LANDAS

Chicklet Chooser

Add to Google Reader or Homepage

FeedBurner FeedCount

Cari Blog Ini

Sabtu, 22 November 2008

MASYARAKAT ISLAM PERLU PEKA TIDAK PEKAK DENGAN ISU GEJALA SOSIAL

MASYARAKAT PERLU PEKA TIDAK PEKAK ISU GEJALA SOSIAL

MASYARAKAT PERLU PEKA TIDAK PEKAK KEPADA PERMASALAHAN GEJALA SOSIAL

Atas kesedaran beberapa individu yang komited untuk menangani masalah ini, satu urusetia telah ditubuhkan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman dibawah kelolaan Exco Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan Kebudayaan. Gerak kerja mengangani gejala sosial secara teratur dan intensif ini telah pun bermula sejak bulan Januari 2008 diatas kapasiti sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang dinamakan RAUDHAH (Rumah Upayadaya Dan Harapan Ar-Rahman). Kini, setelah hasil kerja RAUDHAH sedikit sebanyak membuahkan hasil, kami diberi kepercayaan oleh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman dibawah kelolaan exco yang berkenaan untuk beroperasi sebagai badan rasmi Kerajaan Negeri yang memfokuskan kepada isu ini. Dengan ini, satu urusetia telah ditubuhkan dengan nama Urusetia Menangani Gejala Sosial Negeri Kedah. Kami sangat berharap agar kerja-kerja kemasyarakatan ini tidak hanya dipertanggungjawabkan kepada pihak kerajaan dan NGO sahaja. Kerja-kerja menangani gejala sosial ini seharusnya didokong juga oleh pihak-pihak korporat sabagai salah satu tanggungjawab sosial yang mesti dipenuhi.

Merujuk kepada program Latihan Aktivis Dakwah Dalam Isu-isu Sosial (LANDAS) yang sedang giat dilaksanakan di Sungai Petani, Urusetia Menangani Gejala Sosial Negeri Kedah mendapati masyarakat Malaysia umumnya masih lagi tidak peka terhadap permasalan sosial yang berlaku di sekeliling mereka. Sikap ‘tidak mahu menjaga tepi kain orang’ telah disalah tafsirkan sebagai tidak mahu ambil tahu permasalahan masyarakat.

Latihan Aktivis Dalam Isu-isu Sosial (LANDAS) telah pun dimulakan sejak Februari 2008 oleh RAUDHAH di Bandar Sungai Petani yang dijadikan bandar model yang mana modul untuk program ini sedang dibangunkan dan diperkemaskan dari semasa ke samasa. Apabila modul ini telah berjaya dilaksanakan di Bandar Sungai Petani, ia akan diperkembangkan ke bandar-bandar yang lain. Setelah Urusetia Menangani Gejala Sosial Negeri Kedah ditubuhkan, LANDAS 5 dilaksanakan dibawah Urusetia ini, dan program LANDAS Generasi ke II digerakkan di Alor Setar dan sedang diperkembangkan di Langkawi, untuk Genersi ke III. LANDAS adalah satu program untuk melatih para aktivis agar dapat memahami dengan lebih mendalam isu-isu gejala sosial di negara ini dengan turun sendiri ke lapangan untuk bergaul dengan mereka yang terjebak dan tersasar dalam masalah ini dan cuba memahami punca mereka terjebak ke dalam kancah gejala kuning ini.

Selain daripada itu, LANDAS dapat menjadi sebuah landasan kajian sosial untuk menghasilkan sebuah panduan bersifat akademik yang menekankan kronologi penularan gejala ini ke dalam sesebuah masyarakat dan juga kronologi penglibatan individu kekancah kemaksiatan ini. Dengan ini, LANDAS dapat menyedia dan mengupayakan aktivis lapangan untuk bergerak secara aktif membenteras dan memulih gejala sosial yang berlaku dikalangan kelompok remaja dan belia masa kini. Dengan lahirnya golongan penggerak yang aktif dalam isu sosial masyarakat, ini akan mewujudkan beberapa kawasan yang bebas daripada gejala sosial di kalangan komuniti remaja dan belia.

Pada asasnya, permasalah sosial yang berlaku di Sg Petani. Gejala sosial yang berlaku dapat dilihat melalui dua perspektif iaitu perspektif mikro dan perspektif makro. Perspektif mikro adalah masalah yang berpunca daripada isu-isu kekeluargaan seperti keluarga yang berpecah belah, masyarakat yang tidak lagi prihatin terhadap orang lain dan hilang rasa malu dalam diri muda-mudi akibat terpengaruh dengan budaya barat. Perspektif makro pula adalah isu-isu pembangunan yang tidak terancang dan merosakkan struktur sosial masyarakat, dasar negara yang tidak mengawal penyebaran hiburan yang melampau dan penguatkuasa yang tidak menjalankan tugas dengan rasa tanggungjawab sosial tetapi hanya manjalankan tugas atas dasar makan gaji.

