Chicklet Chooser

Add to Google Reader or Homepage

FeedBurner FeedCount

Cari Blog Ini

Jumaat, 15 Ogos 2008

DAKWAH DI KALANGAN MASYARAKAT CINA

DAKWAH DI KALANGAN MASYARAKAT CINA

Oleh

Ann Wan Seng
Setiausaha Kehormat MACMA


1. PENGENALAN

Masyarakat Cina membentuk lebih kurang 30 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia. Mereka bukan sahaja menguasai bidang ekonomi tetapi juga memainkan pernan yang penting di dalam politik dan pemerintahan negara. Kebanyakan daripada orang Cina tinggal di kawasan bandar dan membentuk komunitinya yang tersendiri sehingga terbentuk penempatan yang dikenali sebagai ?China Town? dan ?kampung baru?. Kedudukannya ini membolehkan mereka hidup berdikari dan mampu membentuk jaringan perniagaannya sendiri. Namun begitu, masyarakat Cina bukan merupakan satu masyarakat yang tertutup. Kalau dibandingkan dengan masyarakat yang lain, orang Cina adalah bersikap fleksibel, mudah menyesuaikan diri dan menerima perubahan yang berlaku. Sebab itulah, orang Cina boleh tinggal di mana-mana kerana keupayaannya mengadaptasikan dirinya dengan keadaan persekitarannya. Ini memberikan kita suatu petunjuk betapa orang Cina memiliki kesedaran politik dan sosial yang tinggi. Cuma dalam aspek-aspek yang berkaitan dengan budaya dan bahasa mereka agak bersikap defensif.

2. SENARIO DAKWAH DI KALANGAN ORANG CINA

Orang Cina merupakan golongan yang paling ramai memeluk Islam di Malaysia berbanding dengan kelompok etnik yang lain. Kenyataan ini berdasarkan kepada jumlah pengIslaman yang dijalankan oleh pihak berkuasa agama dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti PERKIM, MACMA dan Persatuan Darul Fitrah. Kuantiti orang Cina yang memeluk Islam didapati semakin meningkat daripada semasa ke semasa. Begitu juga daripada segi kualiti orang Cina yang memeluk Islam juga menunjukkan suatu tendensi yang amat positif. Kalau dahulu, orang Cina yang memeluk Islam terdiri daripada golongan kelas bawahan tetapi kini ramai yang datang daripada lapangan pekerjaan profesional dan menduduki strata sosial kelas pertengahan.

Walaupun faktor perkahwinan masih menjadi alasan utama seseorang memeluk Islam tetapi kefahaman dan penyebaran meluas informasi mengenai Islam menjadi di antara faktor yang turut mendorong orang Cina memilih Islam sebagai agama anutannya. Usaha-usaha terancang yang dilakukan oleh pihak barat untuk memburuk-burukkan Islam tidak memberikan banyak kesan terhadap proses dakwah di kalangan orang Cina. Sebaliknya ia menjadi satu rangsangan untuk mereka mendapatkan maklumat mengenai Islam daripada pelbagai sumber yang lebih berautoriti.

Orang Cina merupakan golongan masyarakat yang kritikal. Mereka sering membuat penilaian dan perbandingan sebelum membuat sesuatu keputusan. Oleh itu, usaha-usaha untuk membetulkan persepsi masyarakat Cina harus dilakukan secara konsisten bagi menyakinkan mereka bahawa Islam tidak pernah cuba menghakis hak dan menghilangkan identiti mereka. Agama Islam adalah milik setiap manusia dan ia tidak terbatas kepada orang-orang Melayu dan Arab sahaja. Untuk menarik orang Cina kepada Islam memerlukan kesungguhan politik di samping gerak kerja dakwah yang tersusun dan menepati kehendak sasarannya.

Bagi merancakkansenario pengIslaman dan kegiatan dakwah di kalangan orang Cina, halangan bahasa dan budaya harus diatasi dengan umat Islam berusaha memahami dan mengenali kelompok etnik itu dengan lebih dekat. Apa yang lebih penting lagi umat Islam harus berusaha melihat daripada perpestif orang Cina supaya usaha dakwah yang dijalankan dapat disesuaikan denagn selera mereka tanpa mengorbankan prinsip asas yang terhapat dalam ajaran Islam.

3. CABARAN DAKWAH KEPADA ORANG CINA

Orang Cina sentiasa menganggap kebudayaannya lebih tinggi daripada kebudayaan bangsa yang lain. Justeru itu, tidak mudah untuk mereka menerima budaya masyarakat lain. Dalam hal ini, umat Islam perlu memajukan diri dan menunjukkan kemampuan yang tinggi di dalam kehidupan untuk menyakinkan orang perlu majudaripada segi ekonomi, pendidikan, sosial dan politik untuk menarik perhatian dan minat orang Cina kepada Islam. Dalam konteks di Malaysia, orang Melayu menjadi rujukan kepada agama Islam. Sekiranya orang Melayu sendiri tidak yakin dan tidak beramal dengan Islam, bagaimana kita hendak mengharapkan orang Cina untuk menerima. Orang Melayu seharusnya berada di saf yang paling hadapan dengan membawa pendekatan dakwah yang progresif. Mereka perlu menghapuskan prasangka berdasarkan ras dan etnik sebagai satu saluran untuk merapatkan jurang dengan orang Cina.

Usaha dakwah kepada orang Cina tidak mungkin akan berkesan kalau politik perkauman dan sentimen chauvanistik terus menjadi ideologi dan matlamat perjuangan. Islam harus disampaikan secara global dengan mengambil kira nilai-nilai yang wujud dalam masyarakat lain. Islam tidak pernah mengenakan sekatan yang keterlaluan sehingga menyebabkan orang merasa sukar untuk mendekatkan diri dengan para penganutnya. Umat Islam termasuk juga orang Melayu harus merapatkan diri mereka dengan orang Cina sama ada dalam bentuk yang formal atau tidak. Umat Islam harus bersikap terbuka kalau mereka hendak orang lain bersikap terbuka terhadap Islam. Sikap terbuka dan sederhana tidak sama dengan berfahaman liberal. Kedua-dua konotasi itu harus dibezakan supaya Islam tidak disamakan dengan fahaman-fahaman barat yang lain.

