejabat Agama Daerah di Negeri Kedah. Ini adalah langkah awal ke arah penguatkuasaan yang
lebih agresif.
Pegawai Agama Daerah Langkawi, Tuan Syeikh Mohd Noor Ismardi bin Ismail, telah memohon kepada kerajaan negeri agar dapat membantu Pegawai Penguatkuasa Agama Langkawi untuk membuat operasi sekurang-kurangnya 2 bulan sekali. Bagi Daerah Langkawi sendiri dan pihak Pejabat Agama Daerah Langkawi akan mengadakan operasi sekerap mungkin dalam usaha mengurangkan gejala maksiat semaksima mungkin. Majlis penutupan program ini, dirasmikan oleh Tuan Syeikh Fakrullah selaku Penolong Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah. Terima kasih kepada Tuan Pegawai Agama Daerah Langkawi kerana keperihatinan beliau di atas pandangan yang pihak LANDAS lemparkan selama ini.
Malam tadi buat pertama kalinya Sdr Mohd Ali dan rakan-rakannya dalam LANDAS mengikuti tugas penguatkuasaan JHEIK ke atas peminum arak. Agak menarik selain dapat melaksanakan perintah Allah. Pihak LANDAS Langkawi sedikit merasa terkejut apabila ada di kalangan muslimat JHEIK yang turut serta dalam program tersebut. Bagi pihak LANDAS ada sedikit penambahbaikan yang perlu ada pada setiap individu penguatkuasa.
Pegawai Penguatkuasa dirasakan sangat perlu diberikan ilmu Uslub Ad-Da’wah dan Fiqh Ad-Da’wah selain ilmu undang-undang Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kedah. Ini perlu kerana penguatkuasaan bukan hanya bertujuan menangkap, juga perlu memberi kefahaman Islam kepada mereka yang telah ditangkap. Menangkap mereka yang minum arak tidak mendatangkan penyelesaian kerana mereka masih tidak faham akan larangan syarak. Selepas didenda atau dilepaskan mereka akan mengulangi perkara yang sama. Pegawai Penguatkuasa hendaklah dibekalkan risalah bimbingan dan panduan cara hidup Islam.
Disko Enikma dan Aseanea Disko ini adalah lokasi pertama pihak LANDAS bersama JHEIK dalam operasi arak pada malam 24 Februari 2010. Pihak LANDAS menjangkakan tiada orang berdisko pada malam tersebut tapi sebaliknya apa yang berlaku. Disko dipenuhi pengunjung terutamanya anak Melayu Islam. Tak kurang juga spesis pondan turut serta berdisko. Di sini seramai 16 orang pengunjung melayu positif alkohol. Mereka dibawa ke pejabat agama untuk diuji sampel darah sebelum dibawa ke Balai Polis Langkawi untuk diambil tindakan selanjutnya. Tuan Syeikh Muhammad Suhaimi bin Haji Saleh turut serta pada malam tersebut..
Pengalaman Berintraksi dan Berkomunikasi dengan Bounxer.
Sementara Pegawai-pegawai Penguatkuasa Agama menjalankan kerja-kerja mereka, Saudara Mohd Ali Abdullah bersama Ustaz Deddy mengambil kesempatan mengedar risalah tentang bahana arak dan harga diri seorang muslim. Mereka berdua berjaya mengedar banyak risalah dan berharap ia dapat memberikan sedikit input kepada mereka yang sempat menerima buah tangan dari aktivis LANDAS. Tiba-tiba Ustaz Deddy mencuit bahu Mohd Ali dan mengajak Mohd Ali bersemuka dan mendampingi seorang bounxer yang duduk di sudut ruang disko tersebut. Agaknya dia takut dengan kehadiran ramai petugas operasi. Dengan badan yang tegap dan misai yang lebat amatlah sesuai jika dia dipanggil dengan nama Bounxer. Mungkin nama tersebut adalah merupakan satu kebanggaan kepada mereka. Beliau dapat menerima segala luahan hati aktivis LANDAS.
Apabila ditanya mengapa dia memilih kerja sebagai seorang bounxer, beliau menjawab bahawa hanya kerja itu sahaja yang dapat beliau lakukan. "Saya tidak mempunyai kelayakan untuk mendapatkan kerja yang baik kerana tidak mempunyai sijil", itulah kata-kata yang dapat aktivis LANDAS cungkil dari mulut beliau. Kali kedua pihak LANDAS memasuki disko ini mendapat tentangan dari beliau dan tidak membenarkan masuk, tetapi kedatangan kali ini agak berlainan. Beliau sedia mendengar pandangan dan nasihat petugas LANDAS. Semoga Allah memberi taufik dan hidayah kepada hambaNya ini.
Pusat Hiburan Cabar Perundangan PBT
Nampaknya pusat hiburan di Langkawi seolah-olehnya mencabar pihak berkuasa tempatan (PBT). Pusat hiburan masih beroperasi sehingga pukul 4 pagi dan juga beroperasi pada malam Jumaat. Juga masih terdapat banyak pusat hiburan tidak mempunyai lesen. Sejak akhir-akhir ini wujud perlumbaan pengusaha pusat hiburan dan rumah urut beroperasi tanpa mematuhi undang-undang yang telah di tetapkan oleh PBT.
Hal ini berlaku barangkali kerana mereka tidak pernah diambil tindakan sekali pun terang-terangan melanggar undang-undang. Barangkali peniaga Melayu yang menggunakan kios kecil di tepi jalan yang tidak boleh beroperasi tetapi tidak mengapa kalau pengusaha pusat hiburan berbuat demikian. Ini adalah salah satu masalah yang menjadi rungutan orang ramai khususnya peniaga melayu. Mereka hanya mampu menggunakan kios kecil buatan sendiri.
Seperti biasa aktivis LANDAS dengan caranya tersendiri, iaitu menyampaikan mesej dakwah disamping membantu penguatkuasaan. Ustaz Deddy berbual mesra tanpa memarahi anak muda yang berasal dari Kelantan. Mereka mendengar dengan tekun akan setiap ayat yang keluar dari mulut ustaz Deddy. Pihak LANDAS akan meneruskan pendekatan dakwah lapangan dan akan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berminat. Aktivis LANDAS tetap berpegang dengan peringatan Allah dalam Al-Quran Ali Imran (110):”Kalian adalah sebaik-baik Ummat, dilahirkan untuk (kemaslahatan) manusia, kalian mengajak kepada kebaikan, dan kalian mencegah dari kemungkaran, serta kalian beriman kepada Allah”.
0 ulasan:
Catat Ulasan