Jumaat, 6 April 2012
Khutbah Jumaat di Masjid Taman Intan 6 April 2012
Hakikat Qiamat
Oleh:
Syeikh Mohd Haizan
Pegawai Agama Daerah Sik
الحمدلله القائل :
الذى خلق الموت والحياة ليبلوكم أيكم أحسن عملا وهوالعزيز
الغفور
أشهدأن لاإله
إلاالله وحده لاشريك له, وأشهد أن سيدنامحمدا عبده ورسوله. اللهم صل وسلم وبارك على
سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
Muslimin yang di Rahmati
Allah,
Di kesempatan berada pada hari Jumaat dan di atas
mimbar masjid yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang
Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah
SWT dengan bersungguh-sungguh
melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita
memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan
di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “Hakikat Qiamat”.
Fiman Allah swt di dalam surah
Ali Imran, ayat 185:
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ
الْقِيَامَةِ ۖ فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ
ۗ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ – آل عمران : 18
Maksudnya:
“Tiap-tiap Yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat
sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. ketika itu sesiapa Yang dijauhkan
dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka Sesungguhnya ia telah berjaya. dan
(ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi Segala kemewahannya dan
pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang
terpedaya”.
Sidang
Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Setiap orang Islam wajib percaya serta yakin kepada
Hari Kiamat kerana ia adalah merupakan salah satu daripada rukun Iman. Namun
persoalannya, bagaimanakah sepatutnya hakikat Hari Kiamat yang wajib diyakini
oleh seorang Islam. Saya sengaja memilih tajuk ini sebagai khutbah pada hari
yang mulia ini kerana pada zaman sekarang wujudnya terlalu banyak golongan yang
memperbesarkan isu ini untuk kepentingan sendiri.
Masih ramai golongan yang mensensasikan mengenai kiamat
atau pengakhiran dunia yang diramalkan berlaku pada 12 Disember 2012 seperti
dihujahkan pelbagai pihak kerana kononnya ada bukti menjurus kepada kepercayaan
tersebut. Bahkan, media massa pun turut sama memainkan peranan negatif,
contohnya dengan turut menyiarkan iklan satu
jenama shampoo yang menggunakan isu ini. Lebih malang lagi apabila wujudnya
hadis palsu yang disiarkan melalui internet sehinggakan ada umat Islam yang
terpedaya dan turut sama menyebarkannya. Kita patut bimbang bahawa kepercayaan
membuta tuli sebegini akan menyebabkan rosaknya aqidah seseorang muslim.
Sidang
Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Biarpun orang Islam wajib mempercayai adanya Hari
Kiamat, tetapi Allah swt tidak menjelaskan bilakah tarikh berlakunya.
Pertanyaan bilakah berlakunya kiamat telah diajukan kepada Rasulallah saw. dan
Allah swt telah menjawab melalui firmannya dalam surah Al A’raf, ayat 187:
يَسْأَلُونَكَ عَنِ السَّاعَةِ أَيَّانَ مُرْسَاهَا ۖ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا
عِنْدَ رَبِّي ۖ لَا يُجَلِّيهَا لِوَقْتِهَا إِلَّا هُوَ ۚ ثَقُلَتْ فِي
السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۚ لَا تَأْتِيكُمْ إِلَّا بَغْتَةً ۗ يَسْأَلُونَكَ
كَأَنَّكَ حَفِيٌّ عَنْهَا ۖ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِنْدَ اللَّهِ وَلَٰكِنَّ
أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ – الأعراف : 187
Maksudnya:
mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) tentang hari kiamat:
"Bilakah masa datangnya?" katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan
mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun Yang dapat
menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan dia. (huru-hara) hari kiamat
itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk Yang ada) di langit dan di
bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut". mereka
bertanya kepadamu seolah-olah Engkau sedia mengetahuinya. katakanlah:
"Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah,
tetapi kebanyakan manusia tidak Mengetahui".
Bahkan malaikat Israfil
yang bertugas meniup sangkakala tanda tibanya kiamat pun tidak mengetahuinya.
