(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZa)
Isnin, 2 Januari 2012
DR ASRI WARKAH BUAT SAUDARAKU ANGGOTA POLIS
Prof Madya
Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZa)
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZa)
Assalamualaikum
warahmatuAllahi wabarakatuhu,
Terlebih
dahulu, pohon kemaafan jika warkah ini terbuka. Saya harap ia dapat dibaca oleh
semua. Jika ada kebaikan, ambillah darinya. Jika tidak, campaklah ia ke tepi
dan lupakan sahaja. Ia hanya satu coretan dari seorang rakyat bawahan. Tanda
cinta dan kasih kepada saudara yang saya lihat tercegat di segala penjuru
negara atas tanggungjawab menjaga keamanan kita semua. Mata memandang, hati
merintih dan berdoa agar tugasan saudara benar-benar diberikan pahala di sisi
Tuhan dan diiktiraf di sisi rakyat.
Tugas Mulia
Saudaraku
anggota polis,
Kerja polis
adalah satu kerja yang mulia kerana menjaga keamanan dalam negara. Penat lelah
anggota polis dalam memastikan negara kita aman dan adil adalah pahala yang
amat besar di sisi Allah jika pengamalnya jujur dan ikhlas. Sepatutnya, tiada
seorang pun rakyat yang cintakan keadilan dan keamanan akan membenci polis.
Sebaliknya, perasaan fitrah; sayang dan menghargai akan tertanam dan mekar
sebaik sahaja mendengar nama polis, melihat anggota atau apa sahaja
perlambangan polis. Itulah perkara sewajarnya berlaku.
Saudaraku
anggota polis,
Tugas
seorang anggota polis -sebelum tugasan kenegaraan- sebenarnya adalah
tugasan yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya iaitu ‘Menyuruh Kebaikan,
Mencegah Kemungkaran’. Itu moto asal pasukan polis. Sekalipun, tumpuan terbanyaknya
kepada bahagian kedua iaitu ‘Mencegah Kemungkaran’. Hakikatnya, polis
berperanan menyelamatkan masyarakat dari kemurkaan Allah dengan dipastikan
setiap penzalim akan dihalang, dicegah dan dihukum. Jika itu tidak berlaku,
masyarakat akan porak peranda dan menerima hukuman dari Allah. Allah berfirman:
(maksudnya):
“Telah
dilaknat mereka yang kufur daripada Bani Israil melalui lidah Daud dan Isa bin
Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh.
Mereka sentiasa tidak berlarang (sesama sendiri) perbuatan mungkar yang mereka
kerjakan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan.
(Surah al-Maidah, ayat 78-79).
Nabi s.a.w
pula bersabda:
“Sesungguhnya
manusia apabila melihat orang zalim, namun tidak menghalang tangannya, hampir
Allah akan meliputi mereka dengan hukumanNya” (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan
al-Nasai dengan sanad yang sahih).
Kami sebagai
rakyat mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak polis yang telah
menyelamatkan masyarakat dari kemurkaan Allah, kezaliman dan kerosakan.
Bahaya Kuasa
Saudaraku
anggota polis,
Namun, dalam
masa yang sama, bidang tugas dan kuasa saudara yang menghalang kezaliman itu
jika disalahgunakan boleh memberikan kesan yang sebaliknya. Ia boleh bertukar
dari melindungi yang tidak bersalah kepada menginayainya, menghalang yang zalim
kepada memberi peluang kepadanya, memberi hak kepada yang berhak kepada
merampas hak dari tuannya. Jika itu berlaku, rosaklah masyarakat, hilanglah
neraca keadilan, bermegah si zalim, kesakitanlah yang ditindas. Lantas,
kebencian akan merebak, kepercayaan akan hilang dan saudaraku polis yang
sepatutnya disayangi menjadi pihak dimusuhi, dibenci dan diragui.
