LANDAS

Chicklet Chooser

Add to Google Reader or Homepage

FeedBurner FeedCount

Cari Blog Ini

Jumaat, 31 Oktober 2008

KESAN DAN AKIBAT TABIAT MEROKOK

TABIAT MEROKOK: KESAN DAN AKIBATNYA


Pengenalan

Tembakau yang menjadi bahan utama dalam rokok, telah diperkenalkan secara menyeluruh, termasuk ke dunia Islam, oleh penjajah Barat yang beragama Kristian, dan ianya belum pernah dikenali di zaman Nabi Muhammad s.a.w. Di kalangan masyarakat beratus tahun terdahulu, tembakau dihisap bukan sahaja untuk bersukaria tetapi sebagai satu acara dalam upacara kebudayaan dan keagamaan. Pada umumnya umat Islam tidak merokok melainkan kerana terpenggaruh kepada orang Barat yang menjajah mereka.

Hari ini, merokok adalah suatu kebiasaan yang diterima secara meluas dalam masyarakat kita, sehingga kadangkala ia dipandang sebagai satu norma yang membanggakan. Anggapan palsu ini terhasil apabila golongan yang mudah terpedaya dengan budaya asing, terutamanya yang dipaparkan melalui media massa, ingin pula bergaya demi mencapai status kecanggihan serta keunggulan yang kononnya dikaitkan dengan merokok. Malah tabiat suka meniru dan menyeleweng dari jalan yang benar adalah sesuatu yang kian menguasai anak-anak kaum Muslimin di zaman ini.

Hadith Rasullullah s.a.w. :

1. "Bezakan diri mu dari kaum Musyrikin" ( Al-Bukhari & Muslim)

2. "Bukan dari golongan kita, siapa yang menyerupai orang yang bukan dari kita.

Jangan mengikut-ikut kaum Yahudi dan Nashrani" (At-Termidzi)

3. "Barangsiapa yang meyerupai sesuatu kaum, maka dia terkira dari golongan itu" (Abu Daud)


Kandungan Berbahaya Dalam Rokok

Setiap batang rokok yang dinyalakan akan mengeluarkan lebih 4 000 bahan kimia beracun yang membahayakan dan boleh membawa maut. Dengan ini setiap sedutan itu menyerupai satu sedutan maut. Di antara kandungan asap rokok termasuklah bahan radioaktif (polonium-201) dan bahan-bahan yang digunakan di dalam cat (acetone), pencuci lantai (ammonia), ubat gegat (naphthalene), racun serangga (DDT), racun anai-anai (arsenic), gas beracun (hydrogen cyanide) yang digunakan di "kamar gas maut" bagi pesalah yang menjalani hukuman mati, dan banyak lagi. Bagaimanapun, racun paling penting adalah Tar, Nikotin dan Karbon Monoksida.

Tar mengandungi sekurang-kurangnya 43 bahan kimia yang diketahui menjadi penyebab kanser (karsinogen). Bahan seperti benzopyrene iaitu sejenis policyclic aromatic hydrocarbon (PAH) telah lama disahkan sebagai agen yang memulakan proses kejadian kanser.

Nikotin, seperti najis dadah heroin, amfetamin dan kokain, bertindak balas di dalam otak dan mempunyai kesan kepada sistem mesolimbik yang menjadi punca utama penagihan. Sindrom ketagihan terhadap nikotin yang ditunjukkan dengan gejala gian, tolerans dan tarikan, adalah mungkin lebih hebat berbanding najis dadah. Malah daripada kajian saintifiknya nikotin itu juga sejenis najis dadah, sepertimana yang telah diiktiraf oleh dunia perubatan. Seseorang yang kehabisan rokok kadangkala berkelakuan seperti mengalami gangguan akal dan dalam keadaan yang amat tertekan sekali. Oleh itu terlalu sukar untuk sesiapa yang telah terjerat dengan ketagihan merokok, meninggalkan tabiat itu untuk selamanya, kecuali dengan ikhtiar yang serius dan kehendak Allah jua.

Nikotin turut menjadi punca utama risiko serangan penyakit jantung dan strok. Hampir satu perempat mangsa pesakit jantung adalah hasil punca dari tabiat merokok. Di Malaysia, sakit jantung merupakan menyebab utama kematian sementara strok adalah pembunuh yang keempat.

Karbon Monoksida pula adalah gas beracun yang biasanya dikeluarkan oleh ekzos kenderaan. Gas ini menjejaskan bekalkan oksigen ke tisu-tisu hingga ianya menjadi terencat dan akhirnya boleh menyebabkan maut sekiranya paras karbon monoksida di dalam badan melebihi 60%.

Apabila racun rokok itu memasuki tubuh manusia ataupun haiwan, ianya akan membawa kerosakkan pada setiap organ disepanjang laluannya, iaitu bermula dari hidung, mulut, tekak, saluran pernafasan, paru-paru, saluran penghazaman, saluran darah, jantung, organ pembiakan, sehinggalah ke saluran kencing dan pundi kencing, iaitu apabila sebahagian dari racun-racun itu dikeluarkan dari badan.


Kesan Asap Rokok Kepada Si Perokok Dan Orang Di sekeliling

Si perokok bukan sahaja perlu bertanggungjawab pada diri sendiri tetapi turut bertanggung jawab pada orang di sekeliling akibat daripada bahaya asap rokok. Asap rokok yang dihidu oleh perokok atau mereka yang berada di sekelilingnya, akan memasuki rongga mulut dan hidung melalui kerongkong ke paru-paru. Kandungan asap rokok akan menyebabkan kerosakan tisu di sepanjang perjalanan di ruang ini. Ia boleh menyebabkan pelbagai penyakit di mulut, kerongkong, paru-paru dan barah. Asap akan melalui saluran pernafasan ke dalam paru-paru dan merosakkan saluran bronkus, menyebabkan bronkitis, penyakit di bahagian paru paru. Ia juga akan merosakkan pundi udara dalam paru-paru (alveoli) dan menyebabkan penyakit emfisima.

Asap rokok yang dihidu juga akan melalui saluran penghadaman dan pencernaan, yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit di bahagian esofagus, perut dan pankreas.

Racun dalam asap rokok yang larut air akan memasuki sistem saluran darah dan dibawa ke seluruh badan. Bahan nikotin, bukan saja memberi sifat ketagihan, malah menyebabkan saluran darah arteri menjadi sempit. Ia juga merosakkan dinding arteri dan akan memudaratkan organ berkaitan.

Kesan ini, dalam jangka panjang, akan menyebabkan simptom kebas pada kaki, jari, migrain, sakit kepala, pedih ulu hati, kekejangan otot kaki, serangan penyakit jantung dan sebagainya.

