LANDAS

Chicklet Chooser

Add to Google Reader or Homepage

FeedBurner FeedCount

Cari Blog Ini

Ahad, 4 April 2010

3 MATI DAN 18 CEDERA TERMASUK BEBERAPA ORANG CEDERA PARAH DI KG BERANGAN BACHOK NARATHIWAT

Us Kamaruddin Kassim (Aman Pattani) bersama Pegawai Kanan
Tentera Laut Thailand di lokasi kejadian Kg Berangan Bachok


kesan tembakan senjata M16 di atas meja kedai makan di Kg Berangan dan sudara Zakaria dari PUM PP sedang mengambil Video kesan peluru
wakil CI dan HAP sedang berbual dengan seorang pegawai tentera laut Thai di lokasi kejadian

Sekumpulan siswa siswi Universiti di Narathiwat menziarahi keluarga mangsa pembunuhan di Kg Berangan Bachok Narathiwat

Ziarah Kebajikan Kampung Berangan, Lubuk Sawa, Daerah Bacho, Wilayah Narathiwat : Saat Berkocaknya Air Yang Tenang


NARATHIWAT - Tragedi menyayatkan hati yang menimpa al-marhumah Baldatee dan ibunya, Che Mek tanggal 15 Februari 2010 lalu telah membawa kami dari Aman Pattani (AMANI) PUMPP sekali lagi bertandang ke Kampung Kucing Lepas, Mukim Chalem, Daerah Ranget, Wilayah Narathiwat. Kedatangan kami ternyata dialu-alukan apabila kami turut diundang ke majlis bacaan Yaasin, Tahlil dan sedikit kenduri daripada keluarga al-marhumah. Selama tiga hari kami luangkan masa untuk ziarah kebajikan tersebut. Bermula 1 sehingga 3 haribulan April 2010, kami singgah di sana. Kami tiba di Selatan Thai awal sehari daripada majlis berkenaan. Yakni pada 1 haribulan April 2010. Di Yala kami bermalam agar kami dapat bertanya khabar dan berkongsi pengalaman jatuh bangunnya sahabat–sahabat Deep Peace dan HAP sebagai barisan pembela nasib rakyat di Selatan Thailand.


Berada di bumi bergolak itu, segala-galanya tidak dapat diduga. Pepatah kata “bak telur di hujung tanduk” barangkali tidak begitu tepat untuk mengambarkan suasana di sana tidak dapat ditebak itu lantaran hakikatnya jauh lebih runcing. Pada malam itu, kira-kira pukul 10.15 malam waktu Thailand, Kampung Berangan, Mukim Lubuk Sawa, Daerah Bacho, Wilayah Narathiwat gegak gempita dengan dentuman tembakan yang menggegarkan jiwa. Keesokannya, tiga nyawa dilapor terkorban, manakala 18 lagi cedera. Sebilangan mereka berada dalam keadaan parah dan dirawat di Hospital Narathiwat. Penduduk Kampung Berangan gawat menghadapi saat berkocaknya air yang tenang. Tidak pernah kampung mereka dibedil oleh tentera sebelum kejadian itu.


Kami mebidak catur kembali rencana perjalanan. Pacuan empat roda yang sepatutnya menghala ke Kampung Kucing lepas, kami dibawa singgah di Kampung Berangan untuk bersua muka dengan kelaurga-keluarga mangsa.


Sebelum kejadian itu, kira-kira pukul 6.00 petang, sekumpulan pemburu haiwan yang terdiri daripada enam orang berbangsa Siam Budha telah dijumpai terbunuh dipercayai ditembak di kaki Bukit Budo, daerah Bacho, Wilayah Narathiwat. Pihak polis menemui sebuah trak pikap yang berlubang akibat ditembusi peluru di tepi jalan bukit berkenaan. Sebutir bom meletup ketika pihak polis bergegas ke tempat kejadian dan menyebabkan beberapa anggota polis cedera.


Rentetan daripada peristiwa petang itu, Hakwea Thakir Ari, Harun Thakir Ari dan Nik Yeak Tuan Wok meninggal dunia pada sebelah malamnya. Manakala mereka yang cedera parah adalah Semah Muna (pemilik kedai kopi), Wea Nu Sien Watek, Halim Yasad Matmea, Ismail Tatmara, Semea Umara, Matraa Saleh, Shaari Awea Salekmea, Ismail Dahea dan mangsa yang paling muda, Aswa yang berusia kira-kira 18 tahun. 5 lagi mangsa hanya mengalami cedera ringan dan menerima rawatan pesakit luar.


