Jalan cerita yang sukar dijangka (unpredictable) adalah antara unsur yang menjadikan sesebuah novel itu sedap dibaca. Pembaca sentiasa tertanya-tanya: apa yang akan berlaku seterusnya?
Kesan ini akan dirasai oleh mereka yang membaca novel Perindu Pelangi.
Seawal bab pertama lagi, penulisnya Siti Munirah A. Rashid sudah merangsang rasa ingin tahu pembaca. Pembaca tertanya-tanya, siapa Isador, watak misteri yang muncul di sebuah daerah yang sangat asing baginya? Siapa pula Akil, nama Melayu yang disebut-sebut di tengah-tengah keluarga Cina? Wujudnya bayangan konflik melibatkan dua watak ini dan pengenalan beberapa watak lain – Pak Cik Ming, Mak Cik Fan dan Xiao Er serta episod imbas kembali sewaktu zaman kanak-kanak Akil – merupakan pakej yang baik dalam memancing minat dan menimbulkan rasa ingin tahu pembaca pada bab pertama itu.
Dan ternyata, apabila menyelak halaman-halaman seterusnya, pembaca tidak merasai momentum yang ditimbulkan oleh bab pertama itu mengendur. Momentum itu bersambung dari bab ke bab. Ibarat bola yang melantun tanpa henti, ia mencipta rasa ingin tahu yang berterusan, hinggalah ke noktah akhir apabila ia disudahi dengan penutup yang indah.
Rakan editor Puan Suraiya Pauzi, penggemar novel-novel John Grisham, meletakkan novel ini di kedudukan nombor satu di hatinya dalam senarai novel-novel Islami Galeri Ilmu setakat ini. Beliau melihat sebahagian kekuatan novel-novel John Grisham ada pada Perindu Pelangi. Saya mengenali Puan Suraiya sebagai seorang pembaca novel yang sangat kritis. Bukan mudah untuk mendengar beliau memuji novel Melayu.
Melalui Perindu Pelangi, Siti Munirah berjaya menyuntik sedikit elemen triler dengan begitu baik. Beliau juga begitu kenal kepada watak-watak ciptaannya. Watak-watak itu hidup dan mempunyai akhiran cerita masing-masing. Setiap watak itu juga membantu menggerakkan cerita.
Watak seorang angkasawan yang mencari kebenaran dinukilkan dengan begitu mengesankan dan disokong oleh penyelidikan. Watak pemuda Melayu yang hidup di tengah-tengah masyarakat Cina di Guangzhou, memberi impak yang kuat kepada struktur cerita. Watak gadis bernama Xiao Wei yang agak serius tetapi menyimpan perasaan kepada Akil, menimbulkan kesan tersendiri di hati pembaca, begitu juga dengan watak Xiao Er, gadis yang keanak-anakan dan manja.
Sebagai sebuah novel Islami, Perindu Pelangi sarat dengan nilai didikan yang dijalin secara bersahaja. Nilai tauhid, nilai akhlak dan nilai adab disulam melalui perkembangan watak dan pergerakan cerita yang lancar serta dialog-dialog yang segar. Demikian juga nilai syariat yang digambarkan melalui aspek pergaulan dan cara berpakaian watak-watak yang tidak terasa terlalu mengajar. Kisah dan konflik cinta dipaparkan dalam ‘dos’ yang sederhana, namun diselitkan nilai Islam yang indah.
Baru-baru ini seorang kenalan, Puan Siti Malini binti Mat, yang juga seorang penggemar novel, meminta saya mencadangkan sebuah novel Islami yang baik untuk dibaca, lalu saya menyuakan novel Perindu Pelangi kepadanya. Setelah membacanya, beliau menghantar e-mel ini kepada saya:
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kerana mencadangkan supaya saya membeli novel Perindu Pelangi. Buku itu memang sangat baik! Ceritanya sangat menarik, bahasanya indah, dan Siti Munirah bijak menggunakan latar (China) dan ilmu tambah (masakan, astronomi) untuk menjadikan karyanya lebih menarik. Pada pendapat saya, Siti Munirah berpotensi besar. Jikalau saya dapat menulis sebaik dia, saya akan berasa sangat gembira.”
Zakaria Sungib
0 ulasan:
Catat Ulasan