Laporan Ringkas
Akademi Dakwah 2009
Selama dua minggu Madrasah Aktivis Dakwah (Mad’u) atau Akademi Dakwah 2009 anjuran Angkatan Pemuda Pemudi Islam (API) telah merencanakan pelbagai permasalahan umat yang meruncing belakangan ini. Peserta yang datang dari pelbagai tempat, latar belakang dan perangai menimbulkan suasana yang harmonis dan kadang kala menjadi kenangan yang manis. Program yang bermula di belakang Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Sg. Dua, Pulau Pinang dan berakhir di Kg. Teluk Mat Acheh, Yan disusun dengan lapangan aktivisme yang pelbagai sebagai contoh serangan pemikiran, pendidikan, konflik umat Islam global, sosio ekonomi umat Islam, dakwah kelompok minoriti, alam sekitar dan kepenggunaan, permasalahan sosial dan penulisan.
Ghazwul fikr (serangan pemikiran)
Tajuk; Pemikiran Islam, Sejarah dan Cabaran : Monoreligio Global, Perkembangan dan Cabaran pada dunia Islam yang disampaikan oleh Akh Nizam Mashar sebagai pengantar kepada pemikiran-pemikiran yang muncul menjadikan para peserta tersentak dengan istilah-istilah serta kalimah-kalimah falsafah yang agak memeningkan (termasuk saya). Pemikiran sekularisme yang meracuni negara moden kini menjadi asbab kepada kefasadan yang berlaku kini turut dibentangkan. Kemudian Akhi Izzat pula mengetengahkan tentang Pemikiran Islam yang agak berat tambahan pula pada waktu petang yang agak mendung, menambahkan lagi ‘aura’ mengantuk sementara Ustaz Hafiz Nordin pula membentangkan tentang Islam Liberal yang berkembang pesat ke seluruh dunia dan sejarahnya sehingga fahaman sesat ini semakin berkembang. Pada malamnya, Dr. Muhammad Ali dari SOLACE menyampaikan cemarah tentang Wacana Pemikiran Islam Baru sebagai penyelesaian serangan pemikiran yang telah dibentangkan sebelumnya.
Sistem Pendidikan Islam
Dr. Fadhullah Jamil dari Pusat Pendidikan Jarak Jauh USM yang juga seorang pakar sejarah Islam pula membentangkan kertas kerja mengenai Falsafah Pendidikan Islam, dengan nada yang agak keras tetapi mempunyai mesej yang jelas. Definisi Pendidikan Islam dihuraikan satu persatu memudahkan peserta memahami apa yang hendak disampaikan. Pengisian seterusnya mengenai Isu Pendidikan di Malaysia secara ringkas diberikan oleh Cikgu Sakinah membuatkan peserta merasai realiti sebenar tentang permasalahan yang berlaku dan sedikit pendekatan yang diberikan untuk bakal-bakal guru. Pada malamnya, peserta (secara berkumpulan) dikehendaki menganalisa satu permasalahan pendidikan di Malaysia meliputi faktor, kesan dan tindakan.
Konflik Umat Islam Global
Kertas kerja Hj. Mohideen dari Citizens International (CI) mengenai Isu Global Umat Islam mendedahkan tentang cabaran dan masalah berlakunya konflik ini dan beberapa penyelesaian isu ini. Lapangan ini menfokuskan Isu Selatan Thailand sebagai rujukan dengan menjemput Saudara Fawaz Abdul Aziz, bekas wartawan malaysiakini yang sekarang bertugas di CI dan merupakan seorang yang mahir tentang isu di Selatan Thailand. Kedatangan 2 orang wakil aktivis dari Selatan Thailand menceritakan sejarah dan pengalaman ditangkap membuatkan sebahagian peserta berasa sedih dan menyebabkan mereka bersyukur berada di negara Islam Malaysia (negara Islam?)…Pada malamnya, kami dipersembahkan tentang gambar dan video yang menayangkan perjuangan sahabat di Patani, Yala dan Narathiwat terhadap kerajaan Thailand yang menekan kehidupan mereka. Kemudian, Akh Saiful turut memperkenalkan sekteriat khusus untuk mengendalikan beberapa permasalahan isu Selatan Thailand dengan kerjasama beberapa NGO-NGO di sana.
Sosio Ekonomi Umat Islam .
Kali ini kami menuju ke Pejabat Persatuan Penduduk Kg. Tanjung Tokong bersama dengan Pengerusi Persatuan Anak Jati Melayu Pulau Pinang (PAJIM) yang mesra dengan panggilan Pak Usop. Turut sama hadir ialah Pengerusi Persatuan Penduduk Kg. Tg. Tokong iaitu Cikgu Saleh. Kami didedahkan tentang sejarah kampung dan realiti yang berlaku antara pihak UDA Holdings dan penduduk kampung. Cikgu Saleh turut mengemukakan bukti-bukti tentang kewujudan masyarakat Melayu sebelum Pulau Pinang diserahkan kepada Francis Light lagi. Selepas solat Jumaat di Masjid Tg. Tokong, kami bergerak ke Kg. Makam yang turut sama menjadi mangsa akibat kerakusan pihak yang menghidapi penyakit “wahanisme”. Penerangan beberapa penduduk kampung bersama Angkatan Bertindak Rakyat Tertindas mengenai tanah wakaf di situ menimbulkan kehairanan bagaimana pihak yang bertanggungjawab lalai menunaikan amanah dan cuai dalam menjaga tanah wakaf di sekitar Pulau Pinang.
Dakwah kelompok minoriti (Orang Asli)
Peserta-peserta AD bertolak ke Sg. Siput, Perak dari Butterworth dengan menaiki kenderaan pacuan 4 roda Team 4x4 (Utara Offroad Club) sebanyak 11 buah. Kira-kira jam 5 pagi, kami tiba di Masjid Lasah dan berehat. Seawal 7 pagi, semua kenderaan pacuan 4 roda bertolak ke kaki bukit untuk menuju ke Kuala Mu. Kira-kira jam 12 tengah hari, kami tiba di sana dengan selamat. Antara program yang diaturkan ialah gotong-royong memasak untuk jamuan makan kepada masyarakat orang Asli (Pos Kuala Mu) ; cak raya, menziarahi Tok Batin, mengedarkan beras, dan beramah mesra dengan penduduk, menyaksikan tarian sewang dan lain-lain. Solat berjemaah dan tazkirah turut dijalankan walaupun suasana begitu sejuk pada sebelah paginya. Masyarakat orang Asli di sana kebanyakkannya masih belum mampu untuk menunaikan perkara-perkara fundamental syariat Islam. Kami berasa belum puas walaupun kebanyakkan golongan kanak-kanak orang Asli mampu melafazkan kalimah-kalimah syahadah dengan baik. Kami tinggalkan bumi Kuala Mu dengan seribu kenangan pahit dan manis sambil menghayati bagaimana dakwah RasuluLlah yang begitu ‘berat’ berbanding apa yang telah kami alami.
Alam Sekitar dan Kepenggunaan
Saudara Ridzuan bin Muhammad wakil Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyampaikan slot beliau mengenai Kepenggunaan meliputi hak-hak pengguna, isu-isu kepenggunaan dan lain-lain. Para peserta begitu tertarik dengan perkara-perkara yang dibincangkan kerana kebanyakkannya berkisar tentang kehidupan mereka contohnya masalah urusan jual beli dan sebagainya. Isu halal dan haram yang dikemukakan kepada penceramah menyebabkan para peserta makin tertarik dengan isu kepenggunaan ini. Kemudian para peserta dikehendaki mem’bedah’ buku-buku kepenggunaan antaranya Masyarakat yang Sakit, Kesan Televisyen terhadap Anak-anak, Awasi Garam Tersembunyi dalam Makanan dan Merungkai Perangkap Budaya Pengguna. Peserta kemudiannya dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan seterusnya membentangkan perkara-perkara pokok dalam buku tersebut. Keesokkan harinya, Saudari Fatin Safiah Kamaruddin dari Sahabat Alam Malaysia (SAM) pula menyampaikan ceramah tentang Alam Sekitar dan beberapa isu alam sekitar di Malaysia. Pada petangnya, Saudara Shamsul Ery Shamsuddin wakil Sahabat Alam Malaysia memberi penerangan tentang isu kuari Jerai yang mencetuskan konflik yang begitu hebat. Turut dimuatkan tentang isu SULIHH (Sungai Limau Hydro Carbon Hub) yang diperkenalkan oleh kerajaan Kedah di Pulau Bunting Yan. Para peserta dibawa ke Pulau Bunting untuk melihat sendiri isu ini serta membuat sedikit temu ramah dengan penduduk di sana. Kemudiannya, Akh Nizam Mashar menyampaikan ceramah tentang Alam Sekitar, Pembangunan dan Masyarakat yang menyentuh tentang punca-punca isu alam sekitar dan kaitannya dengan pemikiran, pembangunan secara Islam dan masyarakat.