Racun rokok akhirnya disaring dalam buah pinggang dan dihapuskan dari badan melalui air kencing. Dalam proses ini pula, berlaku satu lagi keracunan hasil penguraian kimia asap rokok yang turut merosakkan buah pinggang. Racun dalam air kencing juga menyebabkan kerosakan pundi kencing.

Racun akibat merokok juga mempunyai kesan tindak balas terhadap ubat-ubatan. Secara umum diketahui merokok boleh menjejaskan fungsi beberapa kumpulan enzim di hati dan ada kalanya ia boleh memperhebatkan kesan sampingan sesuatu ubat itu.

Kesan Asap Rokok Terhadap Isteri Perokok Adalah :

- Melahirkan bayi yang kurang berat badan

- Melahirkan bayi yang tidak cukup bulan

- Lebih terdedah kepada kanser

- Mengurangkan kesuburan dan putus haid awal


Kesan Asap Rokok Terhadap Anak Perokok :

- Lebih mudah mendapat lelah

- Mendapat jangkitan paru-paru

- Pertumbuhan paru-paru kanak-kanak terganggu

- Mudah menjadi perokok apabila dewasa kelak


Statistik Kematian Akibat Tabiat Merokok

Di Malaysia, merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kematian setahun; 30 peratus daripadanya disebabkan 10 jenis kanser, iaitu paru-paru, mulut, esofagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut, 50 peratus kematian berpunca daripada sakit jantung dan strok dengan pecahan 25 peratus masing-masing.

Menurut Dr Sallehudin, lebih 100,000 perokok dimasukkan ke hospital kerajaan di seluruh negara akibat sakit jantung, kanser dan penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD) dan negara mengalami kerugian kira-kira RM20 bilion setahun bagi menanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti.


Faedah Berhenti Merokok

- Hidup lebih lama

- Dapat menghindari racun

- Dapat melindungi diri, keluarga dan orang lain daripada bahaya merokok

- Menjadi teladan yang baik kepada anak-anak

- Dapat meningkatkan kecergasan serta memiliki tubuh yang sihat

- Meningkatkan deria rasa dan bau

- Gigi lebih putih dan nafas lebih segar

- Dapat mengelakkan budaya membazir dengan menggunakan wang untuk membeli rokok kepada tujuan yang lebih baik dan bermanfaat.


Gunakan Kaedah Yang Betul Untuk Berhenti Merokok

- Tetapkan tarikh untuk berhenti merokok

- Yakinkan diri

- Buat nota peringatan

- Katakan pada diri anda, "Aku bukan perokok"

- Tumpukan pada hari ini

- Sentiasa berfikiran positif

- Dapatkan sokongan

- Lawan keinginan untuk merokok

- Gunakan Terapi atau rawatan yang sesuai

- Amalkan Petua 10 M untuk berhenti merokok


Petua 10 M Untuk Berhenti Merokok

01. Melengah-lengah

02. Minum banyak air

03. Menarik nafas panjang

04. Membuat sesuatu

05. Menjauhkan diri dari tempat orang merokok

06. Mengunyah sesuatu

07. Membasuh tangan

08. Mandi dengan kerap

09. Melakukan senaman rengangan

10. Memohon doa


Firman Allah S.W.T. dalam surah ar-Ra'd ayat 11 bermaksud" "Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri." Memang agak sukar bagi mereka yang sudah menjadikan tabiat merokok sebagai salah satu gaya hidup untuk terus berhenti. Namun begitu jika ada keazaman dan kesungguhan impian untuk berhenti merokok pasti menjadi kenyataan. Bak kata pepatah melayu "Di Mana Ada Kemahuan, Disitu Ada Jalan".

"Setiap Sedutan, Membawa Padah"


Rujukan:

- Pusat Racun Negara, USM Official Website

- Kementerian Kesihatan Malaysia Official Website

- Institut Kefahaman Islam Malaysia Official Website - IKIM Dalam Media Berita Harian

- Sabahan.net

- geocities.com/sihat2u4u

- Persendirian

Sumber ( dengan sedikit pindaan) : http://al-qayyim.net/home/ : Juga sila lawati:

http://darulkautsar.com/fatwaqardawi/rokok.htm

Read More...

BAHAYA ASAP ROKOK

Asap rokok ancam nyawa anak, isteri

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

JENUH rasanya mendengar kempen mengajak orang berhenti merokok, tetapi kerajaan dan pengamal perubatan tetap gigih berusaha walaupun hasilnya sangat perlahan.

Kata pakar, menyedarkan perokok memerlukan banyak kesabaran kerana mereka sebenarnya hilang rasional atau kewarasan ketika merokok.

Tidak mengapalah jika tidak sayang pada diri sendiri, tetapi pada masa sama mereka turut mendedahkan anak dan isteri yang dikategorikan sebagai perokok sekunder kepada bahaya asap rokok.

Mungkin kesan ke atas kesihatan anak isteri yang tidak begitu jelas membuatkan perokok sengaja ‘tutup mata’ atau sememangnya tidak sedar mengenai perkara ini.

Jika tidak tahu, suka diingatkan sekali lagi bahawa perokok sekunder (iaitu individu yang tidak merokok tetapi turut terdedah kepada asap rokok) mempunyai risiko kesihatan sama seperti perokok, terutama untuk mendapat kanser tekak dan paru-paru.

Asap rokok juga akan memburukkan keadaan anak yang menghidap asma.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan, satu daripada 10 kematian di seluruh dunia berpunca daripada penyakit berkaitan rokok dan menyebabkan empat juta kematian. Jika amalan ini berterusan, kadarnya akan meningkat kepada satu kematian bagi setiap enam penduduk dunia.

Jumlah perokok di negara kita dianggarkan mencecah lima juta orang pada 2003 dan pengambilan rokok per kapita di kalangan orang dewasa meningkat ke 69 peratus (antara 1985 hingga 2000) berbanding hanya 57 peratus pada 1970 hingga 1985.

Lebih penting, tabiat merokok menjadi punca 25 peratus kematian yang bukan disebabkan kemalangan di negara kita.

Ia termasuk kematian akibat barah mulut, penyakit jantung dan strok. Tidak kiralah apa jenis rokok yang anda hisap — sama ada rokok komersial, rokok daun, paip atau cerut — semuanya memberikan kesan sama.

Namun, rokok komersial yang ditambah ammonia dan pelbagai bahan kimia lain lebih ‘enak’ rasanya, selain mempercepatkan kesan nikotin pada otak.

Jika anda pernah bercadang berhenti merokok, sekarang adalah masa terbaik. Bagi yang tidak terlintas untuk berhenti, inilah saatnya untuk menimbangkan semula keputusan anda itu. Mengapa? Ada banyak sebab dan manfaat untuk anda berbuat demikian.

