Jumaat, 1 Jun 2012
Jumaat, 01 Jun 2012 : Khatib Jumaat di Masjid Abu Bakar As-Sadiq telah disempurnakan oleh Ustaz Zulkipli bin Ahmad. Tajuk khutbah beliau berkaitan dengan golongan al-abrar dan al-fujjar (الأبرار دان الفجار).
Golongan al-abrar merupakan mereka yang melakukan kebaikan dengan mentaati segala perintah Allah SWT dan manakala golongan al-fujjar merupakan mereka yang sentiasa mendurhakai Allah SWT dengan melakukan maksiat serta mungkarat.
إن الأبرار لفي نعيم وإن الفجار لفي جحيم
"Sesungguhnya orang-orang abrar (baik) itu, bagi mereka syurga na'im dan orang-orang fujjar (jahat) itu, bagi mereka neraka jahim.
لَيْسَ الْبِرَّ أَنْ تُوَلُّوا وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ
وَالْمَغْرِبِ وَلَٰكِنَّ الْبِرَّ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ
وَالْمَلَائِكَةِ وَالْكِتَابِ وَالنَّبِيِّينَ وَآتَى الْمَالَ عَلَىٰ حُبِّهِ
ذَوِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ
وَالسَّائِلِينَ وَفِي الرِّقَابِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ
وَالْمُوفُونَ بِعَهْدِهِمْ إِذَا عَاهَدُوا ۖ وَالصَّابِرِينَ فِي
الْبَأْسَاءِ
وَالضَّرَّاءِ وَحِينَ الْبَأْسِ ۗ أُولَٰئِكَ الَّذِينَ صَدَقُوا ۖ وَأُولَٰئِكَ
هُمُ الْمُتَّقُونَ - البقرة : 177
“Bukanlah perkara kebajikan itu hanya
kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah
berimannya seseorang kepada Allah dan hari akhirat dan segala malaikat dan
segala Kitab dan sekalian Nabi dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang
dia menyayanginya, kepada kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang
miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan dan kepada orang-orang yang
meminta dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi dan mengerjanya seseorang akan
sembahyang serta mengeluarkan zakat dan perbuatan orang-orang yang
menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian dan ketabahan
orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan dan dalam masa kesakitan dan juga
dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian
sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan
kebajikan) dan mereka itulah juga orang-orang yang bertakwa”.
Khatib telah menjelaskan, bahawa bukanlah yang dikatakan orang yang baik itu hanya semata-mata mengadap ke arah Timur atau Barat sahaja. Sebenarnya mereka yang baik itu beriman kepada Allah dengan mendirikan Solat, mengasihi sesama Islam, tidak membuat pembohongan dengan memfitnah dan menzalimi sesama Islam.
Seseorang berjawatan tinggi seperti menteri, pegawai tinggi kerajaan, orang bawahan dan golongan rendah mertabat tidak akan jadi golongan abrar jika sekiranya mereka sentiasa melakukan dosa dan maksiat kepada Allah SWT. Mereka ini akan ditempatkan bersama golongan fujjar (jahat) di dalam neraka jahim.
Khatib juga mengajak para jamaah supaya menjadi golongan abrar (baik) dan jangan jadi golongan fujjar (jahat), agar ditempatkan oleh Allah bersama-sama orang-orang abrar (baik) di dalam syurga naim.
Jumaat, 11 Mei 2012
KHUTBAH JUMAAT OLEH USTAZ ZULKIPLI AHMAD
Ustaz Zulkipli Ahmad sedang menyampaikan khutbah jumaat di masjid Taman Intan |
الحمد
لله القائل :
قل
هل يستوى الذين يعلمون والذين لايعلمون إنما يتذكرأولواالألباب . أشهدأن لاإله
إلاالله وحده لاشريك له, وأشهد أن سيدنامحمدا عبده ورسوله. اللهم صل وسلم وبارك
على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah
Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan di akhirat.Mimbar pada hari ini akan membincangkan khutbah sempena menyambut Hari Guru pada setiap 16 Mei.
Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,
Sesungguhnya kecemerlangan hidup seseorang di dunia ini tidak dapat lari dari sumbangan dan pengorbanan orang lain sama ada ibu bapa, ahli keluarga, kaum kerabat, rakan-rakan, guru-guru dan sebagainya. Sumbangan dan pengorbanan tersebut sudah tentu tidak mampu dibalas, lebih-lebih lagi sumbangan para guru yang membimbing kita ke arah kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat.