Orang Cina boleh menerima Islam kalau mereka dapat diyakinkan bahawa sosio-budaya, bahasa dan identiti keturunan meeka tidak hilang selepas mereka memeluk Islam. Soal akidah dan kepercayaan harus diletakkan pada kedudukan yang utama berbanding dengan hal yang remeh-temeh yang boleh membantutkan usaha-usaha dakwah seperti persoalan makan guna tangan dan penyepit, fesyen pakaian, bentuk masjid dan sebagainya. Dalam soal akidah, tidak ada kompromi dalam Islam. Tetapi dalam soal yang berkaitan dengan cara hidup wujud toleransi dalam Islam selagi mana ia tidak menjurus kepada keburukan, kejahatan, kemungkaran dan perkara-perkara yang negatif. Perasaan saling hormat menghormati perlu ada bagi memasti siratulrahim dan hubungan mesra antara kaum dapat diwujudkan. Ia menjadi kunci dan asas bagi merentasi segala cabaran yang merintangi perjalanan untuk menyampai dakwah kepada orang Cina khususnya dan masyarakat non muslim secara umumnya.

4.KESIMPULAN

Perbezaan bangsa, keturunan, warna kulit, bahasa dan budaya bukan merupakan halangan berdakwah kepada orang Cina. Masalah yang paling besar ialah sikap umat Islam yang tidak lagi mahu berdakwah dan tidak memahami apa perlunya berdakwah. Kejayaan dakwah kepada orang Cina akan membuahkan banyak hasil yang positif kepada umat Islam. Selain ia dapat meramaikan umat Islam, dengan kemasukan orang Cina ke dalam Islam ia dapat memperkuatkan kedudukan ekonomi orang Islam yang nampaknya masih jauh ketinggalan. Kekuatan ekonomi, semangat ukhwah dan persaudaraan Islam sejati akan membentuk satu kuasa yang maha hebat bagi memastikan proses perkembangan Islam terus mendapat momentumnya untuk menjadi alternatif dan solusi kepada segala permasalahan yang dihadapi oleh umat manusia sejagat tidak kira di mana sahaja mereka berada.

Read More...

STRATEGI DAKWAH KPD MASYARAKAT INDIA

STRATEGI DAKWAH KEPADA MASYARAKAT INDIA


Kertas kerja ini disediakan untuk membantu para pendakwah supaya dapat mengenali latar belakang keagamaan, kebudayaan dan kepercayaan masyarakat India di Malaysia. Perbincangan di dalam kertas kerja ini di fokuskan kepada masyarakat India yang menganut agama Hindu supaya para pendakwah dapat mengaplikasikan teknik dakwah yang khusus dan berkesan.

1.0 PENDAHULUAN

Migrasi masyarakat India ke Malaysia berlaku secara besar-besaran di awal abad ke 18. Sebahagian besar daripada mereka telah dibawa masuk oleh penjajah British untuk bekerja di sektor perladangan dan sebahagian lain pula bekerja sebagai buruh yang terlibat dalam pembinaan jalan raya dan jalan keretapi.

Dari jumlah penduduk Malaysia seramai 23.27 juta orang (2000), hampir 9% atau 2.0 juta orang terdiri daripada orang-orang India. 70% dari masyarakat India di Malaysia adalah berketurunan Tamil. Selebihnya terdiri daripada keturunan Telegu, Malayalee, Punjabi, Bengali dan Ceylonese Tamil. Hampir 80% daripada masyarakat India di Malaysia menganut agama Hindu.

2.0 PENGENALAN KEPADA AGAMA HINDU

Perkataan Hindu tidak ada di dalam kitab-kitab agama Hindu yang awal. Agama Hindu pada mulanya dikenali dengan nama Sanadhana Dharma (agama yang kekal). Penganut Hindu percaya kepada banyak dewa dan dewi yang jumlahnya sehingga ke 330 juta.

Agama Hindu telah disusun semula ke dalam enam mazhab (sub sects) yang besar oleh Athi Sankara Chariya yang mana setiap mazhab mempunyai dewanya tersendiri. Keenam-enam dewa ini pula dikatakan berasal dari Brahman (sumber) yang sama. Mazhab-mazhab tersebut adalah Sowram iaitu pemujaan matahari, Saivam bertuhankan Siva, Kowmaram bertuhankan dewa Subramaniam, Vaishnawam bertuhankan Vishnu, Ganapathiyam bertuhankan dewa Ganapathy dan Saaktham bertuhankan Sakthi (tuhan wanita). Semua mazhab mempunyai pengikut masing-masing kecuali Sowram. Setiap mazhab mempunyai cara beribadah, pemujaan dan mantra tersendiri.

Selain daripada itu, terdapat Trimurthi atau rangkaian tiga tuhan iaitu Brahma, Vishnu dan Siva. Setiap tuhan mempunyai tugas masing-masing iaitu Brahma tuhan yang mencipta, Vishnu tuhan yang memberi perlindungan dan Siva tuhan yang menghancurkan. Dinyatakan dalam kitab Hindu, Chandogya Upanishad (Chap 6 Sec 2 Verse 1) Ekam Evad Vitiyam yang bermaksud “Dia hanya satu dan bukan dua”. Dalam Rig Veda, Vol.6,45:16: disebut "There is only One God, worship Him."

Konsep ketuhanan Hindu berasaskan kepada penyembahan patung dan berhala yang mempunyai beberapa ciri tertentu. Ada tuhan disembah berupa manusia (seperti Rama, Subramaniam, Krishna, dll), haiwan (monyet, lembu, ular, dll) dan alam semula jadi (api, matahari, gunung-ganang, dll). Shwetashvatara Upanishad 4:19 menyatakan Na tasya pratima astiyang bermaksud “Tidak ada wajah atau rupa bagiNya”. Manakala dalam kitab Panniru Thirumurai/Thevaram yang lazim digunakan oleh masyarakat Hindu di Malaysia disebut karpanai kadantha jothi KARUNAI yeh uruvam aagiyang bermaksud “Tuhan dalam bentuk Nur yang tidak dapat dibayang rupaNya, sifatNya berupa Rahman dan Rahim”.

Pada kepercayaan penganut Hindu, tuhan boleh menjelma menjadi manusia dan haiwan. Institusi ketuhanan Hindu sama seperti manusia, di mana mereka juga beristeri dan mempunyai anak. Walau bagaimanapun dalam kita suci awal agama Hindu, Shwetashvatara Upanishad 6:9 menyatakan na casya kas cij janita na cadhipah” yang bermakna “Dia tidak dilahirkan atau tidak melahirkan”.

Manakala lembu pula merupakan binatang yang suci dalam agama Hindu dan diharamkan membunuhnya. Sebaliknya terdapat bukti di dalam kitab Rig Veda lembu pernah dikorbankan dan dipanggang dalam upacara keagamaan. Matha, Pitha, Guru, Deva pula merupakan konsep ibadah yang penting.

