LANDAS

Chicklet Chooser

Add to Google Reader or Homepage

FeedBurner FeedCount

Cari Blog Ini

Isnin, 18 Julai 2011

LARANGAN ORANG ISLAM DI PUSAT HIBURAN SEPANJANG BULAN RAMADHAN


Penjelasan Oleh Setpol MB Kedah Mengenai Larangan Operasi Pusat Hiburan Di Bulan Ramadhan Menyanggah Laporan TV3

18 Julai 2011


Seperti yang dijangka, TV3 dan sekutunya akan kata PAS tunduk kepada tekanan DAP. Dituduh pula dalam Buletin Utama tadi, saya yang membawa berita kepada PAS Pusat bahawa Kerajaan Kedah telah menarik balik larangan Operasi Pusat Hiburan Di Bulan Ramadhan di Kedah! Hah!


Apa makna tarik balik larangan itu? Ia bermakna Kedah membatalkan Enekmen 1997 itu atau menghapuskan syarat am no 8… Adakah kita bergerak ke arah itu? TIDAK! Kita guna Kuasa Pihak Berkuasa Negeri seperti yang diperuntukkan di bawah undang-undang untuk menyelesaikan satu isu yang tak permah selesai di zaman Barisan Nasional. Selamatlah Umat Islam dari gejala yang menjejaskan Ibadah sepanjang Ramadhan tahun ini dan Ramadhan tahun-tahun berikutnya… Kalau boleh, biarlah ia berkekalan hasil tindakan bijak kerajaan dalam Madrasah Ramadhan 1432 ini!


Mari kita memahami isunya dulu, baru kita buat kesimpulan.


Posting saya sebelum ini menegaskan MB tak akan berundur. Berundur daripada apa? Berundur daripada menseragamkan penguatkuasaan Enekmen Hiburan Dan Tempat-tempat Hiburan 1997 seperti yang diluluskan dalam Mesyuarat Exco 4 Mei 2011. Ia tetap akan dilaksanakan seperti yang diputuskan.


Siapa yang mendesak?? MCA, Gerakan dan DAP! Apa desakan mereka?…Hapuskan Enekmen itu! Kalau tidak kami saman! Kata Tan Kheng Liang, Ketua Pemuda Gerakan.


Apa yang terkandung dalam Enekmen itu? Bila diluluskan?


Ia adalah tatacara menjalankan aktiviti hiburan dan perniagaan berkaitan hiburan,. Apa aktiviti yang termasuk dalam Enekmen ini? Banyak! 13 kategori semuanya… termasuk karaoke, pentomin, panggung wayang, laser disc, MTV, persembahan pentas, sarkas, pancaragam dengan penyanyi, bowling, snuker, billiard, bar, simulator, disko, pub dan lain-lain Ia diluluskan diluluskan pada 1997 dan diwartakan pada 12 Febuari 1998.


Apakah Syarat Am no. 8?


Dalam Jadual C, Enekmen itu muka surat 150 Warta bertarikh 12 Febuari 1998, dinyatakan dengan jelas syarat am no.8 seperti berikut: Jenis-hiburan yang tersebut di atas tidak boleh diadakan pada bulan Ramadhan atau pada hari Jumaat (iaitu, antara jam 6 petang hari Khamis dan jam 2.30 petang hari Jumaat)kecuali izin bertulis daripada Pihak Berkuasa Negeri diperolehi.


Syarat inilah yang cuba diseragamkan ke seluruh negeri melalui satu kertas Exco yang diluluskan pada 4 Mei 2011, antara lain kelulusan itu menyatakan seperti berikut:


  1. Mengeluarkan arahan kepada semua Pegawai Perlesenan Daerah (Pegawai Daerah) untuk menguatkuasakan penutupan pusat-pusat hiburan dengan kerjasama pihak polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
  2. Bersetuju mengecualikan pertunjukkan berkaitan dengan keagamaan dan kepercayaan sesuatu kaum dengan syarat tidak menimbulkan kacau ganggu dan mendapat sokongan daripada Pegawai Perlesenan Daerah untuk dihantar bagi mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Negeri.
  3. Bersetuju kelulusan Muktamad adalah kuasa Pihak Berkuasa Negeri.


Persetujuan juga termasuk mengklasifikasikan semula jenis hiburan, dengan mengeluarkan aktiviti bowling, billiard, snooker dan sukan-sukan lain daripada takrif hiburan.


Langkah-langkah Penyelesaian


Kerana yang membantah dan menentang ialah masyarakat bukan Islam terutama masyarakat cina, YAB MB memanggil Dewan Perhimpunan Cina Kedah sebagai wakil pengusaha/operator 300 pusat hiburan untuk mendengar pandangan dan keluhan. Dia tidak memanggil Tan Kheng Liang, Chong It Chiew atau Chor Chew Hung! Sekitar 30 orang operator hiburan turut hadir.


