LANDAS

Chicklet Chooser

Add to Google Reader or Homepage

FeedBurner FeedCount

Cari Blog Ini

Jumaat, 6 April 2012

Khutbah Jumaat di Masjid Taman Intan 6 April 2012

Hakikat Qiamat

Oleh:

Syeikh Mohd Haizan
Pegawai Agama Daerah Sik 


الحمدلله القائل :
الذى خلق الموت والحياة ليبلوكم أيكم أحسن عملا وهوالعزيز الغفور
أشهدأن لاإله إلاالله وحده لاشريك له, وأشهد أن سيدنامحمدا عبده ورسوله. اللهم صل وسلم وبارك على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين


Muslimin yang di Rahmati Allah,

Di kesempatan berada pada hari Jumaat dan di atas mimbar masjid yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT  dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “Hakikat Qiamat”.

Fiman Allah swt di dalam surah Ali Imran, ayat 185:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۖ فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ – آل عمران : 18
Maksudnya: “Tiap-tiap Yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. ketika itu sesiapa Yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka Sesungguhnya ia telah berjaya. dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi Segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya”.



Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Setiap orang Islam wajib percaya serta yakin kepada Hari Kiamat kerana ia adalah merupakan salah satu daripada rukun Iman. Namun persoalannya, bagaimanakah sepatutnya hakikat Hari Kiamat yang wajib diyakini oleh seorang Islam. Saya sengaja memilih tajuk ini sebagai khutbah pada hari yang mulia ini kerana pada zaman sekarang wujudnya terlalu banyak golongan yang memperbesarkan isu ini untuk kepentingan sendiri.

Masih ramai golongan yang mensensasikan mengenai kiamat atau pengakhiran dunia yang diramalkan berlaku pada 12 Disember 2012 seperti dihujahkan pelbagai pihak kerana kononnya ada bukti menjurus kepada kepercayaan tersebut. Bahkan, media massa pun turut sama memainkan peranan negatif, contohnya dengan turut menyiarkan iklan  satu jenama shampoo yang menggunakan isu ini. Lebih malang lagi apabila wujudnya hadis palsu yang disiarkan melalui internet sehinggakan ada umat Islam yang terpedaya dan turut sama menyebarkannya. Kita patut bimbang bahawa kepercayaan membuta tuli sebegini akan menyebabkan rosaknya aqidah seseorang muslim.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Biarpun orang Islam wajib mempercayai adanya Hari Kiamat, tetapi Allah swt tidak menjelaskan bilakah tarikh berlakunya. Pertanyaan bilakah berlakunya kiamat telah diajukan kepada Rasulallah saw. dan Allah swt telah menjawab melalui firmannya dalam surah Al A’raf, ayat 187:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ السَّاعَةِ أَيَّانَ مُرْسَاهَا ۖ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِنْدَ رَبِّي ۖ لَا يُجَلِّيهَا لِوَقْتِهَا إِلَّا هُوَ ۚ ثَقُلَتْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۚ لَا تَأْتِيكُمْ إِلَّا بَغْتَةً ۗ يَسْأَلُونَكَ كَأَنَّكَ حَفِيٌّ عَنْهَا ۖ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِنْدَ اللَّهِ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ – الأعراف : 187
Maksudnya: mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?" katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun Yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan dia. (huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk Yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut". mereka bertanya kepadamu seolah-olah Engkau sedia mengetahuinya. katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak Mengetahui".


Bahkan malaikat Israfil yang bertugas meniup sangkakala tanda tibanya kiamat pun tidak mengetahuinya. Beliau hanya sentiasa bersiap sedia menungga arahan daripada Allah swt  untuk menjalankan tugasnya sebagai peniup sangkakala. Sabda Rasulallah saw yang bermaksud:

“Bagaimana boleh aku berasa tenteram dan tenang, sementara Malaikat Israfil telah meletakkan trumpet ke dalam mulutnya, menumpukan perhatian dan memusatkan pendengarannya sambil menunggu perintah untuk meniupnya.” (riwayat Tirmizi)

 Jadi, bagaimana mungkin kita boleh menerima bahawa tarikh kiamat mampu diramalkan oleh pihak tertentu. Tambahan pula jika kita ingat kembali satu ketika dahulu sekitar tahun 80 an pernah pihak tertentu meramalkan kiamat akan berlaku apabila dijangka akan berlaku perlanggaran bumi dengan komet Haley. Terbukti ramalan tersebut adalah meleset dan tidak benar sama sekali.