Kitab-kitab suci agama Hindu yang penting adalah seperti Veda (iaitu Rig Veda, Yajur Veda, Soma Veda dan Atharva Veda), Upanishad, Mahabaratha, Bhagavadgita, Ramayana, Purana dan Tantaras serta kitab Panniru Thirumurai dan Thevaram.

Konsep ibadah dalam agama Hindu lebih kepada penyembahan berhala dan menyambut perayaan keagamaan seperti Deepavali, Ponggal, Thaipusam dll. Penganut Hindu percaya mereka akan dilahirkan semula setelah mereka mati. Walau bagaimanapun mereka tidak semestinya dilahirkan semula sebagai manusia. Ramai juga yang percaya tentang adanya syurga dan neraka.

Institusi sosial dalam agama Hindu banyak dipengaruhi oleh sistem kasta. Pada asalnya hanya terdapat empat kasta iaitu Brahmin, sudra, vyasa dan satria. Kemudian sistem kasta ini berkembang sehingga melebihi dua ribu kasta. Ada kasta yang bersandarkan pekerjaan turun temurun. Biasanya seseorang itu tidak boleh menukar kastanya. Akibat dari sistem kasta yang mendiskriminasi, adalah sukar untuk melihat kesamaan dan persaudaraan dalam masyarakat Hindu.

Wanita tidak mempunyai sebarang hak asasi. Sebelum berkahwin dia patuh kepada ibubapanya dan setelah berumah tangga terpaksa akur kepada suaminya. (Mahabharata 3:231.) Seorang wanita tidak boleh berkahwin semula setelah kematian suaminya. Wanita juga tidak boleh mewarisi harta keluarganya ataupun harta suaminya. Lazimnya wanita Hindu lebih suka mati sebelum suaminya mati.

3.0 KEBUDAYAAN MASYARAKAT INDIA

Masyarakat India merupakan satu kelompok manusia yang amat kaya dengan kebudayaan dan tradisi. Hampir kesemua amalan masyarakat India mempunyai nilai-nilai serta maksud yang tersirat. Namun kebudayaan dan keagamaan sering tidak dapat dipisahkan. Antara amalan-amalan yang popular di kalangan masyarakat India adalah seperti menyambut kelahiran, upacara memberi nama, menindik telinga, mencucuk hidung, meletak tanda pada dahi dan mencapai baligh. Selain itu makanan, perkahwinan dan kematian di kalangan masyarakat India juga berbeza dari kebudayaan masyarakat yang lain di Malaysia.

Pakaian tradisional masyarakat India adalah seperti sari, veesthi, pakaian Punjabi, gurtha dll. Pemakaian baju dan seluar moden diterima secara luas.

Memakan makanan di atas daun pisang merupakan salah satu adat asas masyarakat India. Daun pisang digunakan atas sebab kesihatan dan kebersihan. Manakala makanan popular orang India adalah seperti tosai, capatti, idli, vade, puri dll. Ramai orang-orang India mengamalkan pemakanan sayur-sayuran (vegetarian) di atas faktor keagamaan.

Pokok pisang mempunyai nilai tradisi yang tinggi. Biasanya pokok pisang digunakan di dalam upacara perkahwinan, menyambut hari kelahiran dan menyambut hari-hari kebesaran keagamaan. Pokok pisang melambangkan kesinabungan atau persaudaraan dan kesejahteraan yang berkekalan.

Salah satu daripada tradisi orang India adalah kolem iaitu lukisan di atas lantai. Perkataan kolem dalam bahasa Tamil membawa maksud indah atau cantik. Kolem juga menggambarkan perasaan seseorang. Kolem dibuat dengan tepung beras atau beras yang dibancuh dengan warna.

Memecah buah kelapa di upacara keagamaan dan keramaian membawa maksud untuk menyelesaikan segala kebuntuan dan masalah. Di samping itu kelapa juga dipecahkan dengan diiringi doa supaya tuhan menghancurkan ketakaburan seseorang seperti mana kelapa itu berkecai, dan menyucikan hati mereka seperti isi kelapa yang putih.

Membunyikan loceng di kuil dan memainkan alat-alat muzik seperti melam (gendang) dan nadaswara adalah bertujuan untuk menarik perhatian penganut Hindu terhadap tuhan mereka dan menjauhkan suara-suara yang sumbang dari didengar oleh tuhan.

Pottu atau meletak tanda bulat di dahi mempunyai fungsi sosial dan keagamaan. Tanda merah (kum-kum) adalah simbol Dewi Sakti, tanda kuning atau cendana membawa maksud Dewa Siva dan tanda hitam pula bertujuan menolak bala dan sihir. Tanda hitam juga melambangkan seseorang itu masih dara. Kini pelbagai warna digunakan untuk menyesuaikan diri dengan suasana dan keadaan. Biasanya abu putih diletak di dahi melambangkan kesucian.

4.0 TANGGAPAN PENGANUT AGAMA HINDU TERHADAP AGAMA ISLAM

i. Agama Islam adalah untuk mereka yang lahir di dalam keluarga Islam sebagaimana agama Hindu bagi mereka yang lahir dalam keluarga Hindu.

ii. Agama Islam dan agama Hindu adalah dari tuhan yang sama. Oleh itu kedua-dua agama ini adalah benar.

iii. Semua agama boleh diterima. Tidak salah seorang penganut Hindu mengamalkan ajaran agama lain termasuk Islam.

iv. Orang Islam yang megerjakan solat lima waktu, puasa dan haji serta mengamalkan sunnah dan berpegang teguh pada ajaran Islam kadang kala dilihat sebagai fanatik.

v. Akibat publisiti negetif oleh media barat, Islam dilihat sebagai agama keganasan. Kebanyakkan Negara Islam terlibat dalam peperangan.

vi. Orang Islam menyembah Kaabah. Orang Islam dilihat tawaf, rukuk dan sujud di hadapan Kaabah.

vii. Masyarakat Islam lemah/pasif dan sentiasa perlu dibantu. DEB dan RMKe9.

viii. Seseorang yang memeluk agama Islam akan dipaksa oleh orang Islam untuk meninggalkan keluarga dan kebudayaan asalnya.

ix. Satu kehinaan bagi keluarga apabila seseorang ahli keluarga memeluk agama Islam kerana dia tidak boleh menyertai upacara kematian keluarga Hindu.

x. Masuk Islam dilihat sebagai masuk Melayu. Pakai songkok dan baju Melayu serta bercakap dalam bahasa Melayu dan mengamalkan kebudayaan Melayu.

xi. Ajaran Islam menghina agama Hindu. Misalnya penyembelihan lembu secara besar-besaran. Lembu dianggap sebagai binatang yang suci.