Statistik pada masa ini menunjukkan bahawa bilangan guru ialah seramai 380,000 manakala bilangan anak-anak kita yang berada di alam persekolahan ialah seramai 5.4 juta orang. Lihat betapa besarnya tanggungjawab guru untuk membimbing dan mendidik anak-anak kita ini. Kerana itu, setiap tahun tanggal 16 Mei telah dipilih sebagai hari bersejarah untuk kita semua memperingati dan menghargai sumbangan para guru terutamanya dalam mendidik dan menjana tranformasi pendidikan bagi membina negara bangsa yang beriman, bertaqwa dan beramal soleh.
Sesungguhnya seorang guru adalah insan mulia kerana mereka telah diamanahkan untuk menyampaikan ilmu dan mentarbiah masyarakat, mereka diibaratkan seperti bintang di langit yang menjadi penunjuk jalan bagi menerangi kegelapan di darat dan lautan sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA :
إِنَّ مَثَلَ الْعُلَمَاءِ
فِى اْلأَرْضِ كَمَثَلِ النُّجُوْمِ يُهْتَدَى بِهَا فِى ظُلُمَاتِ الْبَرِّوَالْبَحْرِ
فَإَذَا انْطَمَسَتَ النُّجُوْمُ أَوْشَكَ أَنْ تَضِلَّ الْهُدَاةُ
Maksudnya: "Sesungguhnya perumpamaan orang-orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan sama ada di daratan mahupun di lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuan".
Sejarah ketamadunan Islam telah mencatatkan bahawa guru sebagai murabbi atau para ulama adalah golongan yang amat dihormati oleh masyarakat dan pemerintah. Bukan menjadi sesuatu yang menghairankan jika seorang khalifah sanggup berjalan ke rumah seorang ulama, semata-mata untuk menuntut ilmu dan duduk bersama dengan mereka. Diriwayatkan bahawa Imam Malik bin Anas pernah menolak tawaran untuk mengajar di Istana bahkan dengan tegas beliau mengatakan: Ilmu itu didatangi bukan mendatangi. Kisah Imam Malik yang merupakan contoh sebagai seorang murid yang menghormati guru. Jika ada sesuatu persoalan dikemukakan kepadanya, ia lebih suka merujuk kepada gurunya terlebih dahulu. Beliau pernah berkata: “Aku tidak mahu menjawab permasalahan ini sebelum aku bertanya terlebih dahulu kepada orang yang lebih alim daripadaku. Apakah pendapatku ini lebih bertepatan dengan kebenaran”. Lihatlah bertapa sikap merendah diri dan rasa hormat seorang Imam dan ulama terbilang seperti Imam Malik.
Begitu juga yang berlaku kepada Imam Shafie yang amat menghormati gurunya. Beliau pernah berkata: “Malik bin Anas adalah guruku. Seandainya tidak ada Imam Malik dan Ibnu Uyainah, maka hilanglah seluruh ilmu ulama-ulama negeri Hijaz ini. Saidina Ali RA juga pernah berkata “Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”. Demikian tinggi dan mulianya kedudukan guru serta dihormati sehingga Allah SWT berfirman dalam surah al-Mujadalah ayat 11:
يَا
أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قِيلَ لَكُمْ تَفَسَّحُوا فِي الْمَجَالِسِ
فَافْسَحُوا يَفْسَحِ اللَّهُ لَكُمْ ۖ وَإِذَا قِيلَ انْشُزُوا فَانْشُزُوا
يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ
دَرَجَاتٍ ۚ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
Maksudnya: “ Wahai orang yang beriman! Apabila kamu diminta memberi lapang dalam majlis, maka lapangkanlah, nescaya Allah akan melapangkan untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan orang yang beriman di antara kamu, dan juga orang yang diberi ilmu pengetahuan akan darjat. Dan Allah Maha Mengetahui tentang apa yang kamu lakukan.”
Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah
Dalam menjana tranformasi pendidikan tugas guru bukan hanya sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan tetapi ia juga berperanan sebagai murabbi untuk membentuk bangsa supaya menjadi insan yang beraqidah, beriman, bertaqwa, dinamik dan berkualiti di dunia dan di akhirat. Mereka berada di saf hadapan untuk membangun bangsa yang cemerlang yang akan menentukan sebuah negara yang maju, aman dan penduduknya beriman, bertaqwa serta dihormati. Maka, dalam merialisasikan harapan yang tinggi ini, guru terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan dugaan termasuk perubahan dalam sistem penyampaian dan maklumat agar selari dengan kehendak yang diperlukan oleh masyarakat bagi tujuan mencapai aspirasi negara. Juga guru septutnya menjadi model pendidik yang berkemahiran pelbagai ilmu, beriman, bertaqwa dan beramal soleh.
