|
Ustaz Zulkipli Ahmad sedang menyampaikan khutbah jumaat di masjid Taman Intan |
الحمد
لله القائل :
قل
هل يستوى الذين يعلمون والذين لايعلمون إنما يتذكرأولواالألباب . أشهدأن لاإله
إلاالله وحده لاشريك له, وأشهد أن سيدنامحمدا عبده ورسوله. اللهم صل وسلم وبارك
على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
Sidang Jumaat Yang di Rahmati
Allah
Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang
Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT
dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi
segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan di akhirat.Mimbar
pada hari ini akan membincangkan
khutbah sempena
menyambut Hari Guru pada setiap 16 Mei.
Sidang Jumaat
Yang di Rahmati Allah,
Sesungguhnya kecemerlangan hidup
seseorang di dunia ini tidak dapat lari dari sumbangan dan pengorbanan orang
lain sama ada ibu bapa, ahli keluarga, kaum kerabat, rakan-rakan, guru-guru dan
sebagainya. Sumbangan
dan pengorbanan tersebut sudah tentu tidak mampu dibalas, lebih-lebih lagi
sumbangan para guru yang membimbing kita ke arah kecemerlangan hidup di dunia
dan di akhirat.
Statistik pada masa ini menunjukkan bahawa bilangan guru
ialah seramai 380,000 manakala bilangan anak-anak
kita yang berada di alam persekolahan ialah seramai 5.4 juta orang. Lihat
betapa besarnya tanggungjawab guru untuk membimbing dan mendidik anak-anak kita
ini. Kerana itu, setiap tahun tanggal 16 Mei telah dipilih sebagai hari
bersejarah untuk kita semua memperingati dan menghargai sumbangan para guru
terutamanya dalam mendidik dan menjana tranformasi pendidikan bagi membina
negara bangsa yang beriman, bertaqwa dan beramal soleh.
Sesungguhnya seorang
guru adalah insan mulia kerana mereka telah diamanahkan untuk
menyampaikan ilmu dan mentarbiah masyarakat, mereka diibaratkan seperti bintang
di langit yang menjadi penunjuk jalan bagi menerangi kegelapan di darat dan
lautan sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA
:
إِنَّ مَثَلَ الْعُلَمَاءِ
فِى اْلأَرْضِ كَمَثَلِ النُّجُوْمِ يُهْتَدَى بِهَا فِى ظُلُمَاتِ الْبَرِّوَالْبَحْرِ
فَإَذَا انْطَمَسَتَ النُّجُوْمُ أَوْشَكَ أَنْ تَضِلَّ الْهُدَاةُ
Maksudnya: "Sesungguhnya perumpamaan orang-orang yang berilmu
pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang di langit yang menjadi
petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan sama ada di daratan mahupun di
lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuan".
Sejarah ketamadunan Islam telah mencatatkan bahawa guru sebagai
murabbi atau para ulama adalah golongan yang amat dihormati oleh masyarakat dan
pemerintah. Bukan menjadi sesuatu yang menghairankan jika seorang khalifah
sanggup berjalan ke rumah seorang ulama, semata-mata untuk menuntut ilmu dan
duduk bersama dengan mereka. Diriwayatkan bahawa Imam Malik bin Anas pernah
menolak tawaran untuk mengajar di Istana bahkan dengan tegas beliau mengatakan:
Ilmu itu didatangi bukan
mendatangi. Kisah
Imam Malik yang merupakan contoh sebagai seorang murid yang menghormati guru.
Jika ada sesuatu persoalan dikemukakan kepadanya, ia lebih suka merujuk kepada
gurunya terlebih dahulu. Beliau pernah berkata: “Aku tidak mahu menjawab
permasalahan ini sebelum aku bertanya terlebih dahulu kepada orang yang lebih
alim daripadaku. Apakah pendapatku ini lebih bertepatan dengan kebenaran”.