Mak cik tengah baring dan bersedia untuk tidur ketika deretan bunyi bedilan kedengaran. Serentak dengan itu kedengaran bunyi jeritan. Penuh rumah mak cik dimasuki oleh orang ramai untuk menyelamatkan diri,” ulas Mek Muye. Rumah wanita berkenaan terletak betul-betul di belakang kedai kopi yakni tempat kejadian. Mak Muye kelihatan tidak bermaya kerana tidak menjamah sedikit makanan pun sejak anak perempuannya yang juga mangsa, Rohimah dimasukkan ke hospital. Mujur kecederaan wanita lewat empat puluhan itu tidak begitu serius. Hanya cedera sedikir di bahagian kepala.


Menurut saksi kejadian, sebuah kereta bewarna hitam telah memperlahankan kenderaannya dan melepaskan beberapa das bedilan ke arah orang kampung yang sedang minum kopi, bermain karom dan menonton televisyen. Beberapa meter kehadapan, kenderaan tadi sekali lagi melepaskan beberapa das bedilan. Dua orang mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa meninggal di hospital.


“Biasanya, lepas Isyak lagi kedai kopi itu sudah tutup. Namun, pada malam itu kedai kopi berkenaan dibuka lebih lama memandangkan orang ramai masih berpusu-pusu bertandang di kedai berkenaan kerana ada kenduri di salah sebuah rumah penduduk kampung,” tambah Mak Muye lagi. Suaranya antara dengar dan tidak. Mendengar cerita Mak Muye, sukar untuk pihak kami akui bahawa pihak yang telah melepaskan bedilan itu sudah menjalankan siasatan secara terperinci. Tidak dapat tidak, kesimpulan yang boleh dibuat, tembakan itu adalah bedilan secara rawak yang sasarannya adalah mereka yang lemah dan tidak berdosa.


Ketika krew kami tiba, kesan tembakan masih berbekas di meja makanan. Bahkan kesan tersebut turut kelihatan pada papan karom, kerusi plastik, pokok kelapa, batu batan dan dinding rumah. Kesan-kesan darah yang mula mengering turut terpalit di beberapa tempat dengan bau hanyir tidak lagi singgah di indera hidu. Barangkali sudah diterbangkan angin.


“Ini peluru yang digunakan oleh mereka untuk membedil orang-orang kampung semalam,” ujar Sudin sambil menunjukkan peluru yang sudah bertukar rupa menjadi bulat kepada krew kami. Dari bukti peluru yang masih disimpan oleh keluarga mangsa, senjata yang digunakan oleh kumpulan yang tidak dikenali tersebut adalah M16. Disahkan oleh sahabat kami pernah belajar menembak menggunakan senjata M16 semasa bertugas sebagai pegawai berpakaian seragam di jabatan kerajaan malaysia.


“Mereka yang meninggal dan cedera tersebut tidak mungkin terlibat dengan sebarang bentuk keganasan. Kami kenal siapa mereka,” ujar salah seorang keluarga mangsa.


Melihat kepada kediaman yang menjadi tempat berteduh oleh keluarga Mak Muye, kami dapat mengagak bahawa rata-rata penduduk Kampung Berangan itu bukanlah golongan berada. Zink dan daun yang seakan-akan tikar mengkuang dijadikan sebagai dinding rumah. Bagaimana agaknya nasib Isteri yang telah menjadi balu dan anak-anak yang telah menjadi yatim piatu itu? Itulah bahana prasangka yang mereka terpaksa bayar dengan nyawa.


Menjelang jam 12. 30 tengah hari waktu thai, azan Jumaat dikumandangkan oleh mu’azzin. Majoriti penduduk lelaki Kampung Berangan menuju ke Masjid Darul Aman, termasuk krew kami yang lelaki. Saat para jemaah meraut wajah usai imam membaca doa, mereka tidak segera bangun lantaran mereka diperintahkan untuk tunggu sejenak bagi mendengar ucapan yang akan disampaikan oleh Timbalan Gabenor Narathiwat yang lebih dikenali sebagai Be Hok (mungkin nama Melayunya Ishak.)


Menurut pemerhatian krew kami, hampir keseluruhan penduduk Kampung Berangan tidak berpuas hati dengan kedatangan Be Hok, Timbalan Gabenor Narathiwat. Be Hok rupa-rupanya dihantar oleh pemerintah Thailand untuk memurnikan perspektif penduduk Kampung Berangan akan kejadian yang telah berlaku.