Anda boleh memanfaatkan Program Berhenti Merokok (CSCSP) anjuran bersama Persatuan Doktor Pergigian Malaysia (MDA) dan Persatuan Farmaseutikal Malaysia dengan sokongan Pfizer Consumer Healthcare, Kementerian Kesihatan serta Pusat Racun Kebangsaan Universiti Sains Malaysia — yang direka khusus untuk golongan perokok seperti anda!

Menurut Pengerusi program CSCSP, Dr How Kim Chuan, rokok menjadi punca kepada tiga masalah iaitu estetika, sosial dan kesihatan.

Asap rokok yang sampai ke dalam rongga mulut akan menyebabkan gigi menjadi kuning dan mencacatkan penampilan seseorang.

Bagi yang tidak peka dan jarang berjumpa doktor gigi, tar daripada asap rokok akan berkumpul di celah dan hujung gigi. Ini sebabnya kebanyakan gigi perokok mempunyai garis berwarna coklat yang sukar dihilangkan.

Kebanyakan perokok mempunyai bau nafas yang kurang menyenangkan dan ia menjadi pencetus kepada masalah sosial.

Kajian di Amerika Syarikat menunjukkan, perokok juga berdepan risiko kehilangan gigi lebih awal berbanding individu yang tidak merokok.

Hampir 45 peratus perokok yang berumur 65 tahun ke atas rongak berbanding hanya 10 peratus di kalangan bukan perokok.

“Asap rokok mengurangkan aliran darah ke gusi, iaitu tulang yang membentuk dan menyokong struktur mulut. Ini bermakna bekalan nutrien ke organ dalam mulut juga berkurang.

“Akibatnya, perokok mudah mendapat masalah gusi dan lesi pra kanser seperti leukoplakia (tompok putih tebal) atau eritroplasia (tompok merah dan tebal) pada lidah, pipi, gusi, lantai mulut atau lelangit.

“Bagaimanapun, jika tabiat merokok diteruskan, lesi ini boleh berubah menjadi kanser. Masalah gusi juga biasanya lambat sembuh di kalangan perokok. Bahkan, jangka hayat perokok juga lebih pendek 14 tahun berbanding orang yang tidak merokok,” katanya.

Ketua Penyelaras CSCSP, Profesor Madya Dr Mohamad Haniki Nik Mohamed, berkata program ini dirangka khusus untuk meningkatkan kemahiran kaunseling pengamal perubatan untuk membantu pengguna tembakau berhenti merokok.

Alasannya mudah, untuk mengelakkan anak bangsa merosakkan diri sendiri kerana rokok menyebabkan 10,000 kematian rakyat Malaysia.

Tahun lalu saja, sebanyak 37.4 peratus orang dewasa di negara ini dilaporkan pernah merokok dalam sepanjang hidup mereka dan 22.7 peratus masih merokok. Yang membimbangkan ialah umur permulaan mencuba rokok. Walaupun secara purata kebanyakannya mula merokok ketika berumur 15 tahun, ada yang bermula seawal masuk darjah satu!

Lebih parah ialah peningkatan jumlah perokok di kalangan remaja perempuan, sedangkan insiden merokok di kalangan remaja lelaki menunjukkan pengurangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Katanya, peningkatan ini disebabkan pengaruh iklan dan persekitaran. Ramai remaja perempuan percaya, jika merokok mereka kelihatan hebat dan mudah diterima kelompok yang difikirkan bersesuaian dengan jiwanya.

“Selain itu, mereka mungkin terpengaruh apabila melihat wanita dewasa yang berjaya dan merokok. Ia secara tidak langsung memberitahu remaja ini bahawa merokok adalah satu gaya tanpa menyedari ia lebih banyak membawa keburukan,” katanya.

Sebagai kesinambungan kempen Tak Nak, program ini mengamalkan pendekatan 5A iaitu Ask (tanya), Advise (nasihat), Assess (periksa), Assist (bantu) dan Arrange follow-up (buat temu janji susulan) supaya matlamat berhenti merokok dapat dicapai.

Kajian juga menunjukkan hanya 15 peratus rakyat negara ini mendapatkan pemeriksaan gigi setiap tahun.

Jika anda perokok dan tergolong dalam kumpulan 85 peratus yang tidak menjalani pemeriksaan gigi, sekarang adalah masa terbaik untuk memulakan penjagaan kesihatan mulut.

Jika bukan untuk diri sendiri, sekurang-kurangnya lakukanlah ia demi kesejahteraan isteri dan anak.

Kajian kesuburan mendapati bapa perokok boleh menyebabkan anaknya kurang subur, terutama anak lelaki.

Read More...

LATIHAN AKTIVIS DAKWAH DALAM ISU SOSIAL (LANDAS)

LATIHAN AKTIVIS DAKWAH DALAM ISU SOSIAL (LANDAS)

Alhamdulillah program LANDAS berjalan lancar, walaupun dari sudut kuantitinya teramat kurang, 8 muslimin dan 4 muslimat. Namun, bagi aku ianya adalah satu permulaan yang baik sebelum dijalankan secara berkala dengan peserta-peserta luar dari ahli Angkatan Pemuda-Pemudi Islam (API). Adalah penting bagi memastikan pengisian dan perjalanan program dapat dijalankan dengan lebih tersusun dan memberikan impak terbaik kepada peserta.

Program LANDAS ini yang berlangsung dari 6 Februari hingga 9 Februari 2008 di Sungai Petani, Kedah iaitu jatuh pula pada waktu perayaan Gong Xi Fa Cai, yang sepatutnya menjadi kebiasaan aku balik ke laman kelahiran aku bertemu keluarga kerana cutinya agak panjang berbanding cuti tahunan aku yang amat sedikit. Yang memerlukan perancangan seeloknya bagi mengelakkan diri ini beraya sorang-sorang di negeri majoritinya kaum Tiong Hoa ini.

Kita tinggalkan bab-bab cuti. Ini kerana bab ini kekadang agak sensitif kepada penggerak-penggerak masyarakat. Kekadang terkeluar kata-kata, “mana ada cuti bagi penggerak masyarakat”. Keluarnya kata-kata keupayaan dan kesanggupan berkorban penggerak melaksanakan program dalaman dan kemasyarakatan walaupun di waktu cuti hujung minggu dan cuti sekolah. Tapi kadang-kadang timbuil kegelisahan bila tiada program. Acara melepak di rumah meresahkan. Sifat tabi’in manusia kekadang lupa nikmat masa yang Allah kurniakan.

Program yang bermula 6 Februari, berlangsung awal dari jangkaan kami. Tidak sampai sejam kami melelapkan mata.Tiba-tiba berbunyi ketukan kuat pada pintu bilik tempat kami menginap. Dilihat jam baru jam 2 pagi. Rupa-rupanya Ustaz Kamurudin Kassim (Ust Din) yang datang mengajak kami untuk ikut serta bersama beliauuntuk satu operasi menangkap. Katanya, terdapat sebuah rumah yang dikatakan sentiasa dikunjungi lelaki. Sedangkan rumah itu disewa oleh belia perempuan yang bekerja di Sungai Petani. Kami pantas menuju ke tempat terbabit dengan sebuah van sambil dipandu arah oleh Ust Din.