Lihatlah bertapa sikap merendah diri dan rasa hormat seorang Imam dan ulama
terbilang seperti Imam Malik.
Begitu juga yang berlaku kepada Imam Shafie yang amat menghormati gurunya. Beliau pernah
berkata: “Malik bin Anas adalah guruku. Seandainya tidak ada Imam Malik dan
Ibnu Uyainah, maka hilanglah seluruh ilmu ulama-ulama negeri Hijaz ini. Saidina
Ali RA juga pernah berkata “Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu
huruf maka dia adalah tuan kepada ku”. Demikian tinggi dan mulianya
kedudukan guru serta dihormati sehingga
Allah SWT berfirman dalam surah al-Mujadalah ayat 11:
يَا
أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قِيلَ لَكُمْ تَفَسَّحُوا فِي الْمَجَالِسِ
فَافْسَحُوا يَفْسَحِ اللَّهُ لَكُمْ ۖ وَإِذَا قِيلَ انْشُزُوا فَانْشُزُوا
يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ
دَرَجَاتٍ ۚ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
Maksudnya: “ Wahai orang yang
beriman! Apabila kamu diminta memberi lapang dalam majlis, maka lapangkanlah,
nescaya Allah akan melapangkan untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka
bangunlah, supaya Allah meninggikan orang yang beriman di antara kamu, dan juga
orang yang diberi ilmu pengetahuan akan darjat. Dan Allah Maha Mengetahui
tentang apa yang kamu lakukan.”
Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah
Dalam menjana tranformasi pendidikan tugas
guru bukan hanya sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan tetapi ia juga berperanan
sebagai murabbi untuk membentuk bangsa supaya menjadi insan yang beraqidah, beriman,
bertaqwa, dinamik dan berkualiti di dunia dan di akhirat. Mereka berada di
saf hadapan untuk membangun bangsa yang
cemerlang yang akan menentukan sebuah negara yang maju, aman dan penduduknya
beriman, bertaqwa serta dihormati. Maka, dalam merialisasikan harapan yang
tinggi ini, guru terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan dugaan termasuk
perubahan dalam sistem penyampaian dan maklumat agar selari dengan kehendak
yang diperlukan oleh masyarakat bagi tujuan mencapai aspirasi negara. Juga guru
septutnya menjadi model pendidik yang berkemahiran pelbagai ilmu, beriman,
bertaqwa dan beramal soleh.
Walaubagaimana pun kejayaan dan
keberkesanan pencapaian sistem pendidikan sebenarnya berkait rapat dengan
kesedaran guru terhadap tanggungjawabnya, kelengkapan ilmunya dan keluhuran
peribadinya. Kesepaduan antara peribadi dan kemahiran keilmuan adalah unsur
penting membantu kearah kecemerlangan pendidikan. Bagi mencapai hasrat
tersebut, tuntutan kepada ilmu pengetahuan yang berbentuk fardhu ain dan fardhu
kifayah adalah amat diperlukan. Ianya hendaklah disepadukan agar kemajuan yang
hendak dicapai itu dapat memenuhi tuntutan kesejahteraan di dunia dan di
akhirat. Amalan
memisahkan antara pendidikan yang bercorak fardhu ain dan fardhu kifayah akan
melahirkan sebuah masyarakat yang tempang sekaligus menggagalkan usaha
membentuk modal Insan yang gemilang. Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran
ayat 18:
شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ
لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا
بِالْقِسْطِ ۚ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
Maksudnya: “Allah menerangkan ( kepada
sekelian makhluknya dengan dalil dan bukti ) bahawa tiada tuhan yang berhak
disembah melainkan dia, yang sentiasa mentadbir seluruh alam dengan keadilan,
dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu ( mengakui dan menegaskan
juga yang demikian ) tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Dia Yang Maha
Kuasa lagi Maha Bijaksana.”
