LANDAS

Chicklet Chooser

Add to Google Reader or Homepage

FeedBurner FeedCount

Cari Blog Ini

Selasa, 20 April 2010

ARAK DAN MENGAIBKAN ORANG SAMA-SAMA DOSA BESAR

MIUNUM ARAK TETAP HARAM DAN MASIH ADA RUANG UNTUK BERTAUBAT DAN JAUHI ARAK UNTUK KESELAMATAN NEGARA DAN KESEJAHTERAAN RAKYAT


Kami aktivis dakwah LANDAS rasa terpanggil untuk menasihati ahli politik beragama Islam supaya bertindak atas dasar-dasar syariat dan akhlak Islam. Para da’i juga diminta supaya mendisiplinkan orang politik yang bertindak di luar batas Islam untuk mencapai cita-cita politik dan kepentingan peribadi.


Minum arak hukumnya haram dan berdosa besar. Itu yang pasti dan tidak boleh dipersoalkan.


Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya." (Surah Al-Ma’idah : ayat 90)


HIMPUNAN HADITH HARIAN JAKIM


Kategori : JENAYAH Minuman Keras Tajuk : Jauhi Arak Untuk Keselamatan Negara


Hadith :


Dari Annas bin Malik katanya, Nabi Muhammad s.a.w bersabda:


“ Sepuluh orang yang dikutuk Allah mengenai arak :-

  1. Pembuatnya,
  2. pengedarnya,
  3. peminumnya,
  4. pembawanya,
  5. pengirimnya,
  6. penuangnya,
  7. penjualnya,
  8. pemakan wang hasilnya,
  9. pembayarnya
  10. dan juga pemesannya.” (Hadis Riwayat Imam Tirmidzi)

Riwayat Anas

Huraian


i) Arak yang juga disebut “khamar” (الخمر) dalam bahasa Arab bermaksud minuman yang memabukkan. Ia menjadi minuman kemegahan bagi orang-orang fasik, kafir dan munafik. Di dalam Islam hukum meminumnya adalah haram.


ii) Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa arak itu adalah ibu segala kejahatan. Ini terbukti di mana hasil kajian mendapati bahawa arak sebenarnya boleh merosakkan fizikal dan mental manusia di mana dari segi ilmu perubatan arak itu boleh memberi kemudharatan pada tubuh badan manusia seperti menyebabkan penyakit lemah jantung, barah mulut, tengkuk, kerongkong, penyakit saraf dan penyakit hati.


iii) Manakala dari aspek mental pula al-Quran sendiri ada menyebut bahawa arak itu akan mendedahkan gejala yang tidak baik kepada individu, masyarakat dan negara di mana seseorang yang meminum arak pasti akan mengalami gangguan minda, hilang pertimbangan dan kesedaran diri menyebabkan ia akan melakukan sesuatu perkara buruk yang tidak pernah dilakukan ketika dia berkeadaan waras. Inilah puncanya berlaku permusuhan dan kebencian serta terjadinya penyakit sosial seperti gejala seks bebas, pembunuhan dan kemalangan jalanraya.


iv) Sesungguhnya tujuan utama Islam mengharamkan pengambilan arak adalah untuk menjaga keperibadian manusia daripada perkara-perkara yang merosakkan selain daripada kesan arak itu sendiri yang boleh melalaikan diri daripada mengingati Allah. Bahkan para fuqaha mengatakan bahawa jenayah arak ini sebenarnya samalah seperti kesalahan mencuri dan berzina di mana hukuman yang bersabit dengan arak ini adalah sebat antara 40 hingga 80 kali.


v) Larangan arak selain daripada yang disebutkan di dalam hadis di atas juga berlaku pada larangan menghadiri majlis di mana arak disediakan untuk para tetamu.


Oleh itu menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk menjauhi arak daripada kehidupan mereka dan bersama membenteras gejala tidak sihat ini daripada terus menular di dalam masyarakat

Soal yang timbul kini, seorang mantan menteri penuh telah bertaubat yang mengakui pernah minum arak semasa zaman "jahiliahnya" juga satu kenyataan yang tidak boleh dinafikan.


Ramai umat Islam yang berjawatan tinggi pun pernah buat begitu bahkan ada yang masih dengan tabiat "jahiliah" itu bersma-sama mantan menteri tersebut ketika bersama, sudahkah bertaubat atau tidak.


Cuma, kita tidak pasti sama ada mereka, terutama mantan menteri, telah bertaubat dan tidak lagi meminum arak. Jika dia telah benar-benar bertaubat, Alhamdulillah dan kita tidak seharusnya membangkitkan perlakuan yang berlawanan dengan ajaran Islam yang pernah dilakukannya.


Perbuatan menghina atau memburuk-burukkan orang lain pun dilarang oleh Islam. Dosa besar, kita cuba mengaibkan orang yang sudah bertaubat. Politik kotor mengaib dan memburukkan peribadi orang sangat tidak wajar menjadi seorang pemimpin yang dihormati.


Yang menghairankan kami ialah kenapa baru sekarang nak ungkit tabiat atau perbuatan buruk yang lalu. Kenapa perbuatan meminum arak tidak dijadikan isu semasa beliau berada dalam organisasi yang sama dan berjawatan menteri? Adakah hukumnya halal minum arak jika bersama dalam organisasi yang sama dan haram meminumnya jika tidak lagi bersama.


Kami tidak mahu pro atau kontra mana-mana pihak, jika ternyata perbuatan keji dizaman jahiliahnya masih diteruskan dan tidak mahu bertaubat. Begitu juga kami sebagai aktivis dakwah tidak akan bersekongkol dengan mana-mana pihak yang suka mengaibkan peribadi seseorang yang telah bertaubat, kerana kerja-kerja mengaib dan memburuk-burukkan peribadi itu juga dosa besar. Boleh dikatakan sama dosanya dengan peminum arak.


Haram tetap haram, tidak kira kedudukan dan taraf hidup seseorang itu dan kita juga mesti terima hakikat yang seseorang itu diberi peluang oleh Allah untuk bertaubat dan kembali patuh kepada ajaran Islam. Soal dosa, pahala, syurga dan neraka bukan kerja kita. Kerja kita menyampaikan mesej dakwah dan peringatan supaya tinggalkan perbuatan keji dan mungkar. “Sesungguhnya Dia (الله) penerima taubat” انه كان توابا


0 ulasan:

 

Pengikut