5.0 KENAPA PERLU BERDAKWAH KEPADA MASYARAKAT HINDU

i Untuk memperkenalkan Islam kepada orang-orang Hindu sebagai agama yang sempurna.

ii. Untuk memberi gambaran yang baik tentang Islam supaya orang-orang Hindu bersikap positif terhadap Islam.

iii. Untuk menyampaikan Islam dengan hikmah supaya tidak mendatangkan perasaan takut.

6.0 PENDEKATAN DAKWAH KEPADA MASYARAKAT HINDU

i. Mengadakan dialog dan perjumpaan dengan pelbagai pertubuhan dan masyarakat Hindu seperti Persatuan Hindu Malaysia, Persatuan Belia Hindu, Kelab Bell Tamil, dll.

ii. Mengadakan kerjasama dengan pertubuhan Hindu dalam berbagai program dan perkara yang melibatkan kepentingan bersama seperti gotong-royong, Rukun Tetangga, kempen kesihatan, kem pendidikan, dll.

iii. Melakukan ziarah kepada masyarakat Hindu. Jika masyarakat Islam menziarahi rumah kematian orang Hindu atau menziarahi orang sakit, InsyaAllah, ia merupakan dakwah yang paling berkesan. Bawalah buah tangan untuk menambat hati mereka.

iv. Membantu masyarakat Hindu yang menghadapi pelbagai kesusahan seperti tidak mampu untuk menyara keluarga dan pendidikan anak-anak.

v. Mendedahkan masyarakat Hindu terhadap realiti sebenar ajaran agama Islam, samada dari segi ajaran, tamadun dan pencapaian ilmu pengetahuan. Boleh menggunakan kaedah sains untuk membuktikan kebenaran al Quran.

vi. Penerangan dan penyebaran maklumat Islam perlu dibanyakkan dalam bahasa ibunda, misalnya dalam bahasa Tamil.

vii. Sistem institusi kewangan Islam seperti perbankan, pajak gadai dan takaful perlu dijelaskan untuk menarik minat masyarakat Hindu terhadap agama Islam.

viii. Pendakwah perlu memahami sosio-budaya serta pemikiran masyarakat Hindu yang menjadi sasaran dakwah. Supaya tidak menimbulkan sebarang reaksi yang negetif.

ix. Memanjangkan masa siaran radio dan TV Islam dalam bahasa Tamil. Beri peluang yang lebih luas kepada saudara baru India untuk muncul di kaca TV.

x. Menyelitkan rancangan-rancangan bercorak propaganda untuk menarik orang-orang Hindu kepada Islam. Misalnya bukti-bukti dari kitab Hindu yang menolak penyembahan berhala serta bukti-bukti dalam kitab Hindu tentang kedatangan Nabi Muhammad s.a.w.

xi. Agensi-agensi kerajaan perlu mengadakan penerangan secara terus terang berkaitan agama Islam. Kaedah ini memberi lebih banyak maklumat kepada masyarakat.

xii. Jangan sesekali sentuh isu kasta atau mempersendakan tuhan Hindu di hadapan penganut Hindu kerana ianya boleh mencetuskan keadaan ketegangan.

xiii. Mencampurkan pelajar/mahasiswa Hindu untuk tinggal bersama pelajar Islam di asrama di pusat pengajian tinggi. Dengan kaedah ini konsep ibadah dan akhlak Islam dapat dikenalkan kepada pelajar Hindu.

xiv. Pamerkan akhlak yang terpuji dan tawanlah kepercayaan mereka terhadap agama Islam.

xv. Jangan memperkecilkan agama Islam atau pemimpinnya di hadapan orang-orang Hindu. Misalnya mengatakan ‘hudud itu zalim’ atau menghina Nabi Muhammad s.a.w. Masyarakat Hindu tidak akan menghormati agama Islam di masa akan datang.

xvi. Jangan panggil orang Hindu dengan panggilan ‘keling’, ‘Hindu’, ‘India’, ‘pariah’ dsb. Adalah sukar untuk menambat kembali hati mereka sekiranya perasaan mereka tidak diambil kira.

xvii. Anjurkan kelas bimbingan bagi pelajar Hindu di estet dan di kawasan setinggan. Klinik bergerak NGO Islam perlu kerap ke kawasan-kawasan ini.

xviii. Jangan hidangkan daging lembu kepada orang-orang Hindu. Cuba elak dari makan daging lembu bila kita makan bersama mereka.

7.0 KESIMPULAN

Semoga kerta kerja ini dapat membantu kita untuk mengenali kepercayaan dan kebudayaan orang-orang India di Malaysia. Di samping itu membuka jalan untuk berdakwah kepada mereka. Adalah menjadi harapan penulis agar kita dapat mengekalkan perpaduan dan keharmonian pelbagai kaum dan agama di Negara kita dan pada masa yang sama kita memperkenalkan budaya dan agama kita kepada mereka. Semoga perjumpaan kita ini dirahmati Allah s.w.t. Amin.

fitriabdullah@hotmail.com

76, Jalan Angsana
Taman Idaman
48200 Serendah
Selangor
012-3159262.

Read More...

Khamis, 14 Ogos 2008

REMAJA DAN BELIA HIDU GAM

Masalah Hidu Gam Dikalangan Pelajar

Masalah remaja hidu gam yang melibatkan pelajar sekolah semakin berleluasa. Ia melibatkan pelajar seawal usia 10 tahun. Pada 11 April 2000 pernah berlaku dimana tiga orang remaja berusia 14, 18 dan 20 tahun ditemui mati akibat gejala ini. Gam lebih mudah diperolehi dan lebih murah untuk dibeli menyebabkan gejala tidak sihat ini semakin menular. Sudah sampai masanya pihak berkuasa mengambil sesuatu tindakan sebab sehingga kini tiada sebarang akta yang diperuntukkan bagi membendung dan mengatasi masalah ini. Tanpa akta maka masalah yang wujud bukanlah sesuatu yang salah disisi undang-undang. Sekurang-kurang, kerajaan perlu mewujudkan akta bahawa mereka yang dibawah usia 18 tahun tidak boleh membeli gam dalam kuantiti yang banyak.

Gam mengandungi pelarut seperti toluene serta trichloroethylene iaitu toksid yang boleh menggangu fungsi jantung. Jika diambil secara berlebihan, bahan larutan itu akan menyebabkan denyutan jantung tidak stabil, manakala peredaran darah tidak teratur yang akhirnya boleh menyebabkan kematian. Kesan lain pada fungsi otak:

1. menjadi nyanyuk
2. hilang ingatan
3. psikotik atau gila,
4. hilang upaya deria dan
5. kelumpuhan pada bahagian tertentu.