Be Hok menyeru kepada penduduk kampung agar tidak meletakkan para tentera di kandang pesalah. Bahkan kalau boleh, Be Hok mahu tentera itu dilihat sebagai malaikat penjaga kehidupan. Be Hok juga meminta penduduk kampung agar bersabar terhadap ujian yang menimpa mereka. Mujur, ucapan yang disampaikan oleh Be Hok tidak mencetuskan sebarang kekecohan walaupun hakikatnya terlalu sedikit bahkan mungkin tiada dalam kalangan jemaah yang sehaluan dengannya.


Usai Solat Jumaat, seorang Mejar tentera laut yang bertugas ketika itu, mengajak kami ke bandar Narathiwat. Pegawainya berpangkat Timbalan Ketua Pemerintah kawasan wilayah Narathiwat hendak berjumpa kami bagi menerangkan duduk perkara situasi sebenar konflik. Pada mereka tidak adil andainya krew kami hanya mendengar pendapat dari sebelah pihak sahaja sedangkan sebelum kejadian di Kampung Berangan, sudah enam orang dari bangsa Siam menjadi mangsa bedilan peluru yang entah datang dari mana.


Pihak kami tidak menolak pelawaan daripada Mejar berkenaan memandangkan kami mungkin memperolehi beberapa manfaat dari diskusi tidak rasmi itu. Kenderaan kami membuntuti kenderaan Mejar berkenaan menuju ke bandar utama Narathiwat yang terletak kira-kira 30 KM dari Bacho. Setibanya di sebuah restoran siam, kami disambut dan dilayan mesra oleh Timbalan Pegawai Pemerintah Tentera Wilayah Narathiwat.


Sepanjang diskusi itu, kami tidak sekadar membatu mendengar cerita yang baik-baik belaka yang dilakukan oleh tentera Thailand seperti yang disampaikan oleh pegawai tersebut. Sambil kami dihidangkan minuman membasahi tekak yang haus. Sebaliknya pihak kami turut menghujani mereka dengan pelbagai soalan di samping menyelitkan beberapa pandangan sebagai NGO di peringkat global. Sekali lagi pihak tentera tidak rasa senang sebab kami belum lagi makan tengahari. Kami dibawanya ke sebuah restoran Islam untuk menjamah selera makan tengahari.


Jam menunjukkan pukul 4.00 petang waktu Thailand atau jam 5.00 petang waktu Malaysia. Matahari semakin berat di sudut barat. Untuk meneruskan perjalanan ke kawasan yang dilabelkan sebagai kawasan merah (red zon) oleh tentera Thailand bukan satu pilihan bijak. Namun, kesungguhan yang ditunjukkan oleh keluarga al-marhumah membuatkan kami tidak sampai hati untuk tidak memenuhi undangan mereka. Berkali-kali pihak kami dihubungi.


Kedatangan krew kami disambut bangat oleh keluarga al-marhumah. Hati kami dijentik sayu saat memandang wajah bening Hikam, anak sulung Baldatee yang baru mencecah usia tiga tahun. Saat dunia dan permainannya masih belum lumat dihadam, Hikam terpaksa menggalas beban sebagai anak yatim piatu. Sedikit perubahan pada diri Hikam membuatkan kami mengurut dada lega. Hikam tidak lagi menyambut dingin kehadiran kami seperti dahulu sewaktu kami mula-mula sampai ke kampung pendalaman berkenaan.


Hati semakin terusik saat melihat anak bongsu Baldatee yang baru berusia 14 bulan lena dalam pangkuan neneknya.


Pihak kami menyampaikan sedikit sumbangan kepada keluarga Baldatee selepas selesai menjamu selera hidangan keduri yang disediakan oleh tuan rumah. Ketika azan Maghrib berkumandang, kami bertolak pulang ke Yala.


Kampung Kucing Lepas berbalam-balam kami tinggalkan dengan perasaan yang bercampur baur. Sinar teja yang indah di kaki langit tidak bisa menghiburkan hati kami. Sungguh kami larut dalam keresahan jiwa yang tidak terungkap. Mungkinkah suatu hari kami akan kembali ke sini untuk mendengar satu lagi peristiwa pedih dari sebuah keluarga penoreh getah dan pesawah padi? Na’zubillah (نعوذ بالله من ذالك). Moga-moga perlindungan Allah selalu bersama mereka. AMANI


0 ulasan:

 

Pengikut