Walaubagaimana pun kejayaan dan keberkesanan pencapaian sistem pendidikan sebenarnya berkait rapat dengan kesedaran guru terhadap tanggungjawabnya, kelengkapan ilmunya dan keluhuran peribadinya. Kesepaduan antara peribadi dan kemahiran keilmuan adalah unsur penting membantu kearah kecemerlangan pendidikan. Bagi mencapai hasrat tersebut, tuntutan kepada ilmu pengetahuan yang berbentuk fardhu ain dan fardhu kifayah adalah amat diperlukan. Ianya hendaklah disepadukan agar kemajuan yang hendak dicapai itu dapat memenuhi tuntutan kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Amalan memisahkan antara pendidikan yang bercorak fardhu ain dan fardhu kifayah akan melahirkan sebuah masyarakat yang tempang sekaligus menggagalkan usaha membentuk modal Insan yang gemilang. Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 18:
شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ
لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا
بِالْقِسْطِ ۚ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
Maksudnya: “Allah menerangkan ( kepada sekelian makhluknya dengan dalil dan bukti ) bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan dia, yang sentiasa mentadbir seluruh alam dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu ( mengakui dan menegaskan juga yang demikian ) tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Dia Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.”
Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,
Anak bangsa yang berkualiti ianya haruslah bermula daripada orang yang mendidik mereka. Keupayaan ini mestilah di dokong bersama antara guru dan masyarakat terutama ibubapa. Jika tidak nescaya harapan negara ke arah melahirkan generasi modal insan kelas pertama yang berjiwa “Ulul Albab” akan sia-sia, seperti kata pepatah “berat sama dipikul ringan sama dijinjing ”. Firman Allah SWT dalam surah al- Maidah ayat 2:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى
الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ
وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan (kebaikan) dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana Allah sesungguhnya Maha Berat Azab siksanya (bagi sesiapa yang melanggar perintahnya)”.
Ibu bapa dan masyarakat hendaklah seiring dan bersama-sama dalam memacu pendidikan dengan menginstitusikan keluarga, masyarakat dan persekitaran sebagai sekolah. Disamping ibu bapa juga perlu mewujudkan suasana pembelajaran di rumah dan persekitaran dengan memberi perhatian yang serius terhadap kehidupan seharian anak-anak. Ibu bapa juga hendaklah peka terhadap perkara-perkara yang boleh merosakkan nilai dan jati diri anak-anak. Mimbar percaya hubungan baik antara ibu bapa dengan pihak guru amat penting agar usaha mengasuh dan mendidik anak-anak berjalan dengan lancar dan sempurna. Persatuan ibu bapa dan guru-guru seharusnya memainkan peranan dalam membina pendidikan anak-anak. Ibu bapa dan masyarakat juga perlu menjalin hubungan yang erat dan berterusan dengan pihak sekolah agar setiap permasalahan yang ditimbulkan oleh anak-anak dapat diselesaikan secara muhibah.
Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,
Mimbar menyeru semua pihak, selari dengan ajaran Islam dan sifat orang beriman yang bersyukur, marilah kita bersama-sama bertanggungjawab untuk membentuk tranformasi pendidikan dengan menyemai dan memupuk perpaduan, semangat patriotisme, menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran, serta membentuk akhlak dan jati diri bagi melahirkan anak bangsa yang cemerlang . Ingatlah bahawa tugas membina negara bangsa melalui pendidikan tidak akan selesai. Sebaliknya ia semakin mencabar selaras dengan kemajuan yang tidak terbatas pada masa kini.
Bersempena dengan Sambutan Hari Guru pada tahun ini, marilah kita memanjatkan doa kehadrat Allah SWT agar matlamat kita untuk melihat generasi akan datang yang memahami tanggungjawab dalam membina negara bangsa terlaksana dengan sempurna melalui pendidikan berkualiti yang disampaikan oleh para guru sebagai pemacu tranformasi pendidikan. Marilah sama-sama kita mendokong usaha yang murni ini, mudah-mudahan segala usaha kita akan diberkati oleh Allah SWT. Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah kita merenung firman Allah SWT dalam surah az-Zumar ayat 9:
أَمَّنْ هُوَ قَانِتٌ
آنَاءَ اللَّيْلِ سَاجِدًا وَقَائِمًا يَحْذَرُ الْآخِرَةَ وَيَرْجُو رَحْمَةَ
رَبِّهِ ۗ قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ
ۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الْأَلْبَابِ
Maksudnya: “Apakah orang yang taat beribadat diwaktu malam dengan sujud dan berdiri, ia takutkan azab hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya, sama dengan orang musyrik? Katakanlah: Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil peringatan hanyalah orang yang berakal”.