Apabila remaja terlibat dengan gejala hidu gam, ia tidak dapat dikesan melalui ujian air kencing sebab ia bukannya dadah. Ini menyukarkan kita untuk mengesan mereka yang terlibat dengan masalah ini kecuali ketika mereka sedang melakukannya. Malah ada diantara remaja apabila sudah ketagihan sanggup menggunakan bahan alternatif seperti pencair cat, petrol dan tahi lembu kering. Tahi lembu kering itu dibakar asapnya disedut.


Apakah cara untuk kita mengatasinya?

Ibu bapa perlu prihatin dan awasi tingkah laku anak-anak mereka. Semak bilik, laci dan beg sekolah anak. Awasi pergerakan dan rakan-rakan mereka.

Pendedahan tentang kesan dan akibat daripada gejala ini mesti diberikan bermula dari pelajar sekolah rendah lagi. Lebih efektif jika ditunjukkan video serta gambar-gambar agar timbul rasa gerun dan insaf.

Perlu ada akta bagi menghalang gejala ini agar boleh diadakan penguatkuasaan. Malah mungkin gam dijadikan sebagai barang kawalan yang tidak sewenang-wenangnya boleh dibeli, lebih-lebih lagi dalam kuantiti yang banyak.

Perbanyakkan program motivasi di peringkat sekolah. Program motivasi ini pula perlu dilakukan secara berterusan dan lantik mereka yang pakar untuk menjalankan program-program ini.

Read More...

LANDAS 6

LANDAS 6

Sebaik bangun dari tidur, kepala terasa berat dan badan terasa panas. Tekak pula pedih, simptom-simptom demam. Tiba-tiba semangat saya yang berkobar-kobar untuk pergi ke program pagi ini luntur. Namun apabila mengenangkan tiada sahabat MT lain yang akan menyelaras peserta-peserta untuk program ini, digagahkan juga diri ini untuk bangun. Sebaik tiba tempat menunggu bas Indah Kembara, sudah ada dua orang peserta menunggu. Bilangan asal yang berminat menyertai program ini seramai 18 orang perempuan dan 3 orang lelaki. Dalam tempoh sehari sebelum program, cuma tinggal 11 orang peserta sahaja. Dan pada pagi ini cuma 6 orang peserta perempuan, dan dua orang peserta lelaki yang akan menyertai program pada sesi petang. Seorang pelajar SUKSIS meng ‘sms’ saya meminta kami menunggunya hingga pukul 8pagi. Katanya dia mahu mendaftar kehadiran SUKSIS dan kemudian mengikut program kami. Malangnya dia gagal mendapat persetujuan sarjan untuk meninggalkan tempat mereka berkawad. Abang Shamsul yang memandu van untuk ke lokasi kelihatan agak terkejut melihat semua peserta adalah perempuan. Ketika di dalam van saya masih lagi menerima ‘sms’ dia yang masih lagi berharap dia berkesempatan untuk menyertai program ini.
Kami sampai di Sungai Petani dalam pukul 9.30pagi dan menginap di Masjid Ibrahim. Kami disambut baik seorang wakil masjid dan abang Salman. Setelah abang Amir tiba, kami diberikan sedikit taklimat untuk memperjelaskan konsep sebenar ‘SOSIAL’.Kemudian kami telah dibawa ke Taman Jubli Perak untuk meninjau tempat yang agak popular dalam kalangan mereka yang ‘berdating’. Kami disuruh membuat diskusi ringkas dan berlatih bersembang agar tidak kelu apabila membuat program lapangan sebenar.

Kami telah digabungkan dengan kumpulan dari Merbuk dan beberapa orang penggerak Landas dari Sungai Petani. Kini bilangan kami menjadi ramai. Semua yang hadir kelihatan sangat bersemangat telah membakar semangat saya yang padam sebelum ini. Kami dibawa ke stesen bas Sungai Petani untuk melihat zon-zon yang menjadi tempat adik-adik remaja kita menghidu gam, minum arak dan melepak. Ketika meronda, kami terserempak dengan seorang pelajar yang masih beruniform sekolah.Ponteng! Wajah adik itu agak cemas dengan kehadiran kami. Kemudian kami dibawa melihat kawasan di sebelah sebuah sungai yang sangat busuk dan kotor. Kawasan tersebut kelihatan lengang dan lapang. Dulu tempat tersebut menjadi ‘port’ adik-adik kita berkumpul menghidu gam dan melepak. Namun setelah tempat duduk di kawasan tersebut di runtuhkan, adik-adik itu telah berhijrah ke tempat lain. Di manakah mereka membawa diri? Di manakah harus kami cari adik-adik itu? Siapakah yang akan datang menemui adik-adik itu untuk diberi nasihat agar mereka yang dahagakan kasih sayang itu sedar dan berubah menjadi baik?
Lokasi seterusnya ialah bangunan kosong yang menjadi istana saudara kita yang tercicir dari dunia kita yang pantas berlari. Di bangunan 8 tingkat itu kami temui jarum, pil, pakaian, tilam dan sedikit barang-barang peribadi yang jelas menunjukkan bangunan usang itu berpenghuni. Saya sebak membayangkan betapa ada insan lain yang bergelap di bangunan ini sambil melayan khayal sementara saya di dunia saya yang penuh dengan kasih sayang dan kecemerlangan hidup. Adik-adik PPM kelihatan begitu bersemangat meneroka mencari jejak yang ditinggalkan tuan rumah. Lawatan realiti ini bagus untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada mereka dalam bergerak kerja untuk masyarakat. Kami meneruskan perjalanan ke Central Square yang menjadi tempat masyarakat setempat berkunjung untuk membeli belah dan berhibur. Kami dibawa ke tingkat teratas iaitu tingkat ‘karaoke’, permainan video dan pawagam.Huh.. saya teruja setelah sekian lama tidak ke tempat seperti ini. Dulu ketika zaman sekolah, lepas keluar keputusan peperiksaan emak akan beri saguhati. Saya dan adik-adik saya akan datang menghabiskan RM10 di tempat seperti ini. Tetapi rasanya tempat saya bermain dulu lagi banyak permainanya berbanding di sini. Dan setiap kali saya dan adik-adik ke sini, emak abah ikut sama. Mereka duduk menunggu kami main macam body ‘guard’. Saya tiba-tiba bingung, apa yang saya nak buat di sini? Sudahlah penampilan saya sangat luar biasa dari semua pengunjung ( bertudung labuh dan ber T-shirt labuh ke lutut). Banyak mata memandang, wah.. menjadi perhatian, tak sukanya :-( Saya ‘stop’ masuk tempat macam ni semenjak mula terlibat dengan kerja mendidik insan di sekolah menengah. Masa tu selalu pokai, sedangkan tempat ni menelan banyak duit. Kerja dakwah, kalau duit tak keluar dari poket sendiri, macam mana nak buat usaha dakwah.. Masa tu rasanya sia-sia habiskan duit di tempat macam ni.Kiranya saya tak adalah pandang serong pada tempat ni kecuali karaoke dan pawagam, yang tu memang mak tak izinkan langsung. Bila dah masuk matrikulasi, kawan-kawan selalu ajak ke tempat macam ni.. Tapi saya ni jenis tegas.