Sidang
Jumaat Yang di Rahmati Allah,
Anak bangsa yang berkualiti ianya haruslah bermula daripada
orang yang mendidik mereka. Keupayaan ini mestilah di dokong bersama antara guru dan masyarakat
terutama ibubapa. Jika tidak nescaya harapan negara ke arah melahirkan generasi
modal insan kelas pertama yang berjiwa “Ulul Albab” akan sia-sia, seperti kata
pepatah “berat sama dipikul ringan sama dijinjing ”. Firman Allah SWT dalam
surah al- Maidah ayat 2:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى
الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ
وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan
untuk membuat kebajikan (kebaikan) dan bertakwa, dan janganlah kamu
bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan
bertakwalah kepada Allah, kerana Allah sesungguhnya Maha Berat Azab siksanya (bagi
sesiapa yang melanggar perintahnya)”.
Ibu bapa dan masyarakat hendaklah seiring dan bersama-sama
dalam memacu pendidikan dengan menginstitusikan keluarga, masyarakat dan
persekitaran sebagai sekolah. Disamping ibu bapa juga perlu mewujudkan suasana
pembelajaran di rumah dan persekitaran dengan memberi perhatian yang serius
terhadap kehidupan seharian anak-anak. Ibu bapa juga hendaklah peka terhadap
perkara-perkara yang boleh merosakkan nilai dan jati diri anak-anak. Mimbar
percaya hubungan baik antara ibu bapa dengan pihak guru amat penting agar usaha
mengasuh dan mendidik anak-anak berjalan dengan lancar dan sempurna. Persatuan
ibu bapa dan guru-guru seharusnya memainkan peranan dalam membina pendidikan
anak-anak. Ibu bapa dan masyarakat juga perlu menjalin hubungan yang erat dan
berterusan dengan pihak sekolah agar setiap permasalahan yang ditimbulkan oleh
anak-anak dapat diselesaikan secara muhibah.
Sidang
Jumaat Yang di Rahmati Allah,
Mimbar menyeru semua pihak, selari dengan ajaran Islam dan sifat orang beriman yang
bersyukur, marilah kita bersama-sama
bertanggungjawab untuk membentuk tranformasi pendidikan dengan menyemai dan
memupuk perpaduan, semangat patriotisme, menyampaikan ilmu pengetahuan dan
kemahiran, serta membentuk akhlak dan jati diri bagi melahirkan anak bangsa
yang cemerlang . Ingatlah bahawa tugas membina negara bangsa melalui pendidikan
tidak akan selesai. Sebaliknya ia semakin mencabar selaras dengan kemajuan yang
tidak terbatas pada masa kini.
Bersempena
dengan Sambutan Hari Guru pada tahun ini, marilah kita memanjatkan doa kehadrat
Allah SWT agar matlamat kita untuk melihat generasi akan datang yang memahami
tanggungjawab dalam membina negara bangsa terlaksana dengan sempurna melalui
pendidikan berkualiti yang disampaikan oleh para guru sebagai pemacu
tranformasi pendidikan. Marilah sama-sama kita mendokong usaha yang murni ini,
mudah-mudahan segala usaha kita akan diberkati oleh Allah SWT. Mengakhiri
khutbah pada minggu ini marilah kita merenung firman Allah SWT dalam surah az-Zumar ayat 9:
أَمَّنْ هُوَ قَانِتٌ
آنَاءَ اللَّيْلِ سَاجِدًا وَقَائِمًا يَحْذَرُ الْآخِرَةَ وَيَرْجُو رَحْمَةَ
رَبِّهِ ۗ قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ
ۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الْأَلْبَابِ
Maksudnya: “Apakah
orang yang taat beribadat diwaktu malam dengan sujud dan berdiri, ia takutkan
azab hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya, sama dengan orang
musyrik? Katakanlah:
Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?
Sesungguhnya orang yang dapat mengambil peringatan hanyalah orang yang berakal”.
Read More...