Ketibaan kami disambut oleh hampir 10 orang dari rukun tetangga taman berkenaan . Van di letakkan jauh sedikit dari rumah yang disyaki. Sebelum serbuan dibuat Ust Din dan rakan setugasnya Ust Saad mengarahkan rumah ini dikepung. Kami yang baru pertama kali mengikuti operasi sebegini hanya memerhatikan tindakan yang dilakukan. Aku sedikit gementar, pertama kali terlibat operasi sebegini. Panggilan Ust Din tidak dilayan. Mahu tak mahu, terbuka pintu rumah tersebut dikerjakan. Namun, masih tidak dapat masuk disebabkan gril diluar dikunci. Akhirnya keluar dua wanita yang pada awalnya enggan membuka pintu, sehingga ditunjuk kad identiti mengesahkan kedatangan kami dari Jabatan Agama yang mendapat maklumat ada aktiviti maksiat di rumah terbabit. Namun, selepas diselongkar hampir semua ruang yang ada, didapati tiada sesiapa kecuali memang hanya mereka berdua. Walaupun gagal Ust Din dan Ust Saad tetap mengkaunselingkan mereka berdua. Bagi aku, mereka berdua bernasib baik pada malam ini kerana lelaki yang selalu datang tiada di rumah keluar.

Pada paginya, kami solat Subuh berjemaah di Masjid Muzzaffar Shah Sungai Petani yang juga markaz utama program ini. Alhamdulillah pihak jawatankuasa masjid membenarkan kami menggunakan kemudahan di masjid. Program agar lewat sedikit kerana Ust Din perlu menyelesaikan satu kes isteri diceraikan suami. Diceraikan ketika mengandung 3 bulan dan difahamkan dia merupakan isteri ketiga kepada seorang imam masjid di Selangor. Mendengar saja seorang imam bertindak sedemikian, kepala otak aku ini cuba menidakkan apa yang dikatakan.

Namun, apabila melihat gambar yang di bawa wanita ini, gaya luarannya mengiyakan apa yang dikatakan. Sangat menyedihkan apabila perkara ini boleh berlaku. Ini kerana dengan status panggilannya, sepatutnya contoh teladan yang baik ditonjolkan untuk dijadikan ikutan kepada masyarakat umum.

Atucara awalnya mendedahkan penggerak kepada apa realiti masyarakat kita pada masa kini. Di sini Ust Din menggunakan koleksi gambarnya untuk mendedahkan kebejatan masalah sosial yang sedang melanda negara Islam Malaysia. Ust Din juga mengajar kami kaedah atau teknik bagi seorang penggerak untuk mendekati remaja-remaja bermasalah di lapangan.

Selepas makan tengahari, kami ke lokasi pertama di Pekan Sungai Petani. Berhadapan Centre Square (CS) kami berjalan masuk ke kawasan remaja-remaja menelan air kencing syaitan. Tibanya di kawasan terbabit, kelihatan sekumpulan remaja lelaki dan perempuan sedang lepak sambil minum minuman keras dan merokok. Ada yang sempat melarikan diri bila menyedari kedatangan kami. Walaupun secara teorinya kami telah diajar Ust Din cara untuk mendekati remaja-remaja ini tapi Ust Din terpaksa memulakan ayat-ayat sapaan dan pujukan kerana melihat kakunya kami. Akhirnya perlahan-perlahan aku mula mendekati salahseorang dari remaja yang ada.

Zul berasal dari Merbok. Masih lagi menuntut di salah satu kolej swastadi Selangor. Balik bercuti dan mengisi masa yang ada bertemu kawan-kawan di Sungai Petani. Katanya arak yang dikenali “Thai Song” ini mudah didapati di kedai-kedai cina dan kedai 24 jam, 7-Elevan. Harganya yang murah dalam lingkungan RM3.50 hingga RM4.00 menjadi pilihan. Katanya sebab dia minum, “untuk hilang tension, bang”. Sama juga dengan kawannya yang baru datang iaitu Zam. Kehadirannya bertujuan. Mencari kakaknya yang beberapa hari tidak pulang ke rumah setelah bertengkar dengan emaknya. Dalam keadaan sedikit pening kami bertanyakan beberapa soalan. Baru sahaja keluar dari penjara akibat kesalahan mencuri. Bila ditanya mengapa minum, alasannya pun sama dengan Zul. Zam kenal akan Ust Din kerana semasa Ust Din merupakan penceramah tetap di penjara.

Memperlihatkan tindakan yang diambil sama seperti sebahagian besar masyarakat Barat lakukan. Segala masalah boleh diselesaikan di bar-bar dan disco-disco sambil meneguk berbotol-botol minuman keras yang pada dasarnya tidak menyelesaikan masalah malah berkemungkinan boleh menimbulkan pelbagai permasalahan lain kesan mabuk minuman keras.

Kami tinggalkan kawasan terbabit untuk meneruskan ekplorasi kami. Kami terus ke aras 5 pasaraya CS. Aras yang menyediakan pelbagai bentuk hiburan. Sememang seperti yang dijangka hampir semua yang membanjiri kawasan ini adalah remaja dan belia Melayu. Bernyanyi, berpelukan tanpa segan silu, bergelek dan pelbagai lagi aksi yang boleh dilihat di dalam hampir 30 kiub karaoke atau dikenali juga sebagai jamban karaoke. Di kuanter tiket, masih lagi ada yang menunggu giliran untuk mendengarkan suara mereka. Di bilik snuker, laman boling, pentas permainan game semuanya dikuasai muda-mudi Melayu. Di dalam panggung wayang yang gelap gelita entah apa yang berlaku. Sedangkan yang di tempat terang pun tangan si jantan tidak pernah diam cuba menerkam. Auzubillah…

Aku sememangnya agak serabut bila berada di kawasan ramai orang, ditambah lagi dengan muziknya yang kuat menambahkan lagi keserabutan. Kami turun dari satu aras ke satu aras. Turunnya kami tidak sepantas semasa kami naik tadi. Ustaz Din dengan gaya selambanya menegur pasangan-pasangan yang duduk bercouple. Kata-kata nasihat tidak pernah lekang dari bibir Ust Din. Sampainya di aras bawah kami menuju ke kawasan remaja menghidu gam. Namun pada hari tersebut tiada seorang pun yang berada di situ. Berkemungkinan telah tersebar berita Ust Din turun buat operasi.