Read More...Jumaat, 6 April 2012
Khutbah Jumaat di Masjid Taman Intan 6 April 2012
Hakikat Qiamat
Oleh:
Syeikh Mohd Haizan
Pegawai Agama Daerah Sik
الحمدلله القائل :
الذى خلق الموت والحياة ليبلوكم أيكم أحسن عملا وهوالعزيز
الغفور
أشهدأن لاإله
إلاالله وحده لاشريك له, وأشهد أن سيدنامحمدا عبده ورسوله. اللهم صل وسلم وبارك على
سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
Muslimin yang di Rahmati
Allah,
Di kesempatan berada pada hari Jumaat dan di atas
mimbar masjid yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang
Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah
SWT dengan bersungguh-sungguh
melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita
memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan
di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “Hakikat Qiamat”.
Fiman Allah swt di dalam surah
Ali Imran, ayat 185:
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ
الْقِيَامَةِ ۖ فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ
ۗ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ – آل عمران : 18
Maksudnya:
“Tiap-tiap Yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat
sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. ketika itu sesiapa Yang dijauhkan
dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka Sesungguhnya ia telah berjaya. dan
(ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi Segala kemewahannya dan
pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang
terpedaya”.
Sidang
Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Setiap orang Islam wajib percaya serta yakin kepada
Hari Kiamat kerana ia adalah merupakan salah satu daripada rukun Iman. Namun
persoalannya, bagaimanakah sepatutnya hakikat Hari Kiamat yang wajib diyakini
oleh seorang Islam. Saya sengaja memilih tajuk ini sebagai khutbah pada hari
yang mulia ini kerana pada zaman sekarang wujudnya terlalu banyak golongan yang
memperbesarkan isu ini untuk kepentingan sendiri.
Masih ramai golongan yang mensensasikan mengenai kiamat
atau pengakhiran dunia yang diramalkan berlaku pada 12 Disember 2012 seperti
dihujahkan pelbagai pihak kerana kononnya ada bukti menjurus kepada kepercayaan
tersebut. Bahkan, media massa pun turut sama memainkan peranan negatif,
contohnya dengan turut menyiarkan iklan satu
jenama shampoo yang menggunakan isu ini. Lebih malang lagi apabila wujudnya
hadis palsu yang disiarkan melalui internet sehinggakan ada umat Islam yang
terpedaya dan turut sama menyebarkannya. Kita patut bimbang bahawa kepercayaan
membuta tuli sebegini akan menyebabkan rosaknya aqidah seseorang muslim.
Sidang
Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Biarpun orang Islam wajib mempercayai adanya Hari
Kiamat, tetapi Allah swt tidak menjelaskan bilakah tarikh berlakunya.
Pertanyaan bilakah berlakunya kiamat telah diajukan kepada Rasulallah saw. dan
Allah swt telah menjawab melalui firmannya dalam surah Al A’raf, ayat 187:
يَسْأَلُونَكَ عَنِ السَّاعَةِ أَيَّانَ مُرْسَاهَا ۖ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا
عِنْدَ رَبِّي ۖ لَا يُجَلِّيهَا لِوَقْتِهَا إِلَّا هُوَ ۚ ثَقُلَتْ فِي
السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۚ لَا تَأْتِيكُمْ إِلَّا بَغْتَةً ۗ يَسْأَلُونَكَ
كَأَنَّكَ حَفِيٌّ عَنْهَا ۖ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِنْدَ اللَّهِ وَلَٰكِنَّ
أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ – الأعراف : 187
Maksudnya:
mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) tentang hari kiamat:
"Bilakah masa datangnya?" katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan
mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun Yang dapat
menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan dia. (huru-hara) hari kiamat
itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk Yang ada) di langit dan di
bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut". mereka
bertanya kepadamu seolah-olah Engkau sedia mengetahuinya. katakanlah:
"Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah,
tetapi kebanyakan manusia tidak Mengetahui".
Bahkan malaikat Israfil
yang bertugas meniup sangkakala tanda tibanya kiamat pun tidak mengetahuinya.