Salah sangka – seperti sangkaan MCA, Gerakan dan DAP


Mereka sangka tentang 13 kategori/jenis hiburan itu diarah tutup semuanya. Mereka sangka tentang jalan keluar dari isu ini hanyalah melalui membatalkan Enekmen 1997 itu. Mereka terlupa syarat no.8 itu ada tercatat pada borang memohon lesen yang mereka tandatangani. Mereka sangka peraturan ini hanya berlaku di daerah tertentu sahaja. Mereka tidak tahu beberapa kategori sukan dikecualikan dari takrif hiburan dalam Enekmen. Semua persepsi ini dibina oleh MCA, DAP dan Gerakan melalui media.


Pendekatan bijak berasaskan agama – bukan perasaan dan sentiment kaum dan politik sempit.


YAB MB memberi penjelasan dan mereka memberi beberapa pandangan dan perakuan dalam memorandum 3 halaman. Secara umum, hiburan tidak dilarang oleh agama selain Islam, dan Ramadhan adalah bulan suci umat Islam sahaja. Di sebalik 300 operator hiburan, ada 6,000 jiwa pekerja mereka yang terpaksa berhenti selama sebulan akibat penutupan itu.


Cadangan mereka ialah (3.1 hingga 3.3) merayu pusat hiburan dizinkan beroperasi mengikut peraturan yang sedia ada. Tidak beroperasi malam Jumaat dan memastikan orang Islam tidak memasuki premis sepanjang Ramadhan. Jika didapati ada pengunjung Islam, mereka bersedia lesen mereka dibatalkan. – Maknanya, operasi sepanjang Ramadhan 100% untuk bukan Islam. Mereka beri komitmen untuk memastikan hal ini – Jadi apa masalahnya?


Mereka memohon sambutan ‘bulan hantu’ masyarakat cina yang disambut hampir sama dengan Ramadhan dibenarkan diadakan persembahan seperti biasa. Mereka akan pastikan kemuliaan bulan Ramadhan akan terpelihara tanpa sebarang kacau ganggu untuk kepentingan hidup bersama.


Kebijaksanaan Berdasarkan Suasana Semasa


Secara umum, MB bersetuju pusat hiburan dibenarkan sepanjang Ramadhan untuk masyarakat bukan Islam sahaja kerana itu hak mereka, dan kerajaan juga harus memastikan umat Islam terhindar daripada perkara-perkara yang menjejaskan ibadah sepanjang bulan itu. Enekmen yang sudah diwartakan harus dikuatkuasakan untuk kepentingan semua pihak. Ini tanggungjawab sebuah kerajaan.


MB menyatakan isu penguatkuasaan Enekmen ini akan diserahkan kepada pentadbiran pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Perlesenan Daerah. Mereka akan timbangkan kelonggaran yang diminta berdasarkan peraturan sedia ada dan cadangan yang dikemukakan. Selesailah isu sensasi yang sengaja dipanaskan ‘tak ketahuan punca’ itu. Tidak timbul sama sekali pembatalan larangan atau ‘tarik balik’ kerana takutkan DAP!


Inilah sebahagian kandungan ditaklimatkan kepada Mesyuarat Bulanan Jawatankuasa PAS Pusat semalam. Saya juga menjawab dan menjelaskan beberapa persoalan Jawatankuasa PAS Pusat yang kurang jelas dalam beberapa isu di akhbar dan media internet. Daripada beribu komen yang dilontarkan sebaik pengumuman oleh MB pada hari Rabu lalu, hampir tiada yang menentang. Ada sedikit pandangan supaya diberi kelonggaran kepada bukan Islam yang berniaga sesama mereka dalam bulan Ramadhan ini.


Dalam sidang media selepas mesyuarat itu, YB Dato’ Seri Hj Hadi Awang, Presiden PAS menegaskan beliau berpuas hati dengan kebijaksanaan Kedah menyelesaikan isu ini berdasarkan lunas-lunas agama. Memberikan hak kepada bukan Islam mengamalkan cara hidup mereka, dan mengawal umat Islam dari terjerumus dalam amalan yang tidak selari dengan tuntutan Islam - yang menjadi hak dan tanggungjawab kerajaan dan umat Islam.