“Sorry.. its forbidden for me to step in cinema, lets go to other places..” kata-kata ini diucapkan pada mereka..dan selalunya kami beralih ke bowling..

Abang Amir bertanya “Tau tak nak buat apa di sini?” Saya menjawab jujur “Tak.” Abang Amir menjawab “Bersembang. Bersembang dengan sesiapa sahaja.”

Bersembang? Saya faham.. maksudnya korek maklumat.. kembali kepada objektif program, bertemu dan berkongsi dengan adik-adik yang dahagakan kasih sayang. Dengan muka yang tak malu, kami menegur mereka yang kami jumpa. Kemudian bersembang sedikit. Rata-rata semua nampak kami cepat-cepat bangun ke tempat lain. Adik-adik PPM saya kelihatan malu-malu dan agak tertekan dengan reaksi mereka.

“Tak boleh la kak.. kami tak tahu nak bersembang..”salah seorang dari mereka kelihatan berputus asa.

“Boleh.. mari ikut kakak, ” saya memujuk. Tidak lama kemudian datang sekumpulan ramaja perempuan, dalam 7 orang bersama seorang lelaki.

“Assalammualaikum dik..” dengan selamba saya menghulurkan tangan kepada adik-adik perempuan. Mereka terkejut.. Yelah, di tempat macam ni, ada ke orang bagi salam?

Kalau saya jadi adik-adik tu pun saya terkejut juga. Sambil sembang sambil korek maklumat. Mereka kelihatan resah. Mata mereka memeriksa kami dari hujung kaki hingga ke kepala.

“Hm.. kalau nak datang sini, berapa agaknya ‘budget’ yang perlu kita sediakan?” Ececeh.. saya buat-buat muka berminat dengan tempat ni. Si lelaki dengan tersenyum menjawab, “RM7 kak..”
“Oo.. berapa games dapat main tu?” saya meneruskan. Dengan penuh bangga si adik menjawab “Tujuh.” Saya mengangguk, semakin berminat, “Oh, satu games Rm1 ye dik..”. Si adik mengangguk.Harga masa zaman saya dulu 50sen untuk setiap games.. Seorang remaja perempuan kelihatan marah dengan saya.

“Akak ni datang sini ada program ke?” Suaranya tinggi dan kasar. Wajahnya kelihatan menyampah pada kami. Hahaha, saya ni kalau orang tu tak nak pada saya, lagilah akan saya berusaha mendekati..

“Akak datang sini nak jalan-jalan.. Hari ni kan Pulau Pinang cuti.. Akak tak pernah sampai sini, ni lah first time dik..” saya menyambung sambil senyum. Berkurang sedikit kerut di wajah adik perempuan itu. Barangkali berpuas hati dengan jawapan saya.

“Em dik.. Kat sini kan, mana lagi tempat yang best-best ye?” Saya menyambung. Sambil bersembang, saya melengahkan mereka dari masuk ke tempat games.

“Tak tau, saya pun jarang ke sini..” jawab dia. Hm, boleh percaya ke? Tadi semasa mereka masuk, mereka macam dah biasa dengan tempat ni.

Selepas berpisah dari adik-adik ini, saya dan adik-adik PPM meronda mencari kedai-kedai yang mempromosi budaya sonsang. Kami masuk keluar banyak kedai namun tidak menjumpai apa-apa tanda budaya sonsang.. Ataupun mungkin kami yang tak tau tanda-tanda budaya sonsang.. Nampak sangat yang saya ni tak peka dengan penyakit masyarakat..

“Kak, tumpang tanya..” biasalah kan, kalau tak tahu baik bertanya..

“Di mana kedai-kedai yang jual barang-barang brutal?” soal saya. Kakak tu terkejut. Dia menunjukkan beberapa kedai. Semua kedai tu saya dah masuk tadi. Tapi tak ada apa-apa yang saya jumpa boleh dikategorikan brutal di situ. Sebab kalau saya mengikut adik saya bershopping, dia bawa je saya masuk tengok barang di situ. Barang-barangnya agak mahal dan berkualiti.

“Kenapa akak kata kedai tu brutal?”
“Sebab penjual dia pun brutal..”jawab kakak tu sambil ketawa.
Yeke? Penjual tu brutal? La.. kalau ini dah masuk kategori brutal, adik saya pun kalau kakak tu tengok, kira brutal juga la ye? Dan kawan-kawan sekolah saya semua pun brutal la ye? Entah-entah saya pun brutal? “Tak.. lillah baik,”seorang teman memujuk. Hm.. tiba-tiba terasa rindu sangat pada 3 orang adik lelaki saya.

Beberapa kali lagi kami terserempak dengan adik-adik perempuan tadi tetapi mereka masih menunjukkan rasa tidak suka pada kami. Tetapi saya masih belum berputus asa. Adik-adik PPM saya kelihatan penat.

Selepas bersolat zohor di surau tiba-tiba seseorang menegur. Adik-adik tadi menegur. Suatu permulaan yang baik! ;-) Ketika makan tengah hari, meja kami bertentang dengan meja makan adik-adik tu. Mereka melambai sambil tersenyum. Makanan di sini agak mahal. Hati saya kuat mengatakan yang adik-adik tersebut tak akan mampu makan di sini kalau duit dah habis di tempat main tadi. Hm.. inilah masalahnya. Adik-adik ni datang sini tanpa pengawasan ibu bapa. Mereka guna duit tanpa kawalan. Semua duit dihabiskan ke games dan karaoke, apa yang tinggal untuk makan? Mereka masih belum matang untuk menerima kebebasan seperti ini. Masa ni terasa nak sangat ucapkan terima kasih pada mak sebab ‘control’ habis-habisan semasa membesarkan saya. Dalam adik beradik saya, saya seorang je yang bersekolah harian biasa, adik-adik saya semua ke asrama. Kemana saya pergi, memang mak akan hantar dan ambil. Kalau saya nak keluar dengan kawan-kawan, mak akan hantar dan ambil dengan kawan-kawan sekali. Kesannya, kawan-kawan saya rapat dengan mak saya.. asyik nak mak saya je, jeles! Kata sahaja nak ke mana, mak akan bawa.. Kawan-kawan saya suka sebab sure bila lunch time tiba, mak yang bayar.. selamat duit kami :-).. Itulah pengorbanan yang mak terpaksa lakukan untuk membesarkan saya dalam masyarakat yang dahagakan santapan jiwa. Mak tak mahu saya jauh dari mereka yang nakal kerana mak kata, kita perlu dekati mereka, ambil hati mereka dan nasihat mereka.. hasil pengorbanan mak, walaupun saya dikelilingi mereka yang brutal-brutal, tapi saya tak brutal.. sebab saya ada prinsip dalam pakaian, tingkah laku dan percakapan.. Simple je prinsip saya, apa yang Allah suka, saya akan buat. So, tak nampak lah macam brutal, nampak macam solehah je.. hahaha