Beliau hanya sentiasa bersiap sedia menungga arahan daripada Allah swt untuk menjalankan tugasnya sebagai peniup
sangkakala. Sabda Rasulallah saw yang bermaksud:
“Bagaimana
boleh aku berasa tenteram dan tenang, sementara Malaikat Israfil telah
meletakkan trumpet ke dalam mulutnya, menumpukan perhatian dan memusatkan
pendengarannya sambil menunggu perintah untuk meniupnya.” (riwayat Tirmizi)
Jadi, bagaimana mungkin kita boleh menerima
bahawa tarikh kiamat mampu diramalkan oleh pihak tertentu. Tambahan pula jika
kita ingat kembali satu ketika dahulu sekitar tahun 80 an pernah pihak tertentu
meramalkan kiamat akan berlaku apabila dijangka akan berlaku perlanggaran bumi
dengan komet Haley. Terbukti ramalan tersebut adalah meleset dan tidak benar
sama sekali.
Tuan-tuan
yang dirahmati Allah sekalian,
Kita sebagai umat Islam
tidak boleh memandang ringan terhadap perkara begini. Jika momokan atau dakyah
mengenai tarikh berlakunya kiamat terus diperkatakan dan disensasikan, mungkin
umat Islam terutama yang kurang mantap asas serta kefahaman Islam akan
terpengaruh mengenai kepercayaan tersebut dan seterusnya menyebabkan akidah
mereka tercemar atau rosak. Rosaknya akidah Islam seseorang adalah satu isu
yang besar dan boleh menjerumuskan diri ke dalam neraka Allah swt.
Golongan yang membuat
ramalan hari kiamat itu sebenarnya mempunyai kepentingan serta motif tertentu.
Bahkan pada hakikatnya apa dilakukan oleh mereka turut memberi saham kemenangan
kepada syaitan untuk menyesatkan manusia.
Ada pihak mengatakan
apabila mengetahui bila akan berlakunya kiamat, maka orang akan berlumba-lumba
melakukan ibadat dan meninggalkan urusan yang sia-sia. Persoalannya, perlukah
kita jadikan kiamat sebagai satu bentuk dorongan atau motivasi untuk melakukan
ibadat? Kita lupa bahawa kiamat
sebenarnya berlaku setiap hari kepada mereka yang meninggal dunia. Ketika itu
terputuslah segala peluang untuk melakukan ibadat bagi bekalan hidup di
akhirat.
Mengingati kematian memang
dituntut dalam Islam sebagai satu cara meningkatkan ketaqwaan kepada Allah swt.
Malah Rasulallah saw pernah ditanya tentang siapakah orang yang paling bijak?
Sabda baginda SAW yang bermaksud : “Orang
yang paling bijak ialah orang yang sentiasa mengingati mati dan sentiasa
bersedia menghadapinya”.
Mengingati mati dapat
menyedarkan kita tujuan sebenar hidup di dunia sebagai tempat mencari bekalan
di akhirat, iaitu hari selepas kiamat di mana semua manusia dibangkitkan semula
bagi menerima pembalasan baik buruk yang dilakukan sepanjang kehidupan.
Ramai manusia takut dan mempercayai
ramalan tarikh berlakunya kiamat. Namun mereka lupa pada kematian diri sendiri
yang pasti akan belaku pada bila-bila masa sahaja. Firman Allah swt dalam surah
al-Jumaah, ayat 8:
قُلْ إِنَّ الْمَوْتَ الَّذِي
تَفِرُّونَ مِنْهُ فَإِنَّهُ مُلَاقِيكُمْ ۖ ثُمَّ تُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ
وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ – الجمعة : 8
Maksudnya: Katakanlah (Wahai Muhammad):
"Sebenarnya maut Yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia
akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah Yang mengetahui
Segala Yang ghaib dan Yang nyata, lalu ia memberitahu kepada kamu apa Yang kamu
telah lakukan (serta membalasnya)".
Sepatutnya kita fikirkan
kiamat diri kita, bukannya kiamat dunia. Kematian adalah sesuatu yang pasti.
Bersiaplah dengan bekalan terbaik untuk kehidupan di akhirat nanti seperti
melakukan amal kebaikan, bertaubat dan tidak melakukan maksiat. Beristiqamahlah
dalam ketakwaan dan jauhkanlah diri daripada mempercayai perkara karut mengenai
ramalan tarikh kiamat. Syaitan sentiasa berusaha menyesatkan manusia dengan
memikirkan dan mempercayai perkara karut supaya kita lalai daripada melaksanakan
tanggungjawab kepada Allah dan akhirnya bersama mereka di dalam neraka.
Firman Allah swt dalam
surah Fathir, ayat 6 :
إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمْ
عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوًّا ۚ إِنَّمَا يَدْعُو حِزْبَهُ لِيَكُونُوا مِنْ
أَصْحَابِ السَّعِيرِ – فاطر : 6
Maksudnya: “Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu,
maka Jadikanlah Dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya Dia
hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka”.
Langgan:
Catatan (Atom)