Saudaraku
anggota polis,
Ingin saya
sebut di sini suatu tazkirah yang harapnya boleh memberikan manfaat kepada
semua, khususnya mereka yang berkuasa seperti saudara. Saudaraku, kezaliman itu
adalah suatu racun. Ia bukan sahaja menyakitkan yang dizalimi, tetapi suatu
hari akan membawa sengsara, bahkan mengorbankan si zalim itu sendiri. Pada hari
kita memukul orang yang tidak bersalah, melukai atau menfitnahnya, kita mungkin
rasa selamat di balik peruntukan kuasa yang ada. Mungkin juga rasa selamat di
balik pakaian lengkap kita yang mungkin gagal mangsa mengenali pelakunya.
Namun Tuhan
tidak lupa. Akan ada harinya yang menanti kita di hadapan. Tangan yang memukul
orang lain dan kaki yang menendang mangsa itu tidak akan terpadam catatannya
sehingga kemaafan diberikan. Ketika saudara pulang ke rumah berjumpa keluarga,
si mangsa mendongak ke langit mengadu kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa.
Dengarlah baik-baik apa yang yang disabdakan Nabi s.a.w:
“Takutlah
kamu doa orang yang dizalimi, sesungguh antaranya dengan Allah tiada sebarang
hijab (penghalang)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam
riwayat Ahmad, baginda bersabda:
“Takutlah
kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang jahat. Kejahatannya
itu bagi dirinya” (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).
Dalam
riwayat Ahmad yang lain:
“Takutlah
kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang kafir kerana ia tidak
ada hijab (penghalang untuk Allah menerimanya). (hadis ini dinilai hasan oleh
al-Albani).
Allah Tidak
Lupa
Saudaraku
anggota polis,
Tiada siapa
antara kita yang dapat menyelamatkan dirinya dari hukuman Tuhan. Seseorang mungkin
telah melupai orang yang dizaliminya, atau si mangsa juga mungkin terlupa, atau
pergi menemui Ilahi terlebih dahulu. Namun doanya tetap hidup. Akan ada waktu,
ia tetap datang bertandang dalam kehidupan si zalim; meragut kebahagiaannya,
ketenteraman hidupnya dan mencampakkan derita dalam pelbagai warna dan rupa.
Mungkin si zalim ketika itu terpinga dan bertanya ‘apakah salah saya?’.
Dia terlupa bahawa Tuhan tidak lupa atas kezalimannya, di dunia dan akhirat
sana.
Dunia
Sementara
Saudaraku
anggota polis,
Dunia ini
sementara. Setiap kita akan ada hari akhirnya. Akan berakhirlah sebuah
kehidupan dan bermulalah mahkamah keadilan Tuhan. Tiada kuasa yang dapat
membela, tiada pembesar yang dapat berkata. Semua tunduk menunggu balasan. Firman
Allah (maksudnya):
“Dan
janganlah kamu menyangka bahawa Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh
orang-orang yang zalim; sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka
hingga ke suatu hari yang ketika itu terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana
gerun gementar), mereka terburu-buru (menyahut panggilan) sambil mendongakkan
kepala mereka dengan mata yang tidak berkelip, dan hati mereka yang kosong
(kerana bingung dan cemas)”. (Surah Ibrahim 42-43).
Saudaraku
anggota polis,
Sekali lagi
pada hari itu si zalim akan bertemu dengan semua mereka yang telah dimangsakan,
di hadapan mahkamah yang Maha Adil. Tiada bukti yang dapat disembunyikan,
diputarbelit dan ditipu kepada masyarakat manusia yang berkumpul ketika itu.
Tiada media yang boleh diperguna dan tiada kuasa kerajaan yang boleh
melindunginya. Adil seadil-adilnya. Bak kata Nabi s.a.w:
“Segala hak
akan dibayar kepada empunya pada Hari Kiamat, sehinggakan akan dibalas untuk
biri-biri yang bertanduk atas perbuatannya ke atas biri-biri yang tidak
bertanduk” (Riwayat Muslim).
Sabda
baginda juga :
“Sesiapa
yang ada padanya kezaliman terhadap saudaranya (muslim yang lain); seperti
terhadap maruah dan selainnya, mintalah halal pada hari ini sebelum tiba waktu
yang tiada dinar dan dirham (tiada harta iaitu pada Hari Kiamat). Sekiranya
baginya kebaikan (amalan soleh) maka akan diambil darinya dengan kadar
kezalimannya. Jika tiada baginya kebaikan, maka akan diambil dosa orang yang
dizalimi lalu ditanggung ke atasnya” (Riwayat al-Bukhari).
Nasihati
Hasan al-Basri
Saudaraku
anggota polis,
Saya tahu,
kadang-kala ada keadaan yang sukar sebagai anggota polis yang terpaksa
melaksanakan arahan ‘atasan’. Maka, mungkin ada yang berkata ‘kami
hanya menjalankan tugas’. Sudilah saudara mendengar nasihat tokoh Islam
yang agung al-Imam Hasan al-Basri r.a. kepada Gabenor Iraq dan Khurasan iaitu
‘Umar bin Hubairah. Ketika itu zaman pemerintahan Khalifah Yazid bin Abdul
Malik. Kata ‘Umar bin Hubairah:
“Sesungguhnya
khalifah Yazid bin Abdul Malik kadang-kala menyuruhku melaksanakan perkara yang
aku rasa tidak puas hati dari segi keadilan. Apakah jika aku melaksanakannya
menjadi sutu kesalahan di sisi agama? Kata Hasan al-Basri: “Wahai Umar bin Hubairah!
Takutlah Allah mengenai Yazid, jangan engkau takutkan Yazid mengenai Allah.
Ketahuilah sesungguhnya Allah azza wajalla dapat menghalang Yazid daripada
bertindak ke atasmu, tetapi Yazid tidak dapat menghalang Allah daripada
bertindak ke atasmu.
Wahai ‘Umar
bin Hubairah! Sesungguhnya akan turun kepadamu malaikat yang bengis dan keras,
dia tidak akan menderhakai apa yang Allah perintahkannya. Dia akan mengambil
engkau dari tempat dudukmu ini, dan memindahkan engkau dari istanamu yang luas,
ke kubur yang sempit. Di sana tiada Yazid, hanya yang ada amalanmu yang
menyanggahi Tuhan Yazid.
Wahai ‘Umar
bin Hubairah! Sekiranya engkau bersama Allah dan ketaatan kepadaNya, ia boleh
menghalangmu dari kejahatan Yazid di dunia dan akhirat. Jika engkau bersama
Yazid dengan menderhakai Allah, sesungguhnya Allah akan menyerahkanmu kepada
Yazid. Ketahuilah wahai ‘Umar bin bin Hubairah! Tidak ada ketaatan kepada
makhluk dalam menderhakai Pencipta”. Maka menangislah Gabenor ‘Umar bin
Hubairah”. (rujukan: Mir at al-Jinan wa ‘Ibrah al-Yaqzan)
Saudaraku
anggota polis,
Kita boleh
bertugas kepada sesiapa pun, tetapi jangan lupa tanggungjawab kita di hadapan
Allah. Tiada cacatnya menjadi anggota polis. Saudara bukan musuh rakyat.
Sebaliknya, saudara diperlukan rakyat. Apa yang cacat dan menimbulkan kebencian
awam adalah tindakan kita sendiri jika menyalahi prinsip-prinsip keadilan dan
keamanan. Jika itu tidak berlaku, sayang dan cinta rakyat tertumpah kepada
saudara.
Ingatlah
kata-kata Abu Bakar al-Siddiq: “Benar adalah amanah, bohong adalah khianat”.
Jika saudara benar, rakyat sayang, Allah juga sayang. Kedamaian jiwa pun
menjelang. Jika saudara bohong rakyat benci, Allah juga benci. Rezeki tidak
halal, hidup tidak bahagia.
Saudaraku
anggota polis,
Inilah
pandangan seorang rakyat marhaen awam seperti saya. Tiada kebencian antara
rakyat dan saudara jika keadilan itu tertegak. Rakyat awam bukan sahaja mahukan
keadilan yang ditafsirkan oleh pihak saudara, tetapi keadilan yang dapat
difahami oleh semua. Bukan sahaja adil dari segi bicaranya, tetapi hendaklah
kelihatannya juga adil. Semoga Allah merahmati saudara dan tugas saudara.
Diberikan rezeki yang halal. Bebas dari kezaliman dan rasuah. Kami akan bersama
menyanjungi saudara! Selamat bertugas!
Mohd Asri
Zainul Abidin
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan