LATIHAN AKTIVIS DAKWAH DALAM ISU SOSIAL (LANDAS)
Alhamdulillah program LANDAS berjalan lancar, walaupun dari sudut kuantitinya teramat kurang, 8 muslimin dan 4 muslimat. Namun, bagi aku ianya adalah satu permulaan yang baik sebelum dijalankan secara berkala dengan peserta-peserta luar dari ahli Angkatan Pemuda-Pemudi Islam (API). Adalah penting bagi memastikan pengisian dan perjalanan program dapat dijalankan dengan lebih tersusun dan memberikan impak terbaik kepada peserta.Program LANDAS ini yang berlangsung dari 6 Februari hingga 9 Februari 2008 di Sungai Petani, Kedah iaitu jatuh pula pada waktu perayaan Gong Xi Fa Cai, yang sepatutnya menjadi kebiasaan aku balik ke laman kelahiran aku bertemu keluarga kerana cutinya agak panjang berbanding cuti tahunan aku yang amat sedikit. Yang memerlukan perancangan seeloknya bagi mengelakkan diri ini beraya sorang-sorang di negeri majoritinya kaum Tiong Hoa ini.
Kita tinggalkan bab-bab cuti. Ini kerana bab ini kekadang agak sensitif kepada penggerak-penggerak masyarakat. Kekadang terkeluar kata-kata, “mana ada cuti bagi penggerak masyarakat”. Keluarnya kata-kata keupayaan dan kesanggupan berkorban penggerak melaksanakan program dalaman dan kemasyarakatan walaupun di waktu cuti hujung minggu dan cuti sekolah. Tapi kadang-kadang timbuil kegelisahan bila tiada program. Acara melepak di rumah meresahkan. Sifat tabi’in manusia kekadang lupa nikmat masa yang Allah kurniakan.
Program yang bermula 6 Februari, berlangsung awal dari jangkaan kami. Tidak sampai sejam kami melelapkan mata.Tiba-tiba berbunyi ketukan kuat pada pintu bilik tempat kami menginap. Dilihat jam baru jam 2 pagi. Rupa-rupanya Ustaz Kamurudin Kassim (Ust Din) yang datang mengajak kami untuk ikut serta bersama beliauuntuk satu operasi menangkap. Katanya, terdapat sebuah rumah yang dikatakan sentiasa dikunjungi lelaki. Sedangkan rumah itu disewa oleh belia perempuan yang bekerja di Sungai Petani. Kami pantas menuju ke tempat terbabit dengan sebuah van sambil dipandu arah oleh Ust Din.
Ketibaan kami disambut oleh hampir 10 orang dari rukun tetangga taman berkenaan . Van di letakkan jauh sedikit dari rumah yang disyaki. Sebelum serbuan dibuat Ust Din dan rakan setugasnya Ust Saad mengarahkan rumah ini dikepung. Kami yang baru pertama kali mengikuti operasi sebegini hanya memerhatikan tindakan yang dilakukan. Aku sedikit gementar, pertama kali terlibat operasi sebegini. Panggilan Ust Din tidak dilayan. Mahu tak mahu, terbuka pintu rumah tersebut dikerjakan. Namun, masih tidak dapat masuk disebabkan gril diluar dikunci. Akhirnya keluar dua wanita yang pada awalnya enggan membuka pintu, sehingga ditunjuk kad identiti mengesahkan kedatangan kami dari Jabatan Agama yang mendapat maklumat ada aktiviti maksiat di rumah terbabit. Namun, selepas diselongkar hampir semua ruang yang ada, didapati tiada sesiapa kecuali memang hanya mereka berdua. Walaupun gagal Ust Din dan Ust Saad tetap mengkaunselingkan mereka berdua. Bagi aku, mereka berdua bernasib baik pada malam ini kerana lelaki yang selalu datang tiada di rumah keluar.
Pada paginya, kami solat Subuh berjemaah di Masjid Muzzaffar Shah Sungai Petani yang juga markaz utama program ini. Alhamdulillah pihak jawatankuasa masjid membenarkan kami menggunakan kemudahan di masjid. Program agar lewat sedikit kerana Ust Din perlu menyelesaikan satu kes isteri diceraikan suami. Diceraikan ketika mengandung 3 bulan dan difahamkan dia merupakan isteri ketiga kepada seorang imam masjid di Selangor. Mendengar saja seorang imam bertindak sedemikian, kepala otak aku ini cuba menidakkan apa yang dikatakan.
Namun, apabila melihat gambar yang di bawa wanita ini, gaya luarannya mengiyakan apa yang dikatakan. Sangat menyedihkan apabila perkara ini boleh berlaku. Ini kerana dengan status panggilannya, sepatutnya contoh teladan yang baik ditonjolkan untuk dijadikan ikutan kepada masyarakat umum.
Atucara awalnya mendedahkan penggerak kepada apa realiti masyarakat kita pada masa kini. Di sini Ust Din menggunakan koleksi gambarnya untuk mendedahkan kebejatan masalah sosial yang sedang melanda negara Islam Malaysia. Ust Din juga mengajar kami kaedah atau teknik bagi seorang penggerak untuk mendekati remaja-remaja bermasalah di lapangan.
Selepas makan tengahari, kami ke lokasi pertama di Pekan Sungai Petani. Berhadapan Centre Square (CS) kami berjalan masuk ke kawasan remaja-remaja menelan air kencing syaitan. Tibanya di kawasan terbabit, kelihatan sekumpulan remaja lelaki dan perempuan sedang lepak sambil minum minuman keras dan merokok. Ada yang sempat melarikan diri bila menyedari kedatangan kami. Walaupun secara teorinya kami telah diajar Ust Din cara untuk mendekati remaja-remaja ini tapi Ust Din terpaksa memulakan ayat-ayat sapaan dan pujukan kerana melihat kakunya kami. Akhirnya perlahan-perlahan aku mula mendekati salahseorang dari remaja yang ada.
Zul berasal dari Merbok. Masih lagi menuntut di salah satu kolej swastadi Selangor. Balik bercuti dan mengisi masa yang ada bertemu kawan-kawan di Sungai Petani. Katanya arak yang dikenali “Thai Song” ini mudah didapati di kedai-kedai cina dan kedai 24 jam, 7-Elevan. Harganya yang murah dalam lingkungan RM3.50 hingga RM4.00 menjadi pilihan. Katanya sebab dia minum, “untuk hilang tension, bang”. Sama juga dengan kawannya yang baru datang iaitu Zam. Kehadirannya bertujuan. Mencari kakaknya yang beberapa hari tidak pulang ke rumah setelah bertengkar dengan emaknya. Dalam keadaan sedikit pening kami bertanyakan beberapa soalan. Baru sahaja keluar dari penjara akibat kesalahan mencuri. Bila ditanya mengapa minum, alasannya pun sama dengan Zul. Zam kenal akan Ust Din kerana semasa Ust Din merupakan penceramah tetap di penjara.
Memperlihatkan tindakan yang diambil sama seperti sebahagian besar masyarakat Barat lakukan. Segala masalah boleh diselesaikan di bar-bar dan disco-disco sambil meneguk berbotol-botol minuman keras yang pada dasarnya tidak menyelesaikan masalah malah berkemungkinan boleh menimbulkan pelbagai permasalahan lain kesan mabuk minuman keras.
Kami tinggalkan kawasan terbabit untuk meneruskan ekplorasi kami. Kami terus ke aras 5 pasaraya CS. Aras yang menyediakan pelbagai bentuk hiburan. Sememang seperti yang dijangka hampir semua yang membanjiri kawasan ini adalah remaja dan belia Melayu. Bernyanyi, berpelukan tanpa segan silu, bergelek dan pelbagai lagi aksi yang boleh dilihat di dalam hampir 30 kiub karaoke atau dikenali juga sebagai jamban karaoke. Di kuanter tiket, masih lagi ada yang menunggu giliran untuk mendengarkan suara mereka. Di bilik snuker, laman boling, pentas permainan game semuanya dikuasai muda-mudi Melayu. Di dalam panggung wayang yang gelap gelita entah apa yang berlaku. Sedangkan yang di tempat terang pun tangan si jantan tidak pernah diam cuba menerkam. Auzubillah…
Aku sememangnya agak serabut bila berada di kawasan ramai orang, ditambah lagi dengan muziknya yang kuat menambahkan lagi keserabutan. Kami turun dari satu aras ke satu aras. Turunnya kami tidak sepantas semasa kami naik tadi. Ustaz Din dengan gaya selambanya menegur pasangan-pasangan yang duduk bercouple. Kata-kata nasihat tidak pernah lekang dari bibir Ust Din. Sampainya di aras bawah kami menuju ke kawasan remaja menghidu gam. Namun pada hari tersebut tiada seorang pun yang berada di situ. Berkemungkinan telah tersebar berita Ust Din turun buat operasi.
Riadah kami pada petangnya di Taman Jubli Perak di belakang Masjid Muzaffar Shah. Riadah dalam bentuk pembentukan halaqah untuk berkongsi dan post mortem untuk aktiviti lapangan pertama sebentar tadi. Yang menarik perhatian apabila muslimat memberitahu bahawa remaja perempuan sangat marah kepada Ustaz Din kerana aktiviti mereka telah disebar luaskan dalam media massa. Pernah pada suatu ketika Edisi Siasat membuat pendedahan berkaitan aktiviti sosial di Sungai Petani. Mereka marah kerana mengatakan bahawa mereka tidak melakukan seks bebas. Pada mereka seks bebas ini merupakan seks melibatkan pertukaran pasangan. Sedangkan mereka hanya bersama-sama dengan pasangan mereka sahaja. Suka sama suka. Mudahnya alasan yang diberikan untuk menyatakan tindakan mereka adalah betul.
Malamnya sebelum berjamu selera, salah seorang AJK masjid memberitahu ada dua orang warganegara Indonesia dikatakan lari daripada majikan kerana tidak tahan dengan sikap majikan yang memaksa mereka bekerja untuk 3 buah rumah. Dipaksa juga menyediakan hidanagan khinzir dan di larang solat sepanjang seminggu bekerja. Bimbang dengan keselamatan mereka berdua, ditempatkan mereka di kawasan yang selamat di kawasan masjid. Namun kami terpaksa meninggalkan dahulu dua warga Indonesia yang berasal dari Medan ini untuk meneruskan program seperti yang dirancang.
Ketika asyik menjamu selera, telefon Ust Din berdering. Tamat sahaja perbuatan entah dengan siapa. Ust Din menyuruh kami segera menghabiskan makanan yang masih banyak di dalam pinggan. “Malam ni kita ke Merbok, ada kes khalwat”, ujar Ust Din. Merbok tempat yang tidak asing bagi beberapa orang yang ada dalam program ini. Pergerakan Perkhidmatan Masyarakat (PPM) sebuah persatuan yang mendidik dan melatih kami untuk bermasyarakat. Merbok dipilih untuk mengisi waktu cuti antara semesta untuk mendalami isu-isu masyarakat dan melaksanakan aktiviti kemasyarakatan.
Tibanya di rumah terbabit, didapati ramai yang menunggu. Berita sebegini sangat cepat tersebar. Dua remaja yang berumur 20 dan 18 tahun ini ditangkap oleh ibu kepada remaja perempuan. Ibu ini sememangnya sedang mencari anaknya yang telah tidak pulang ke rumah sejak 2 hari yang lalu. Melalui maklumat daripada kawan remaja perempuan ini, akhirnya dia bersama anak lelakinya segera pergi mendapatkan anaknya. Malangnya pertemuan tersebut di dalam keadaan mereka berdua sedang berpacaran. Masalah keluarga menjadi punca utama berlakunya perbuatan tidak terkutuk ini. Ibu bapa dikatakan sentiasa bergaduh. Ayah kepada remaja lelaki ini dikatakan sudah tidak sanggup melayan karenah anak lelakinya. Remaja ini baru sahaja keluar penjara atas kesalahan merogol seorang remaja perempuan. Akhirnya mereka berdua dihantar ke balai polis Merbok dan dilepaskan dengan ikat jamin polis. Kes ini akan dibawa ke Majlis Agama Islam Kuala Muda untuk tindakan selanjutnya.
Jam menunjukkan jam 2.00 pagi. Aku sesangat cemburu dengan Ust Din yang masih cergas. Tidak menunjukkan tanda-tanda mengantuk. Sedangkan yang lainnya lena sepanjang perjalanan pulang ke markaz kami. Bagi mengelakkan aku mengantuk semasa memandu, aku banyak bersembang dengan Ust Din berkaitan dengan masalah tadi. Paling tidak aku tidak boleh lupakan apabila Ust Din memberitahu ada seorang kanak-kanak tidak didaftarkan. Akibat nafsu jahat si ayah, anak perempuannya dirogol dan sekarang anak tersebut telah berusia 6 tahun. Adakah ini dinamakan manusia? Atau bolehkah kita panggilnya sebagai binatang?
Kami tidak terus balik. Sebaliknya kami ke Hentian Bas Sungai Petani. Kawasan yang menjadi tempat transit bagi pelajar-pelajar sekolah asrama sekitar Kedah. Mereka biasanya akan melepak di CS sebelum balik ke rumah pada hari Khamis atau pada hari Sabtu sebelum kembali ke asrama. Beg-beg pakaian mereka ditinggalkan pada satu tempat yang kebanyakkan merupakan pelajar sekolah agama. Tempat ini juga menjadi tempat melepak muda-mudi. Malamnya agak sunyi, tetapi kesunyiaannya menjadi minat muda-mudi melakukan perkara-perkara tidak senonoh. Tibanya kami, ada sekumpulan polis preman yang sedang menyoal-siasat atas kes bergaduh dan sepasang kekasih yang ditangkap akibat sedang bercumbuan.
Malam itu aku bersembang panjang dengan remaja lelaki yang dikenali sebagai Ku yang ditangkap bercumbuan itu. Hasil siasatan mendapati budak perempaun yang bersamanya sudah 2 hari tidak pulang ke rumah kerana keluarganya tidak ambil peduli tentangnya. Dia menumpang di rumah kakak kepada Ku dan malam tersebut mereka tertinggal bas terakhir. Alasan yang selalu diberikan bila bertemu dengan remaja bermasalah di sini. Ku juga telah lama meninggalkan solat 5 waktu, tapi di minta membaca al-Fatihah lancar sahaja bacaannya tapi kantoi bila di minta menterjemahkan maksud bacaan sahadah. Malam itu aku cuba korek tentang masalah black metal, punk, gothic dan lain-lain daripada Ku. Tapi
malangnya dia tidak terlibat dengan kumpulan-kumpulan terbabit. Malam tu aku bagi ceramah dan nasihat percuma kepada Ku, agar dia meninggalkan semua perkara yang membawa kepada murka Allah. Tentang makwenya, aku tak tahu sangat sebab muslimat yang bersoal jawab dengannya. Kami tinggalkan Ku dan membawa mak wenya balik ke masjid. Di rampas telefon bimbit dan my kad dan di suruh tidur di wakaf.
Tibanya di masjid, semasa dalam perjalanan menuju ke bilik rehat, Ust Din memanggil kami. “Jom, ada kes khalwat”. Aku yang sesangat mengantuk terpaksa melepaskan streng buat pertama kalinya kepada sahabat aku. Mengantuk yang teramat sangat. Nasib baiklah semangat aku masih ada. Kami terus ke rumah Ust Saad, sahabat baik Ust Din dalam operasi tangkap khalwat. Selepas itu, kami disambut dua pemuda yang telah lama mengikuti gerak geri merpati dua sejoli ini. seorang duda , seorang janda. Cuba lari dari pintu belakang tapi bila disergah terus dibuka pintu depan.
Selepas disoal siasat dan diambil keterangan, mereka dibawa ke Balai Polis Sungai Petani. Operasi kami tamat jam 5 pagi.
Pada 8 Februari 2008, program terpaksa dimulakan agak lewat. Semua peserta keletihan. Jam 11 pagi selepas sarapan pagi kami mengadakan post mortem. Warga Indonesia yang kami ketemu semalam diletakkan di rumah Ust Din buat sementara disebabkan konsul Indonesia tidak dibuka. Solat Jumaat kami di tempat di mana Ust Din menyampaikan khutbah. Khutbah banyak memberikan penekanan kepada isu permasalahan sosial dan menggariskan beberapa langkah untuk menanganinya. Hujan yang turun membasah bumi pada petang itu menyegarkan suasana perbincangan kami. Kami tidak turun pada petang tersebut.