Beliau hanya sentiasa bersiap sedia menungga arahan daripada Allah swt untuk menjalankan tugasnya sebagai peniup
sangkakala. Sabda Rasulallah saw yang bermaksud:
“Bagaimana
boleh aku berasa tenteram dan tenang, sementara Malaikat Israfil telah
meletakkan trumpet ke dalam mulutnya, menumpukan perhatian dan memusatkan
pendengarannya sambil menunggu perintah untuk meniupnya.” (riwayat Tirmizi)
Jadi, bagaimana mungkin kita boleh menerima
bahawa tarikh kiamat mampu diramalkan oleh pihak tertentu. Tambahan pula jika
kita ingat kembali satu ketika dahulu sekitar tahun 80 an pernah pihak tertentu
meramalkan kiamat akan berlaku apabila dijangka akan berlaku perlanggaran bumi
dengan komet Haley. Terbukti ramalan tersebut adalah meleset dan tidak benar
sama sekali.
Tuan-tuan
yang dirahmati Allah sekalian,
Kita sebagai umat Islam
tidak boleh memandang ringan terhadap perkara begini. Jika momokan atau dakyah
mengenai tarikh berlakunya kiamat terus diperkatakan dan disensasikan, mungkin
umat Islam terutama yang kurang mantap asas serta kefahaman Islam akan
terpengaruh mengenai kepercayaan tersebut dan seterusnya menyebabkan akidah
mereka tercemar atau rosak. Rosaknya akidah Islam seseorang adalah satu isu
yang besar dan boleh menjerumuskan diri ke dalam neraka Allah swt.
Golongan yang membuat
ramalan hari kiamat itu sebenarnya mempunyai kepentingan serta motif tertentu.
Bahkan pada hakikatnya apa dilakukan oleh mereka turut memberi saham kemenangan
kepada syaitan untuk menyesatkan manusia.
Ada pihak mengatakan
apabila mengetahui bila akan berlakunya kiamat, maka orang akan berlumba-lumba
melakukan ibadat dan meninggalkan urusan yang sia-sia. Persoalannya, perlukah
kita jadikan kiamat sebagai satu bentuk dorongan atau motivasi untuk melakukan
ibadat? Kita lupa bahawa kiamat
sebenarnya berlaku setiap hari kepada mereka yang meninggal dunia. Ketika itu
terputuslah segala peluang untuk melakukan ibadat bagi bekalan hidup di
akhirat.
Mengingati kematian memang
dituntut dalam Islam sebagai satu cara meningkatkan ketaqwaan kepada Allah swt.
Malah Rasulallah saw pernah ditanya tentang siapakah orang yang paling bijak?
Sabda baginda SAW yang bermaksud : “Orang
yang paling bijak ialah orang yang sentiasa mengingati mati dan sentiasa
bersedia menghadapinya”.
Mengingati mati dapat
menyedarkan kita tujuan sebenar hidup di dunia sebagai tempat mencari bekalan
di akhirat, iaitu hari selepas kiamat di mana semua manusia dibangkitkan semula
bagi menerima pembalasan baik buruk yang dilakukan sepanjang kehidupan.
Ramai manusia takut dan mempercayai
ramalan tarikh berlakunya kiamat. Namun mereka lupa pada kematian diri sendiri
yang pasti akan belaku pada bila-bila masa sahaja. Firman Allah swt dalam surah
al-Jumaah, ayat 8:
قُلْ إِنَّ الْمَوْتَ الَّذِي
تَفِرُّونَ مِنْهُ فَإِنَّهُ مُلَاقِيكُمْ ۖ ثُمَّ تُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ
وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ – الجمعة : 8
Maksudnya: Katakanlah (Wahai Muhammad):
"Sebenarnya maut Yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia
akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah Yang mengetahui
Segala Yang ghaib dan Yang nyata, lalu ia memberitahu kepada kamu apa Yang kamu
telah lakukan (serta membalasnya)".
Sepatutnya kita fikirkan
kiamat diri kita, bukannya kiamat dunia. Kematian adalah sesuatu yang pasti.
Bersiaplah dengan bekalan terbaik untuk kehidupan di akhirat nanti seperti
melakukan amal kebaikan, bertaubat dan tidak melakukan maksiat. Beristiqamahlah
dalam ketakwaan dan jauhkanlah diri daripada mempercayai perkara karut mengenai
ramalan tarikh kiamat. Syaitan sentiasa berusaha menyesatkan manusia dengan
memikirkan dan mempercayai perkara karut supaya kita lalai daripada melaksanakan
tanggungjawab kepada Allah dan akhirnya bersama mereka di dalam neraka.
Firman Allah swt dalam
surah Fathir, ayat 6 :
إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمْ
عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوًّا ۚ إِنَّمَا يَدْعُو حِزْبَهُ لِيَكُونُوا مِنْ
أَصْحَابِ السَّعِيرِ – فاطر : 6
Maksudnya: “Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu,
maka Jadikanlah Dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya Dia
hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka”.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan