LANDAS

Chicklet Chooser

Add to Google Reader or Homepage

FeedBurner FeedCount

Cari Blog Ini

Rabu, 17 Mac 2010

KUNJUNGAN KE RUMAH WARGA MISKIN LAGI FAKIR


Us Kamaruddin Penyelaras UNGGAS/LANDAS & Pengarah
Projek Rural Citizens sedang menyampaikan bantuan beras
zakat Fidyah untuk fakir miskin sebanyak 60 KG

Presiden Rural Citizens, En Aziz Man bersama jiran
Kg Baru Bakar Arang sedang berbual sesuatu


SUNGAI PETANI – Jam lebih kurang 11.45 pagi, saya telah ke sahabat Zakat Sungai Petani untuk ziarah dan mengunjungi sahabat-sahabat untuk bertanya kabar. Ketika itu saya telah dimaklumkan oleh pegawai zakat, ada seorang lelaki berumur 60 tahun bersama anaknya 10 tahun datang ke pejabat sekitar jam 10.00 pagi. Mereka datang untuk memohon bantuan zakat dengan mengisi borang yang disediakan oleh pihak pengurusan zakat negeri kedah.


Saya diberitahu pegawai tersebut, kanak-kanak 10 tahun itu tidak pernah bersekolah dan saya diberikannya beberapa maklumat peribadi keluarga malang itu. Pakcik Rizlai 60 tahun tinggal bersama isterinya berusia 47 tahun dan anak lelaki 10 tahun. Baru 3 minggu menyewai rumah di Kampung Baru, Kariah Masjid Abu Bakar As-Siddiq, Bakar Arang, Sungai Petani. Dalam borang zakat dicatat alamat tempat sewanya yang lama, di Kampung Raja, Sungai Petani.


Selepas itu saya call En Aziz Man, Presiden Pertubuhan Muwafakat Warga Desa (Rural Citizens) Negeri Kedah untuk berjumpa di Masjid Kampung Baru selepas Asar. Selepas Asar saya ke Masjid Abu Bakar As-Siddiq untuk berjumpa dengan tuan imam masjid. Malangnya tuan imam bercuti ke Kelantan. Saya bersama En Aziz Man sempat berjumpa dengan setiausaha masjid untuk dapatkan maklumat tempat tinggal mereka.


Puas juga bertanya orang kampung untuk dapatkan maklumat lokasi tempat tinggal mereka. Mujurlah ada seorang pakcik yang mengenali lelaki tersebut dan membawa kami ke teratak buruk tempat tinggal mereka 3 beranak. Malangnya ketika itu hanya terdapat seorang isteri. Suami dan anaknya belum balik lagi. Mereka keluar ke bandar Sungai Petani dengan menaiki basikal hasil sumbangan orang yang prihatin terhadap kehidupan mereka.


Saya tak akan rasa senang selagi masih belum jumpa lelaki dan anaknya. Keesokkan hari, tanggal 17 Mac 2010, jam 8.30 pagi, sekali lagi saya berkunjung ke rumah mereka dan dapat berjaya bertemu lelaki tersebut yang bernama Rizlai bin Ramly dan anak lelakinya bernama Mohamad Azrin Rizlai.


Lelaki tersebut mengidap penyakit Diabetes, tidak mampu bekerja berat, isterinya pula sakit penat. Mereka hanya dapat bantuan JKM sebanyak RM100 sebulan dan bantuan zakat RM650 setahun. Sewa rumah RM80 sebulan. Maklumat dari kenalan rapat mereka memberitahu, terkadang satu hari tak makan disebabkan kehabisan wang saku. Walaupun begitu mereka malu untuk meminta-minta bantuan dari jiran-jaran sekeliling.


Setiap pagi lelaki tersebut akan keluar ke bandar dengan anak lelakinya berusia 10 tahun menaiki basikal. Dari rumahnya ke bandar Sungai Petani sejauh 3 km untuk mencari rezeki dan simpati kedai makan yang bersedia bagi mereka kerja cuci pingan untuk sesuap makanan, mengalas perut untuk hidup seharian. Kadang-kadang tak ada kerja yang boleh mereka lakukan. Mereka jatuh dalam golongan miskin lagi fakir. Mereka juga miskin ilmu dan tak pandai berurusan dengan organisasi pemerintah, separa pemerintah dan NGO masyarakat.


Kami dari NGO Rural Citizens dan UNGGAS/LANDAS telah menemui sekali lagi pegawai di Pejabat Zakat memaklumkan hasil siasatan keluarga yang hidup sengsara ini. AlhamdulilLah pihak pejabat zakat akan memperoses bantuan bulanan sebanyak RM300. Tidak lagi bantuan tahunan sebanyak RM650. Dengan bantuan bulanan akan dapat mengurangkan bebanan kehidupan yang mereka tanggung selama ini. Kami juga menyeru semua pihak agar sering menghulurkan bantuan makanan seperti beras, minyak masak, gula dan peralatan dapur. Kami juga sempat menyampaikan bantuan Fidyah Puasa, berupa beras 60 KG.


Sepatutnya pihak yang digajikan oleh pemerintah mendekati rakyat memberikan perkhidmatan turun padang menghulurkan bantuan. Rakyat yang miskin harta dan ilmu akan lebih tertekan hidupnya. Rumah yang buruk, kekurangan kemudahan asas, pasarana yang tidak lengkap dan kesihatan yang terganggu. PM, MB, KM, Wakli Rakyat, pegawai- pegawai kerajaan di semua peringkat hanya susah dan letih melaksanakan tugas semata-mata. Tempat tinggal mereka selesa, makanan dan pakaian yang mencukupi, anak-anak mereka ada kemudahan belajar sampai ke menara gading.


Juga kemana perginya MKK, JKKKP, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Tempatan, Pegawai Masjid, Jawatankuasa Kariah, Penghulu Mukim, Pejabat Agama dan lain-lain jabatan pemerintah peringkat negeri dan persekutuan. Harus diingat dan diinsafi bahawa mereka yang digajikan dengan menggunakan dana kerajaan untuk melaksanakan kewajipan amanah rakyat. Kedudukan mereka ini tidak lebih daripada hanya sebagai “KHADAM” atau dengan lain perkataan, memberikan perkhidmatan yang sebaik-baiknya untuk rakyat. Pegawai kerajaan atau wakil rakyat bukan taukeh. Mereka hamba kepada Allah dan Khadam bagi rakyat. Jawatan hanya amanah semata dan bukan hak istimewa.


Kami dari NGO dan kumpulan sukarelawan rakyat akan sentiasa mendedahkan isu-isu semasa kesusahan rakyat dan gejala sosial tanpa ada apa-apa kepentingan peribadi. Kami juga tidak mendapat apa-apa elaun, gaji atau apa-apa bayaran. Oleh itu sangat kami kesali jika sekiranya masih ada mana-mana pihak yang diberikan gaji untuk berkhidmat untuk rakyat hanya bertugas dalam bilik berhawa dingin, tidak prihatin nasib rakyat yang lemah dan miskin. Malulah kita di hadapan Allah s.w.t. kerana kita terlalu banyak menciptakan slogan yang muluk-muluk tanpa merpraktikkan secara realiti. Jangan tunggu sehingga tiba musim Pilihanraya Umum (PRU) baru sebuk serta menyebuk menghulurkan bantuan itu dan ini untuk menarik simpati pengundi.


Pengarah Projek

Pertubuhan Muwafakat Warga Desa (Rural Citizens)

Negeri Kedah.

Dan Penyelaras UNGGAS & LANDAS



0 ulasan:

 

Pengikut