“Adik dah makan?” Saya sengaja lalu di sebelah meja mereka.
“Nak makan macam mana, duit pun tak ada!”. Garangya.. Dah lapar, tak dapat makan..
“Kakak nak belanja ke?” Seorang lagi mengusik sambil ketawa. Saya pun ketawa. Boleh je nak belanja adik-adik ni, tapi sambil mereka makan, memang saya akan bagi tazkirah bab duit la..
“Habis biasanya adik tak makan la bila datang sini?”soal saya dengan muka simpati. Adik-adik menggeleng. Saya memegang bahu adik perempuan yang garang.

“Berlapar je la?”sambung saya..Adik-adik mengangguk sambil senyum..
“Kesiannya, bila nak makan?”soal saya lagi.

“Balik rumah nanti,” suara adik perempuan yang garang tadi sudah semakin manja..
“Ish, boleh slim nanti, akak pun nak cubala next time,”saya bergurau. Mereka ketawa. Kemudian datang sekumpulan remaja lelaki.. oh rupa-rupanya mereka sedang menunggu boyfriend masing-masing.. Boyfriend akan belanja makan.. Adik-adik ppm saya mengajak saya pergi meronda, terbantut hasrat nak bersembang dengan adik-adik tu. Dan ketika meronda, terserempak dengan ustaz Kamaruddin. Tersentuh hati melihat pendekatan ustaz yang ramah dan penuh kasih sayang terhadap tiga orang adik remaja yang duduk di tangga.. Dan sebaik mendapat pelua ng oleh ustaz, saya pun bersembang dengan adik-adik. Dua orang form 5 dan seorang form1.

“Lepas habis form 5 ni nak ke mana dik?”soal saya sambil senyum. Mereka tersipu-sipu.
“Tak tau la kak..” jawab si adik.. saya cuba meneka, mesti result tak berapa baik..
“Adik.. kakak cadangkan adik masuk form6.. ramai kawan-kawan kakak yang tak boleh nak skor di SPM boleh skor STPM. Yang penting diri kita. Kita kena baiki kesilapan kita. Kita kena ada semangat untuk berusaha gigih untuk berjaya.” Saya bercakap penuh semangat. Kelihatan mata si adik terkebil-kebil terkejut.Tangan saya memegang lengan mereka.
“Dik.. belum percubaan lagi kan..?”soal saya lagi. Mereka menggeleng.

“Masih ada peluang untuk adik uasahakan yang terbaik! Jangan putus asa dik.. Selagi ada masa, selagi itulah ada peluang untuk kita bagi yang terbaik dik..kakak dulu masa percubaab SPM, kakak fail addmath. Kemudian kakak pulun study sungguh-sungguh.. Dan Alhamdulillah dapat A1 masa SPM..” Wajah adik-adik berseri-seri mendengar cerita saya.. Tiba-tiba muncul seorang lelaki yang tak berapa stabil datang dan duduk di belakang adik-adik perempuan. Dalam keadaan mamai, si lelaki memberi tazkirah ‘jangan pakai seksi’.. Apa kes dia ni? Kami kehairanan? Rupa-rupanya dia datang sebab ternampak ustaz dengan kami.. dan mungkin dia cakap macam tu sebab nak ambil hati ustaz.. wah.. saya sangat terharu melihat sudah wujud tautan hati antara lelaki yang tak stabil ni dengan ustaz.. Insya’Allah, kalau ustaz dah dapat hati si lelaki ni, ada peluang untuk ustaz nasihatkan dia.. Dan tak mustahil lelaki ni akan berubah menjadi lelaki soleh… Amin Ya Allah…
Jam menunjukkan pukul 4 petang. Rasa penat sangat. Demam saya semakin kuat. Saya duduk di kafe menunggu solat asar. Dua ‘couple’ adik-adik tadi sedang bersembang. Hati saya nak sangat pergi kepada mereka. Rasa tak puas hati sebab still tak dapat nak sentuh hati mereka.. entah bila lagi dapat jumpa adik-adik ni.. Dengan muka tak malu, saya terus pergi duduk di meja sebelah adik-adik tu. Kacau orang dating, hahaha.. ;-) Yang lelaki tu, seorang 18 tahun, seorang 15 tahun. Yang 18 tahun tu warnakan rambut oren sikit dan macam mengantuk je.. yang 15 tahun tu smoking sambil main asap bulat-bulat.. menarik.. ;-0 Yang perempuan berumur 15 tahun.

Alhamdulillah, masa menjadi fasilitator dulu, banyak games yang saya belajar. Dan saya gunakan sebagai modal bersembang dengan adik berempat ni..Alhamdulillah, meja kami meriah. Tanpa saya sedari adik-adik tu bergerak rapat dengan saya hinggakan seorang adik tu duduk atas lutut saya. Yang lain berdiri sambil memegang bahu kawan di depan. Mereka kelihatan gembira. Saya tentulah lebih-lebih lagi gembira. Muncul dua orang perempuan datang dan beberapa kali menarik yang lelaki untuk mengikut mereka. Tetapi kena marah dengan si lelaki.
“Kak.. sambung-sambung!” si adik lelaki begitu berminat dengan games saya.