Tuan-tuan yang dirahmati Allah sekalian,

Kita sebagai umat Islam tidak boleh memandang ringan terhadap perkara begini. Jika momokan atau dakyah mengenai tarikh berlakunya kiamat terus diperkatakan dan disensasikan, mungkin umat Islam terutama yang kurang mantap asas serta kefahaman Islam akan terpengaruh mengenai kepercayaan tersebut dan seterusnya menyebabkan akidah mereka tercemar atau rosak. Rosaknya akidah Islam seseorang adalah satu isu yang besar dan boleh menjerumuskan diri ke dalam neraka Allah swt.
Golongan yang membuat ramalan hari kiamat itu sebenarnya mempunyai kepentingan serta motif tertentu. Bahkan pada hakikatnya apa dilakukan oleh mereka turut memberi saham kemenangan kepada syaitan untuk menyesatkan manusia.

Ada pihak mengatakan apabila mengetahui bila akan berlakunya kiamat, maka orang akan berlumba-lumba melakukan ibadat dan meninggalkan urusan yang sia-sia. Persoalannya, perlukah kita jadikan kiamat sebagai satu bentuk dorongan atau motivasi untuk melakukan ibadat?  Kita lupa bahawa kiamat sebenarnya berlaku setiap hari kepada mereka yang meninggal dunia. Ketika itu terputuslah segala peluang untuk melakukan ibadat bagi bekalan hidup di akhirat.

Mengingati kematian memang dituntut dalam Islam sebagai satu cara meningkatkan ketaqwaan kepada Allah swt. Malah Rasulallah saw pernah ditanya tentang siapakah orang yang paling bijak? Sabda baginda SAW yang bermaksud : “Orang yang paling bijak ialah orang yang sentiasa mengingati mati dan sentiasa bersedia menghadapinya”.

Mengingati mati dapat menyedarkan kita tujuan sebenar hidup di dunia sebagai tempat mencari bekalan di akhirat, iaitu hari selepas kiamat di mana semua manusia dibangkitkan semula bagi menerima pembalasan baik buruk yang dilakukan sepanjang kehidupan.
Ramai manusia takut dan mempercayai ramalan tarikh berlakunya kiamat. Namun mereka lupa pada kematian diri sendiri yang pasti akan belaku pada bila-bila masa sahaja. Firman Allah swt dalam surah al-Jumaah, ayat 8:

قُلْ إِنَّ الْمَوْتَ الَّذِي تَفِرُّونَ مِنْهُ فَإِنَّهُ مُلَاقِيكُمْ ۖ ثُمَّ تُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ – الجمعة : 8
Maksudnya: Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sebenarnya maut Yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah Yang mengetahui Segala Yang ghaib dan Yang nyata, lalu ia memberitahu kepada kamu apa Yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)".

Sepatutnya kita fikirkan kiamat diri kita, bukannya kiamat dunia. Kematian adalah sesuatu yang pasti. Bersiaplah dengan bekalan terbaik untuk kehidupan di akhirat nanti seperti melakukan amal kebaikan, bertaubat dan tidak melakukan maksiat. Beristiqamahlah dalam ketakwaan dan jauhkanlah diri daripada mempercayai perkara karut mengenai ramalan tarikh kiamat. Syaitan sentiasa berusaha menyesatkan manusia dengan memikirkan dan mempercayai perkara karut supaya kita lalai daripada melaksanakan tanggungjawab kepada Allah dan akhirnya bersama mereka di dalam neraka.

Firman Allah swt dalam surah Fathir, ayat 6 :

إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوًّا ۚ إِنَّمَا يَدْعُو حِزْبَهُ لِيَكُونُوا مِنْ أَصْحَابِ السَّعِيرِ – فاطر : 6
Maksudnya: “Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka Jadikanlah Dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya Dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka”.

Read More...
 

Pengikut