Riadah kami pada petangnya di Taman Jubli Perak di belakang Masjid Muzaffar Shah. Riadah dalam bentuk pembentukan halaqah untuk berkongsi dan post mortem untuk aktiviti lapangan pertama sebentar tadi. Yang menarik perhatian apabila muslimat memberitahu bahawa remaja perempuan sangat marah kepada Ustaz Din kerana aktiviti mereka telah disebar luaskan dalam media massa. Pernah pada suatu ketika Edisi Siasat membuat pendedahan berkaitan aktiviti sosial di Sungai Petani. Mereka marah kerana mengatakan bahawa mereka tidak melakukan seks bebas. Pada mereka seks bebas ini merupakan seks melibatkan pertukaran pasangan. Sedangkan mereka hanya bersama-sama dengan pasangan mereka sahaja. Suka sama suka. Mudahnya alasan yang diberikan untuk menyatakan tindakan mereka adalah betul.

Malamnya sebelum berjamu selera, salah seorang AJK masjid memberitahu ada dua orang warganegara Indonesia dikatakan lari daripada majikan kerana tidak tahan dengan sikap majikan yang memaksa mereka bekerja untuk 3 buah rumah. Dipaksa juga menyediakan hidanagan khinzir dan di larang solat sepanjang seminggu bekerja. Bimbang dengan keselamatan mereka berdua, ditempatkan mereka di kawasan yang selamat di kawasan masjid. Namun kami terpaksa meninggalkan dahulu dua warga Indonesia yang berasal dari Medan ini untuk meneruskan program seperti yang dirancang.

Ketika asyik menjamu selera, telefon Ust Din berdering. Tamat sahaja perbuatan entah dengan siapa. Ust Din menyuruh kami segera menghabiskan makanan yang masih banyak di dalam pinggan. “Malam ni kita ke Merbok, ada kes khalwat”, ujar Ust Din. Merbok tempat yang tidak asing bagi beberapa orang yang ada dalam program ini. Pergerakan Perkhidmatan Masyarakat (PPM) sebuah persatuan yang mendidik dan melatih kami untuk bermasyarakat. Merbok dipilih untuk mengisi waktu cuti antara semesta untuk mendalami isu-isu masyarakat dan melaksanakan aktiviti kemasyarakatan.

Tibanya di rumah terbabit, didapati ramai yang menunggu. Berita sebegini sangat cepat tersebar. Dua remaja yang berumur 20 dan 18 tahun ini ditangkap oleh ibu kepada remaja perempuan. Ibu ini sememangnya sedang mencari anaknya yang telah tidak pulang ke rumah sejak 2 hari yang lalu. Melalui maklumat daripada kawan remaja perempuan ini, akhirnya dia bersama anak lelakinya segera pergi mendapatkan anaknya. Malangnya pertemuan tersebut di dalam keadaan mereka berdua sedang berpacaran. Masalah keluarga menjadi punca utama berlakunya perbuatan tidak terkutuk ini. Ibu bapa dikatakan sentiasa bergaduh. Ayah kepada remaja lelaki ini dikatakan sudah tidak sanggup melayan karenah anak lelakinya. Remaja ini baru sahaja keluar penjara atas kesalahan merogol seorang remaja perempuan. Akhirnya mereka berdua dihantar ke balai polis Merbok dan dilepaskan dengan ikat jamin polis. Kes ini akan dibawa ke Majlis Agama Islam Kuala Muda untuk tindakan selanjutnya.

Jam menunjukkan jam 2.00 pagi. Aku sesangat cemburu dengan Ust Din yang masih cergas. Tidak menunjukkan tanda-tanda mengantuk. Sedangkan yang lainnya lena sepanjang perjalanan pulang ke markaz kami. Bagi mengelakkan aku mengantuk semasa memandu, aku banyak bersembang dengan Ust Din berkaitan dengan masalah tadi. Paling tidak aku tidak boleh lupakan apabila Ust Din memberitahu ada seorang kanak-kanak tidak didaftarkan. Akibat nafsu jahat si ayah, anak perempuannya dirogol dan sekarang anak tersebut telah berusia 6 tahun. Adakah ini dinamakan manusia? Atau bolehkah kita panggilnya sebagai binatang?

Kami tidak terus balik. Sebaliknya kami ke Hentian Bas Sungai Petani. Kawasan yang menjadi tempat transit bagi pelajar-pelajar sekolah asrama sekitar Kedah. Mereka biasanya akan melepak di CS sebelum balik ke rumah pada hari Khamis atau pada hari Sabtu sebelum kembali ke asrama. Beg-beg pakaian mereka ditinggalkan pada satu tempat yang kebanyakkan merupakan pelajar sekolah agama. Tempat ini juga menjadi tempat melepak muda-mudi. Malamnya agak sunyi, tetapi kesunyiaannya menjadi minat muda-mudi melakukan perkara-perkara tidak senonoh. Tibanya kami, ada sekumpulan polis preman yang sedang menyoal-siasat atas kes bergaduh dan sepasang kekasih yang ditangkap akibat sedang bercumbuan.

Malam itu aku bersembang panjang dengan remaja lelaki yang dikenali sebagai Ku yang ditangkap bercumbuan itu. Hasil siasatan mendapati budak perempaun yang bersamanya sudah 2 hari tidak pulang ke rumah kerana keluarganya tidak ambil peduli tentangnya. Dia menumpang di rumah kakak kepada Ku dan malam tersebut mereka tertinggal bas terakhir. Alasan yang selalu diberikan bila bertemu dengan remaja bermasalah di sini. Ku juga telah lama meninggalkan solat 5 waktu, tapi di minta membaca al-Fatihah lancar sahaja bacaannya tapi kantoi bila di minta menterjemahkan maksud bacaan sahadah. Malam itu aku cuba korek tentang masalah black metal, punk, gothic dan lain-lain daripada Ku. Tapi
malangnya dia tidak terlibat dengan kumpulan-kumpulan terbabit. Malam tu aku bagi ceramah dan nasihat percuma kepada Ku, agar dia meninggalkan semua perkara yang membawa kepada murka Allah. Tentang makwenya, aku tak tahu sangat sebab muslimat yang bersoal jawab dengannya. Kami tinggalkan Ku dan membawa mak wenya balik ke masjid. Di rampas telefon bimbit dan my kad dan di suruh tidur di wakaf.

Tibanya di masjid, semasa dalam perjalanan menuju ke bilik rehat, Ust Din memanggil kami. “Jom, ada kes khalwat”. Aku yang sesangat mengantuk terpaksa melepaskan streng buat pertama kalinya kepada sahabat aku. Mengantuk yang teramat sangat. Nasib baiklah semangat aku masih ada. Kami terus ke rumah Ust Saad, sahabat baik Ust Din dalam operasi tangkap khalwat. Selepas itu, kami disambut dua pemuda yang telah lama mengikuti gerak geri merpati dua sejoli ini. seorang duda , seorang janda. Cuba lari dari pintu belakang tapi bila disergah terus dibuka pintu depan.