Selepas habis games, saya seperti biasa, memberi nasihat.. ala-ala wasiat.. dan mata si adik bergenang air mata. Masa peluk sebelum berpisah, sekali lagi nasihat diberikan..
“Dik.. walaupun lepas ni kita tak jumpa lagi.. adik ingatlah nasihat akak ye.. Walaupun kita sendirian, Allah ada dengan kita.. doa pada Dia, Dia mendengar..” my last word.. Si adik memeluk saya kuat dan lama. Mereka mencium tangan saya.. La, terasa tua pulak! Tapi entahlah, adik-adik junior PPM saya pun suka cium tangan walaupun dah bagitau tak perlu, segan kakak… ;-P

Selepas kami berpisah, seorang peserta memberitahu “Adik tadi macam nak cakap sesuatu.. Kalau kawan-kawan dia tak ada, mesti dia akan cakap sesuatu.. dia macam ada masalah..”
Petang tu sebelum maghrib, kami berkumpul di Taman Jubli Perak untuk buat analisis turun lapangan sepanjang siang. Group lelaki dari USM dah sampai, Saiful, Abrar, Meor dan Rahimie.
Malam tu, kami makan sambil berbincang dengan Ustaz Kamaruddin Kassim.. Ustaz belanja kami makan, Alhamdulillah, semoga ustaz dimurahkan rezeki dan diberkati rezeki..amin..
Kemudian kami meneruskan misi mencari kupu-kupu dan musang-musang malam.. Mula-mula jumpa ‘ustaz hidu gam’ . Dia ni bekas pelajar Mesir.. dan kini di sini..




“Awat hang jadi macam ni.. hari tu tengok dah elok, awat hari ni dah macam ni?”Ustaz memeluk lelaki tu.. Terharunya saya masa tu. Agak kagum dan terpesona seketika. Dan sedih juga melihat hidup lelaki tu.. Tapi saya tetap yakin, lelaki tu masih ada peluang untuk berubah. Dan dia mungkin boleh berubah menjadi lebih baik dari semua lelaki yang ada di situ, insya’Allah.. hidayah itu milik Allah tersayang ;-D
Ustaz memujuk lelaki itu untuk berhenti menghidu gam.. Dalam keadaan khayal dia menjawab setiap kata-kata ustaz.
“Hang ada ilmu..”suara ustaz lembut sambil memeluk dia.

“Ilmu tanpa amal sia-sia”jawab dia. Saya rasa nak menangis waktu tu..tapi tahan-tahan..Sebak mengenangkan betapa gelap dunia dia dibandingkan dunia sebelum dia menagih. Alangkah sedih jika dia tak sempat kembali ke pangkal jalan.. alangkah kecewa bila setelah dia semakin pulih, dia kembali kepada tabiat lama.. Tapi saya yakin, ustaz tak akan putus asa.. Insya’Allah.. Hati manusia itu Allah yang pegang.. Seorang da’ie yang ikhlas memberi tanpa mengharapkan balasan.. menerima tanpa syarat.. dan mengharapkan agar insan itu sedar, walaupun masa tu da’ie tu dah tak ada lagi.. :’-)
Ustaz bertanya mahu tak lelaki tu beri kuliah pada mereka yang hidu gam.. dan malam tu kami mendengar kuliah ramadahan ‘oleh ustaz hidu gam’.. dari niat puasa hingga perkara membatalkan puasa. Ketika peserta lelaki sedang khusyuk, saya dan peserta perempuan berenam duduk jauh sedikit di bawah lampu. Datang dua orang remaja nak bersembang.. baru 17 tahun.. kata dia, dia lari dari rumah. Dulu dia tinggal di perak. Hati saya meronta-ronta rindukan adik-adik saya..Kemudian kami bergerak bertemu dengan couple-couple yang hangat berdating. Pendekatan ustaz yang santai dan berhikmah memberi pendedahan kepada para peserta tentang teknik mendekati kupu-kupu ini.

Keesokkan harinya, suasana agak kecoh sedikit gara-gara cubaan mencuri oleh seorang adik remaja yang kami bawa balik tidur di masjid. Ujian untuk si abang dan ujian dari si adik.. si abang masih bersabar dan menerima si adik. Saya yakin, jauh di sudut hati adik tu, dia dapat merasakan yang abang-abang ni menyayangi mereka tanpa mengharapkan apa-apa dari mereka.. dan abang-abang ni bersedia menerima mereka walaupun senakal mana mereka.. Alhamdulillah ya Allah.. ;-) Ustaz memujuk si adik untuk bersekolah semula. Tetapi si adik tak mahu..
Sebelum balik, slot abang nizam.. adik-adik tadi sedang tidur di belakang kami.
“Siapa yang nak peduli tentang mereka?”

“Mereka anak-anak jalanan.. Mereka dipaksa untuk mengejar kehidupan yang mereka tak mampu miliki..”

“Masyarakat perlu mengubah perspektif terhadap mereka. Dalam Islam, kita ada budaya menjaga tepi kain orang. Anak jiran buat salah, kita anggap macam anak sendiri, dan kita tegur..Ke mana harus anak-anak ni pergi? Hari ni, kita jumpa mereka, kita ambil dan bawa mereka tidur di masjid.. tetapi waktu biasa, mereka akan dihalau oleh orang..” Betul kata abang nizam. Tak ramai yang ada kesedaran untuk menyayangi mereka yang dahagakan kasih sayang ni.. kesiannya adik-adik ni.. :’-(
“Kalau bukan kita, siapa?”
“Kalau bukan sekarang, bila?”
“Kalau bukan di sini, dimana?”
Ada tiga target aktivis:

Kita kena jadi catalyst (pemangkin) yang ada element peneroka, pemimpin. Catalyst dia tak tunggu-tunggu, dia akan membuka jalan..

Multuplier effect, snowbowling effect.. membesarkan bilangan penggerak.. menambahkan jumlah mereka yang sedar dan bergerak kerja bersama-sama
Change.. berubah.. kita kena buat sesuatu yang menghasilkan perubahan.. perubahan pandangan masyarakat, keluarga dan qariah masjid… etc
Sebelum balik, setiap peserta membuat azam baru.. Walaupun tempoh program ni singkat, banyak yang saya belajar.. Ustaz berjuang mendidik insan, bukan sahaja insan yang sedang lemas terdidik, malah kami yang baru hendak belajar menjadi da’ie pun terdidik sama.. Kita belajar subjek kehidupan, decision of life, tentang nilai insan, erti kasih dan makna pengorbanan.. Berapakah nilai insan? Tidak ternilai..

Apakah erti kasih? Menerima tanpa syarat. Apakah erti pengorbanan? Memberi sepenuh hati tanpa mengharap balasan.

Ya Allah.. Jadikanlah kami penawar dalam ummat mu agar kami dapat berkongsi kasih sayangMu dengan adik-adik kami ini.. Berilah hidayah kepada kami semua Ya Allah.. Peliharalah kami Ya Allah...


Read More...
 
Terdapat ralat dalam alat ini

Pengikut