Malamnya kami menuju ke kawasan yang dikenalpasti menjadi tempat berkumpulnya mat-mat rempit dan minah-minah rempit. Namun, tiada seorang pun yang kelihatan. Walaupun hampa tetapi seharusnya aku ucapkan kesyukuran kerana tiada berlakunya perkara-perkara mungkar pada malam ini. Sumber dari Ust Din mengatakan sebelum merempit atau melakukan aksi-aksi yang berbahaya, mereka akan meminum minuman keras ataupun menghidu gam. Kami juga ada ketemu dengan botl-botol gam dan minuman keras yang ditinggalkan di kawasan terbabit.
Selepas itu, kami menuju ke Dataran Jam. Kawasan yang menjadi tumpuan keluarga berkumpul dan muda-mudi melepak. Jam menunjukkan jam 11 mlm, masih ramai yang berada di situ. Malah semakin ramai bila menjelang tengah malam. Kami bertembung dengan seorang remaja perempuan yang sedang menangis yang dikelilingi 2 remaja lelaki. Salah seorang remaja lelaki yang bersamanya telah ditangkap polis semalam akibat bergaduh. Tapi telah dilepas polis selepas semalaman di dalam lokap. Bila ditanya mengapa menangis, dia menjawab pakwenya baru tinggalkan dia. Bila ditunjuk gambar, rupa-rupanya pakwenya adalah Ku. Remaja yang aku kaunseling semalam. Selepas agak kurang setengah jam bersembang dengan Nurul ini, Ust Din dan beberapa orang sahabat pergi meninjau tempat di mana di katakan pakwenya lari dengan perempuan lain.
Selepas gagal mengesan, dalam perjalanan kembali ke Dataran Jam. Ust Din menyapa tiga lelaki yang sedang mencari adik perempuan dia yang telah 3 hari tidak pulang ke rumah. Rupanya budak perempuan yang kami tangkap semalam di Stesen Bas Sungai Petani adalah adik kepada salah seorang lelaki ini. Ternyata apa yang dikatakan oleh budak perempuan itu semalam, menipu semuanya. Dalam perjalanan membawa balik Nurul ke rumahnya di , kami terserempak dengan Ku bersama budak perempuan yang sama.
Mereka berdua melarikan diri. Ust Din dan beberapa sahabat mengejar dari belakang tapi gagal. Ternyata apa yang aku perkatakan selama sejam semalam, “masuk telinga kanan, keluar telinga kiri”. Malam tersebut kami pulang awal kerana semua keletihan.
Hari terakhir kami lebih tertumpu kepada perbincangan untuk program berterusan LANDAS dan juga pengurusan Rumah UpayaDaya Harapan Ar-Rahman (RAUDHAH). Program kami berakhir pada jam 12.00 tengahari.
Input dan kesimpulan bagi aku adalah;
- Golongan remaja sudah berada pada tahap sangat merbahaya. Perlu kepada penyelesaian segera.
- Cadangan Persatuan Ulama’ Malaysia Cawangan Pulau Pinang (PUMPP) dan Sekretariat Dakwah Pulau Pinang untuk membuka satu rumah singgah (transit) kepada remaja dan wanita bermasalah adalah sangat bertepatan dengan situasi yang sedang melanda Malaysia.
- Perlulebih ramai Ustaz dan Ustazah turun kepada masyarakat, bukan sekadar berceramah di masjid-masjid berdasarkan isu yang hanya diperolehi di dalam media massa untuk dijadikan bahan ceramah. Walaupun tidak menafikan ianya salah satu usaha-usaha untuk memperkasakan ummat.
- Pembangunan yang disogokkan kerajaan, hanya berbentuk pembangunan fizikal tanpa melihat kepada pembangunan kerohanian.
- Keluarga perlu memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak.
- Media massa merupakan salah satu punca penting pembawaan budaya Barat dalam diri remaja Melayu kini.
- Perlu ramai pemuda pemudi mengorbankan tenaga, masa dan harta untuk mencegahi kuman-kuman kemungkaran ini.
Penutup
Surah Ali Imran; 104
“Dan hendaklh di antara kamu segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung”.
Surah Ali Imran; 110
“Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah..”
alamat email saya mesol_er@yahoo.com…
0 ulasan:
Catat Ulasan