Selepas disoal siasat dan diambil keterangan, mereka dibawa ke Balai Polis Sungai Petani. Operasi kami tamat jam 5 pagi.

Pada 8 Februari 2008, program terpaksa dimulakan agak lewat. Semua peserta keletihan. Jam 11 pagi selepas sarapan pagi kami mengadakan post mortem. Warga Indonesia yang kami ketemu semalam diletakkan di rumah Ust Din buat sementara disebabkan konsul Indonesia tidak dibuka. Solat Jumaat kami di tempat di mana Ust Din menyampaikan khutbah. Khutbah banyak memberikan penekanan kepada isu permasalahan sosial dan menggariskan beberapa langkah untuk menanganinya. Hujan yang turun membasah bumi pada petang itu menyegarkan suasana perbincangan kami. Kami tidak turun pada petang tersebut.

Malamnya kami menuju ke kawasan yang dikenalpasti menjadi tempat berkumpulnya mat-mat rempit dan minah-minah rempit. Namun, tiada seorang pun yang kelihatan. Walaupun hampa tetapi seharusnya aku ucapkan kesyukuran kerana tiada berlakunya perkara-perkara mungkar pada malam ini. Sumber dari Ust Din mengatakan sebelum merempit atau melakukan aksi-aksi yang berbahaya, mereka akan meminum minuman keras ataupun menghidu gam. Kami juga ada ketemu dengan botl-botol gam dan minuman keras yang ditinggalkan di kawasan terbabit.

Selepas itu, kami menuju ke Dataran Jam. Kawasan yang menjadi tumpuan keluarga berkumpul dan muda-mudi melepak. Jam menunjukkan jam 11 mlm, masih ramai yang berada di situ. Malah semakin ramai bila menjelang tengah malam. Kami bertembung dengan seorang remaja perempuan yang sedang menangis yang dikelilingi 2 remaja lelaki. Salah seorang remaja lelaki yang bersamanya telah ditangkap polis semalam akibat bergaduh. Tapi telah dilepas polis selepas semalaman di dalam lokap. Bila ditanya mengapa menangis, dia menjawab pakwenya baru tinggalkan dia. Bila ditunjuk gambar, rupa-rupanya pakwenya adalah Ku. Remaja yang aku kaunseling semalam. Selepas agak kurang setengah jam bersembang dengan Nurul ini, Ust Din dan beberapa orang sahabat pergi meninjau tempat di mana di katakan pakwenya lari dengan perempuan lain.

Selepas gagal mengesan, dalam perjalanan kembali ke Dataran Jam. Ust Din menyapa tiga lelaki yang sedang mencari adik perempuan dia yang telah 3 hari tidak pulang ke rumah. Rupanya budak perempuan yang kami tangkap semalam di Stesen Bas Sungai Petani adalah adik kepada salah seorang lelaki ini. Ternyata apa yang dikatakan oleh budak perempuan itu semalam, menipu semuanya. Dalam perjalanan membawa balik Nurul ke rumahnya di , kami terserempak dengan Ku bersama budak perempuan yang sama.

Mereka berdua melarikan diri. Ust Din dan beberapa sahabat mengejar dari belakang tapi gagal. Ternyata apa yang aku perkatakan selama sejam semalam, “masuk telinga kanan, keluar telinga kiri”. Malam tersebut kami pulang awal kerana semua keletihan.

Hari terakhir kami lebih tertumpu kepada perbincangan untuk program berterusan LANDAS dan juga pengurusan Rumah UpayaDaya Harapan Ar-Rahman (RAUDHAH). Program kami berakhir pada jam 12.00 tengahari.

Input dan kesimpulan bagi aku adalah;

  1. Golongan remaja sudah berada pada tahap sangat merbahaya. Perlu kepada penyelesaian segera.
  2. Cadangan Persatuan Ulama’ Malaysia Cawangan Pulau Pinang (PUMPP) dan Sekretariat Dakwah Pulau Pinang untuk membuka satu rumah singgah (transit) kepada remaja dan wanita bermasalah adalah sangat bertepatan dengan situasi yang sedang melanda Malaysia.
  3. Perlulebih ramai Ustaz dan Ustazah turun kepada masyarakat, bukan sekadar berceramah di masjid-masjid berdasarkan isu yang hanya diperolehi di dalam media massa untuk dijadikan bahan ceramah. Walaupun tidak menafikan ianya salah satu usaha-usaha untuk memperkasakan ummat.
  4. Pembangunan yang disogokkan kerajaan, hanya berbentuk pembangunan fizikal tanpa melihat kepada pembangunan kerohanian.
  5. Keluarga perlu memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak.
  6. Media massa merupakan salah satu punca penting pembawaan budaya Barat dalam diri remaja Melayu kini.
  7. Perlu ramai pemuda pemudi mengorbankan tenaga, masa dan harta untuk mencegahi kuman-kuman kemungkaran ini.

Penutup

Surah Ali Imran; 104

“Dan hendaklh di antara kamu segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung”.

Surah Ali Imran; 110

“Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah..”


alamat email saya mesol_er@yahoo.com

Read More...

LANDAS 2

LATIHAN AKTIVIS DAKWAH DALAM ISU SOSIAL (LANDAS II)

Program Dakwah

Alhamdulillah, sekali lagi LANDAS iaitu program Latihan Aktivis Dalam Isu-Isu Sosial dipermudahkan Allah. Program yang berlangsung di Masjid Sultan Muzzaffar Shah, Sungai Petani ini berlangsung dari 13-15 Mac 2008. Kehadirannya juga lebih ramai daripada LANDAS 1. Seramai 15 peserta telah menghadirkan diri. Walaupun pada awalnya yang berdaftar adalah seramai 8 orang sahaja.

Program dimulakan dengan terus turun ke lapangan. Dengan di ketuai oleh Ust Kamaruddin kami menuju ke Taman Sejati Indah. Sampai separuh jalan, kami terpaksa pulang ke masjid kerana pasangan yang disyaki keluar makan. Di masjid kami mengadakan sedikit taaruf ringkas dan Penyelaras Program LANDAS iaitu saudara Amir menerangkan secara ringkas objektif program ini kepada peserta yang hadir. Sebelum masuk rehat Ust Din memberitahu kepada peserta agar sentiasa bersedia untuk dikejutkan untuk latihan lapangan. Namun, akhirnya kami dikejutkan dengan bunyi deringan alarm telefon bimbit untuk solat subuh berjemaah. Sesudah solat subuh kami beriktikaf sambil mendengar kuliah subuh yang di sampaikan salah seorang Ustaz. Hampir tamatnya kuliah, Salman kawan baik aku mengajak supaya mendapatkan beberapa nasihat penting daripada seorang Ustaz yang kebetulan ada bersama-sama mendengar kuliah subuh.