Beliau kesal dengan manipulasi media yang berniat melagakan parti-parti dalam PR dan mengelirukan masyarakat awam. Beliau mengalu-alukan langkah ke hadapan Kerajaan kedah dalam menguruskan kehidupan masyarakat majmuk dengan penuh kebijakan berasaskan keperluan dan suasana semasa. Tidak ada sepatah pun Presiden PAS menyatakan Kedah menarik balik larangan itu…


Apa makna tarik balik larangan itu? Ia bermakna Kedah membatalkan Enekmen 1997 itu atau menghapuskan syarat am no 8… Adakah kita bergerak ke arah itu? TIDAK! Kita sedang melaksanakannya… BN yang gagal laksanakan Enekmen ini…walaupun diluluskan bersama UMNO, MCA Gerakan dan MIC pada 1997…BN tak berani laksanakan sepenuhnya..kenapa? Ini barulah dikatakan tunduk kepada MCA, Gerakan, MIC.


ULASAN UNGGAS MALAYSIA


Kami menyokong kerajaan negeri memberikan kebebasan orang bukan Islam berhibur yang tidak mengganu keharmunian kaum dan hak beragama. Dengan syarat pihak berkuasa PBT, pelesenan Pejabat Daerah dan pihak berkuasa Jabatan agama bersungguh-sungguh melaksanakan penguatkuasaan terhadap umat Islam yang terlibat dengan aktiviti hiburan yang melanggar hokum Islam.


Kami para sukarelawan LANDAS/UNGGAS sentiasa berada di lapangan mengadakan outreach dakwah mengunjungi pelbagai jenis pusat hiburan. Realitinya tidak sama apa yang diharapkan dan pihak pengusaha pusat hiburan tidak menghormati hak beragama bagi orang Islam.


Situasi ini berlaku semenjak zaman pemerintahan BN lagi sehingga di zaman pemerintahan PR. Jangan pula kerana PR/PAS memerintah, pembangkang BN/UMNO mendiamkan diri apabila isu ini dimainkan oleh rakan parti bukan Islam dalam BN dengan dimanipulasikan oleh media arus perdana tanpa melihat sensitiviti beragama. Pihak kami aktvitis dakwah LANDAS/UNGGAS amat kesal apabila persoalan hukum dipermainkan sehingga orang bukan Islam hilang hormat terhadap Islam. Sepatutnya UMNO yang menjadi rakan BN menjelaskan kepada rakan parti bukan Islam mengenai Enakmen yang diklasfikasikan pusat hiburan yang digubal pada tahun 1997 semasa zaman pemerintahan BN lagi.


Apa guna kita berkawan dengan orang bukan Islam jika sekiranya kita tak pernah sampaikan mesej dakwah kepada mereka supaya non muslim faham apa itu undang-undang Islam dan cara hidup Islam. Jangan disebabkan anda bermusuh dalam parti politik yang berbeza yang menimbulkan salah faham beragama dan tidak terfokus kepada menghayati kesempurnaan ibadah dalam bulan Ramadhan dan tidak menghormati bulan barakah. Rakyat yang ingin cara hidup diamal dan dilaksanakan khususnya di negeri Kedah Darul Aman sentiasa memerhatikan gelagat anda yang tidak islamik. Kembalilah kepada Allah, bertaqwa dan melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar.


Semoga Allah limpahkan keberkatanNya sempena menjelangnya bulan Ramadhan al-Mubarak ini dan kedah akan menjadi negeri yang benar-benar sejahtera, negeri yang baik dan mendapat keampunan Allah. InsyaAllah kami sukrelawan LANDAS/UNGGAS akan sentiasa berada di lapangan, mengadakan outreach dakwah mengunjungi pusat2pusat hiburan sempanjang ramadhan dan membuat pemetaan sosial. Kami juga ingin memastikan pihak pengusaha pusat hiburan menghormati hukum-hukum beragama, juga sejauhmana pihak berkuasa PBT, Pejabat Daerah, Polis dan Pejabat Agama melaksanakan amanah demi memelihara kemuliaan bulan Ramadhan kali ini.


Hukum Islam dan cara hidup Islam tetap tidak berubah walaupun bertukar parti memerintah negeri kedah ini. Kami yang bergerak atas NGO dakwah ini tetap konsisten dan kritis terhadap mana-mana pihak yang diberikan amanah untuk memerintah Negara dan negeri. Kami masih menghormati Negara demokrasi yang membernarkan mana-mana parti yang menang dalam PRU untuk memerintah negeri dan Negara.


Keutamaan kami bagi parti orang Islam yang memerintah, dakwah dan Islam diletakkan di hadapan. Menjelaskan kepada orang Islam apa itu Islam dan segala ajarannya supaya mereka faham dan menghormati amalan wajib orang Islam. Jangan pula kita orang Islam tumpang sekaki berhibur yang melanggar batas-batas hukum Islam dengan minum arak di pusat-pusat hiburan bukan Islam. Kami kenal siapa yang masuk keluar pusat hiburan dalam situasi mabuk.


0 ulasan:

 

Pengikut