Permasalahan Sosial
Kami kemudiannya menginap di Masjid Sultan Muzaffar Shah selama 2 hari untuk mengikuti LANDAS (Latihan Aktivis Dakwah Dalam Isu Sosial) bersama dengan Ustaz Kamaruddin Kassim (Koordinator LANDAS). Menyelami permasalahan sosial remaja hari ini yang begitu meruncing, para peserta dibawa ke lapangan untuk melatih diri ber’hemoi’ dengan mad’u masing-masing. Bukan sekadar teori, malahan praktikal dakwah turut didedahkan kepada para peserta Akademi Dakwah. Pelbagai strategi mendekati golongan muda-mudi yang terjebak dengan gejala sosial contohnya gejala menghidu gam, menghisap dadah, couple, meminum arak dan lain-lain lagi.
Kronologi Peristiwa Ugutan di lapangan LANDAS
Pada sebelah petang hari kedua, kami menuju ke Tingkat 4 & 5 Central Square (CS) untuk meninjau suasana dan mendekati mad’u. Kawasan ini merupakan port bagi muda mudi berkumpul untuk berhibur, berkaraoke, bermain permainan video dan lain-lain. Kami dikejutkan dengan kehadiran segelintir remaja yang sedang mabuk ‘menyerang’ kumpulan kami. Mereka begitu agresif sehingga bertindak memecahkan botol arak yang sedang diminum berhampiran food court. Mereka kelihatan begitu paranoid memandangkan mereka ternampak salah seorang daripada peserta AD membawa kamera dan mengambil gambar di port mereka. Kesilapan ini mencetuskan kemarahan salah seorang remaja yang sedang mabuk dan bertindak mengugut untuk menikam kami sekiranya tidak beredar dengan segera. Sebenarnya mereka sudah mengesan kehadiran kami melalui ‘mata-mata’ yang berada di sekeliling bangunan CS. Ugutan demikian dibuat memandangkan mereka menganggap kami adalah merupakan penguatkuasa Majlis Agama Islam. Seorang daripada remaja yang mabuk datang menemui kumpulan kami dan menunjukkan rasa tidak puas hati dengan kesilapan peserta AD tadi yang mengambil gambar port mereka. Memikirkan akan keselamatan, kami mengambil langkah drastik dengan beredar dari CS beransur-ansur bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Dari pemerhatian kami, remaja-remaja ini dilindungi oleh pihak yang berkepentingan bagi melindungi kegiatan mereka; sebagai strategi perniagaan arak yang begitu lumayan di situ.
Penulisan
Hari terakhir AD dimuatkan dengan ceramah mengenai penulisan oleh Saudari Siti Mariani Ali Imran, Research Officer di USM. Pendedahan mengenai Public Relation dan teknik-teknik penulisan menarik minat para peserta. Pada sebelah petangnya, peserta dikehendaki merangka pelan penulisan akan datang sebagai langkah memperkukuhkan penulisan khususnya dalam lapangan dakwah. Slot terakhir lapangan penulisan diisi oleh Ustaz Azizi Abdullah, penulis yang tidak asing lagi. Beliau menfokuskan mengenai penulisan artikel bagi memudahkan peserta menyiapkan tugasan artikel yang diberi sebelum berakhirnya AD. Beliau turut berharap agar perjalanan AD 2009 ini dijadikan diari sebagai platform untuk mendedahkan kepada masyarakat disamping boleh dijadikan bahan komersial kepada pihak-pihak yang berminat.
Oleh;
Muhammad Izzul Islam bin Hasni
Peserta Akademi Dakwah 2009
0 ulasan:
Catat Ulasan