Ustaz yang dimaksudkan ialah Ustaz Fahmi Zam-Zam. Beliau merupakan Mudir, Pasentren Yayasan Islam Nurul Hidayah (Yasin) di Banjar Baru dan Pasentren Yasin di Warateweh, Kalimantan, Indonesia yang dibuka pada tahun 2001 dan 2003. Disamping itu, beliau adalah Ketua Umum Majelis Ulama’ Indonesia Kabupaten Barito Utara, Kalimantan Tengah untuk sessi 2004 – 2009.

Melalui penerbitan Khazanah Banjariah, Al-Fadhil telah bergiat aktif dalam usaha pengeluaran kitab-kitab berbahasa Melayu. Antara lain, Al-Fadhil telah banyak menyusun kitab-kitab kumpulan hadits-hadits seperti ‘40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman’, ’40 Hadis Penawar Hati’ dan ‘40 Hadis Kelebihan Ilmu dan Ulama’. Al-Fadhil juga telah mentahkik dan menerbitkan semula kitab-kitab karangan ulama’ silam Nusantara As-Sheikh Abdul Samad Al-Falimbani seperti ‘Sairus Salikin’ (4 jilid) dan ‘Hidayatus Salikin’.

Disamping itu, Al-Fadhil juga aktif menterjemahkan kitab-kitab tasawuf yang ulung seperti ‘Bidayatul Hidayah’ dan ‘Ayyuhal Walad’ karangan Imam Al-Ghazali serta ‘Bustanul Arifin’ karangan Imam An-Nawawi. Sehingga kini masih berkhidmat di Madrasah Tarbiyyah Islamiyyah Derang di Pokok Sena, Kedah.

Antara nasihat beliau ialah hendaklah sabar dalam melakukan dakwah kepada sesiapa sahaja. Ini kerana Nabi Muhammad SAW juga berdakwah selama hampir 13 tahun di Mekah sebelum berjaya membentuk satu Kerajaan Islam di Madinah. Pelbagai rintangan dan cabaran yang terpaksa di tempuh Baginda sebelum lahirnya beberapa nama yang meletakkan kerajaan Islam sebaris dengan kuasa-kuasa dunia pada ketika itu. Kedua, beliau meminta sebagai pendakwah hendaklah ikhlas kerana Allah, bukan untuk mendapat pujian dan ganjaran daripada sesiapa pun. Ketidakikhlasan ini bakal merosakkan kesucian dakwah. Yang terakhir beliau memintak agar pendakwah sentiasa reda’ dengan apa
jua ketentuan Allah. Sepatutnya pendakwah tidak boleh berputus asa dengan apa jua keputusanNya. Positif atau negatifnya keputusan, usaha dakwah harus
diteruskan. Aku yang pertama kali berdepan dan mendengar nasihat secara terus dengan Ust Fahmi merasakan ada sesuatu yang membuatkan aku rasa hiba dan terharu. Mungkin agak lama tidak mendengar kuliah bagi menyucikan hati yang semakin kehitaman. Semoga titik-titik hitam tersebut dapat dibuang dan tidak menjadi penghalang untuk berjuang di jalan dakwah ini. Apa yang hendak aku jawab jika ditanya Allah, apa yang telah aku lakukan pada masa muda aku.

Pagi Jumaat, kami bertemu dengan Exco Belia, Kebudayaan, Sukan, Kesenian dan Warisan bagi Kerajaan Negeri Kedah iaitu YB Dr Hj Hamdan Mohamed Khalib bagi satu sesi dialog. Tujuan utama dialog ini bagi memperkenalkan program LANDAS kepeda beliau dan menerangkan masalah sosial yang semakin membarah di kalangan remaja Melayu. Pihak kami juga mencadangkan program pembangunan belia yang boleh diadakan di Kedah agar lebih mesra dengan
remaja dan boleh membanteras masalah sosial.

Lepas solat Jumaat kami di bawa Ust Din menuju ke kawasan remaja-remaja minum minuman keras. Alhamdulillah tiada siapa pun di kawasanberkenaan. Kemudian kami terus ke Central Square(CS). Keadaan di aras 5 pada petang itu agak legang sedikit. Tetapi tempat ‘karaoke jamban’ tetap juga penuh. Kali ini Ust Din membiarkan kami bergerak sendiri. Wakil muslimat memulakan langkah mendekati beberapa remaja. ‘Bongkar dan Selongkar’ dilakukan bagi mendapatkan seberapa banyak maklumat dan punca penglibatan mereka dalam
aktiviti ini. Kebanyakkannya memberikan respon bahawa mereka hanya mahu mencari keseronokan di luar dari rumah. Bosan tinggal di rumah. Namun, kami tidak berjaya untuk mendekati koresponden yang bercouple.

Setelah hampir 1 jam di CS kami turun dan kembali ke kawasan remaja-remaja minum minuman keras. Namun, tiada siapa pun di kawasan berkenaan. Rupa-rupanya kebanyakkan mereka berada di salah satu sarang lain yang bertaburan di sekitar CS. Namun, kebanyakkan mereka sempat melarikan diri
bila dapat mengesan kedatangan kami. Salah seorang daripada mereka katanya
telah terjatuh di dalam parit ketika berusaha menaiki cerun. Amir dan Salman
yang menjejaki mereka menjumpai kesan darah remaja perempuan di atas landasan keretapi di laluan mereka melarikan diri. Mereka juga telah memasuki sebuah apartment yang tergendala pembinaannya. Apa yang mengejutkan banyak jarun-jarun suntikan ditemui di dalamnya. Mereka juga telah terserempak dengan 2 remaja lelaki yang sedang khayal akibat kesan dadah.

Sebaliknya, aku dengan yang lain berbual dengan 4 orang remaja yang tidak melarikan diri. Salah seorangnya adalah Abg Pi yang kami jumpa pada program LANDAS 1 dahulu. Dengan mata yang merah, muslimat berdiskusi dengan Abg Pi. Aku berkesempatan berbual dengan Fendi yang tinggal di Sungai Layar, Sungai Petani. Katanya, dia sakadar datang untuk bertemu dengan kawan-kawan semperna cuti hujung minggu. Walaupun katanya dia sudah lama
meninggalkan tabiat meminum arak, tapi melihat pada gayanya ada juga sedikit
pembohongan. Kami tidak lama di situ. Kami tinggalkan kawasan tersebut.

Tibanya di stesen bas, sekali lagi langkah kami terhenti. Ust Din menegur sekumpulan remaja lelaki yang berpakaian ala rockes. Aku memainkan peranan bersembang dengan 2 orang dari mereka. Maaf, terlupa akan nama mereka berdua ni. Salah seorangnya bekerja sebagai nelayan yang tinggal di Tanjung Dawai. Agak selamba pewartakannya. Bila Ust Din mintak untuk ambil gambar dia dengan selamba mengaksikan gayanya. Kawan-kawannya yang ada di
sekitar terbabit memarahi kerana mereka kenal akan Ust Din. “Bodoh!! Masuk tv, hang tahu.”

Malamnya kami turun agak awal selepas mengadakan sedikit perbincangan tentang operasi lapangan petang tadi. Terdapat beberapa cadangan kepada urusetia bagi memastikan kita tidak kelu lidah untuk memulakan sapaan dengan kumpulan sasaran. Dengan penyediaan pamplet atau bahan edaran nasihat kepada remaja yang ditemui.

Tidak diketahui adakah Ust Din ada menerima sebarang panggilan dari mana-mana pihak kerana kami berasingan. Aku cuba ikut dari belakang. Macam pernah lalu je jalan ni, fikir aku sendirian. Kemudian kami tiba di rumah Ustaz Said, sahabat baik Ust Din terutamanya dalam aktiviti penguatkuasaan. Kami yang ramai singgah di rumah beliau.

Setelah jam menunjukkan jam 12 malam, Ust Din mengajar untuk memulakan operasi.

“Malam ni kita pi ke Taman Sejati, tempat mat-mat dan minah-minah rempit, lepas tu ke stesen bas Sungai Petani tempat budak-budak ni tidur.” Kononya tertinggal bas itulah alasan yang biasa diberikan.

“Lepas tu kita akan ke Dataran Jam Besar, ramai yang melepak kat situ sampai ke subuh.” Sambung Ustaz Din.

Kami meredah malam pekat menuju ke destinasi. Sampai je di Taman Sejati, kawasan terbabit sunyi sepi tiada sebatang tubuh yang ada di situ. Sama keadaanya ketika LANDAS 1. Kemungkinan pendedahan aktiviti di dalam Harian Metro awal tahun ini menyebabkan mereka berubah tempat berkumpul. Bahayanya mereka ini ialah mereka menghidu gam dan kekadang minum arak sebelum melakukan aksi-aksi berbahaya dan merempit dengan kelajuan yang laju. Tapi kali ini jalan raya berdekatan tol Sungai Petani Selatan ini kekadang dilalui beberapa buah kenderaan sahaja.

Kami tidak menunggu lama di situ dan terus ke Stesen Bas Sungai Petani. Tapi sebelum itu Ustaz Din meninggalkan beberapa orang untuk memerhati kawasan yang kami pergi petang tadi. Sebaliknya yang lain-lain terus ke stesen bas. Tiba sahaja di situ Ustaz Din terus turun dan mengejar bebarapa orang remaja yang cuba melarikan diri. Akhirnya sempat dipintas oleh kami. Kami bertemu dengan Fendi yang kami terserempak petang tadi. Katanya, “saje kuar pusing-pusing dengan member-mamber.” Kami biarkan mereka berempat beredar. Sahabat-sahabat yang lainnya sedang melayan dua remaja. Tiada apa yang mencurigakan, sebaliknya hanya bersembang biasa. Dan akhirnya mereka tinggalkan kami dengan motor masing-masing. Setelah puas mengeledah seluruh kawasan dan sahabat-sahabat yang ditinggalkan tadi berkumpul kembali, kami terus ke Dataran Jam.Di sana aku tidak ambil bahagian, sebaliknya sahabat-sahabat yang turun dan terus menuju ke sasaran masing-masing. Lebih kurang ada dalam 20 remaja di situ dengan pelbagai tujuan. Ada yang bercouple dan ada yang datang beramai-ramai. Salah satunya yang sedang menuntut di IKBM memberitahu,

“Saya tak kan ke mana-mana, mungkin tidur kat sini dan esok baru balik sebab pintu pagar asrama dah tutup. Memang tak boleh masuk dah.”

Beginilah kehidupan remaja bila bebas dan berjauhan dengan keluarga. Sepatutnya masa yang ada itu digunakan sebaik mungkin untuk mengulangkaji pelajaran ataupun melibatkan diri dengan aktiviti berpesatuan. Inilah gaya pemikiran golongan yang diberi kemudahan berpelajaran dan berpeluang untuk mencari makna hidup, sebaliknya di sia-siakan.

Akhirnya aktiviti lapangan kami terhenti sekitar jam 3 pagi. Sebelum masuk sekali lagi Ust Din memperingati kami dengan kata-katanya,

“jangan tidur lena sangat, saya tahu anda agak letih. Tapi kalau ada kes saya mai kejut anda semua.”

Semua tersenyum dan mengangguk tanpa faham.

Pagi Sabtu bersamaan dengan 15 Mac kami ke Taman Jubli melakukan senaman ringan. Selesai makan terus diadakan diskusi dengan Abg Nizam merangkap Setiausaha PUM PP. Tidak seperti LANDAS 1, dia tidak terlibat sangat dengan program kali ini. Agak sibuk sedikit selepas pilihan raya umum ke 12. Perubahan pucuk pimpinan dalam Kerajaan Pulau Pinang dan beberapa negeri lainmenjadikan NGO-NGO Islam seluruh Pulau Pinang mengambil inisiatif awal untuk bertemu dan berbincang dengan pimpinan negeri. Tujuannya satu bagi memastikan ummat Islam di Pulau Pinang terbela dalam semua sudut. Antaranya dalam memastikan terpeliharanya dan pihak pentadbiran menyokong dan membangunkan institusi Islam sedia ada seperti, Majlis dan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, masjid dan surau, sekolah dan kelas agama rakyat (meneruskan bantuan pembangunan) dan meneruskan dan membangunkan tanah-tanah wakaf untuk pembangunan umat Islam. Di samping ingin memastikan pentadbiran bersikap adil terhadap hak-hak orang Melayu-Islam, tidak diketepikan dari arus pembangunan negeri. Malah tidak lupa kepada hak pekerja Melayu-Islam di tempat kerja untuk menunaikan kewajipan beragama mereka.

Dalam sesi ini, Abg Nizam cuba merungkai sejauh mana kebejatan sosial yang berlaku dalam masyarakat masa ini. Walaupun persoalan-persoalan ini selalu ditanya, namun ianya bagi aku adalah penting dan sesuai untuk di bincangkan. Sesi kali ini diakhir dengan makan tengahari.

Harapan besar agar gerak kerja LANDAS ini menjadi satu latihan dalaman kepada pengerak dan usaha-usaha melahirkan generasi pelapis yang faham dan mampu menggerakkan aktiviti mencegah kemungkaran. Semoga usaha ini mendapat pertolongan dari Allah.

Read More...
 

Pengikut