Punca permasalahan sosial ini mesti dikaji ke peringkat akar umbi untuk kita memahami masalah sebenar. Diantara akar umbi permasalahan yang dapat kami kenal pasti adalah:

  1. Golongan-golongan yang bermasalah ini sebenarnya boleh dikatagorikan sebagai golongan Mustadh’afin atau yang tertindas kerana mereka didesak oleh sistem sosial yang tidak betul yang menyebabkan mereka dinafikan hak untuk hidup lebih selesa dan mendapat pendidikan yang lebih sempurna. Sistem ekonomi kapitalis yang sangat liberal membenarkan sekelompok manusia mengawal sistem ekonomi untuk mengumpul kekayaan (monopoli).
  1. Shoping kompleks dan tempat-tempat seumpamanya yang menyediakan tempat melepak sambil berhibur menjadi tempat membiaknya gejala sosial ini. Tempat-tempat seperti ini dibina atas dorongan mahu mencari untung oleh golongan-golongan tertentu yang sanggup menggadaikan maruah bangsa dan negara semata-mata kerana ringgit. Disinilah semua pengamal-pengamal gejala sosial yang bermacam-macam jenis itu berkumpul dan bertukar-tukar fikiran untuk menghasilkan satu ‘Budaya Syaitan’ yang lebih tulen sehingga timbulnya fahaman-fahaman syaitan seperti Jangan Ikut Tuhan (JIT) dan Black Metal. Bukan setakat itu sahaja, tempat-tempat hiburan seperti ini juga menjadi tempat mereka mengkader orang lain untuk jadi seperti mereka.
  1. Budaya bangsa timur yang pemalu telah terhakis kerana terpengaruh dengan budaya barat yang liberal dan sangat bebas. Keadaan ini menghasilkan satu fenomena dimana mungkar itu menjadi sebuah norma masyarakat yang dianggap biasa dan tidak mencacatkan. Apa yang sangat merunsingkan adalah apabila sesuatu kemungkaran itu menjadi aliran yang dapat diterima sebagai sesuatu nilai yang dirasionalkan dan juga sebagai suatu perkembangan yang neutral.
  1. Media memainkan peranan penting dalam penyebaran kesesatan. Filem-filem Hollywood dan Bollywood yang mempromosikan gaya hidup bebas, boros, dan sekular menjadi senjata yang paling ampuh untuk menyesatkan umat Islam. Ditambah pula dengan bahan-bahan cetak pisican yang berbentuk hiburan dan lucah yang berlambak-lambak dipasaran dengan harga yang murah. Pendidikan seks yang diajar dalam majalah-majalah yang mudah didapati dikedai-kedai tanpa pendekatan agama hanya akan menggalakan remaja ingin mencuba melakukan seks.

Terdapat satu jurang interaksi yang sangat besar antara golongan pendakwah yang dihinggapi penyakit ”alwahn” (الوهن) dan golongan berpenyakit sosial yang menyebabkan dakwah yang diwarwarkan jarang sekali sampai kepada golongan paling bawah dan terpinggir ini. Golongan-golongan pendakwah jarang-jarang sekali mendekati golongan ini dan berdakwah secara terus kepada mereka. Mereka sebenarnya sangat memerlukan kaunseling keagamaan dan kasih sayang masyarakat. Kebanyakan golongan pendakwah beraksi di zon selesa seperti di masjid, surau dan di dalam dewan seminar.

Sebagai salah satu langkah penyelesaian, Pihak Urusetia bercadang untuk mewujudkan sebuah pusat aktiviti untuk remaja yang menawarkan aktiviti-aktiviti menarik dan sihat kepada para remaja sebagai altenatif kepada aktiviti-aktiviti kurang sihat yang membelenggu remaja pada hari ini. Diharapkan dengan terbinanya pusat ini, pusat ini dapat menjadi tempat baru untuk remaja ‘melepak’ dan melakukan aktiviti yang menyeronokkan lagi sihat. Antara aktiviti dan kemudahan yang dirancang untuk disediakan disini adalah alatan ‘indoor games’ seperti catur, carom, dart, dam, snooker dan ping pong. Kemudahan lain yang dirancang adalah bilik komputer, bilik bacaan, bilik perbincangan, dapur untuk aktiviti masakan, dan peralatan sukan yang lain seperti badminton, bola sepak dan sepak takraw.

Oleh itu, kami berpendapat penglibatan daripada pihak korporat adalah sangat diperlukan malahan adalah menjadi tanggungjawab pihak korporat untuk sama-sama terlibat dalam program kemasyarakatan seperti ini. Pihak korporat tidak seharusnya hanya mengaut keuntungan daripada masyarakat tetapi juga memberi pulangan kepada masyarakat dalam bentuk yang pelbagai. Pihak Urusetia menawarkan kerjasama kepada pihak korporat yang mahu sama-sama terlibat membantu masyarakat dengan menerima apa-apa bentuk tajaan untuk membolehkan sebuah bangunan lama yang telah diberikan oleh pihak kerajaan khususnya Majlis Daerah Kuala Muda di Sungai Petani kepada kami dapat diubahsuai menjadi Pusat Operasi dan Latihan.

Pihak Urusetia LANDAS juga sedang melatih sukarelawan yang komited untuk beroperasi di dua kawasan terpilih iaitu; Flat Paya Nahu Sungai Petani dan Kawasan Tanjung Dawai untuk dijadikan lokasi model pemulihan bersepadu. Pihak Urusetia juga sedang berusaha untuk mengwujudkan pejabat urusetia penyelaras program pemulihan dan pemutihan. Kunjung ziarah rumah ke rumah akan dilakukan oleh kumpulan aktivis dakwah lapangan yang telah dilatih kemahiran berkomunikasi dan berintraksi dengan masyarakat akan dilakukan.

Ustaz Kamaruddin Kassim
Penyelaras Urusetia Menangani Gejala Sosial
Kerajaan Negeri Kedah.
Read More...

Pendekatan dan Strategi Pencegahan Gejala Sosial Masyarakat

Pendekatan dan Strategi Pencegahan Gejala Sosial Masyarakat

Pendahuluan.

Sebelum sebarang langkah untuk merumuskan pendekatan dan pencegahan yang berkesan dalam menyantuni masyarakat khususnya golongan belia dan remaja, kepimpinan masjid dan surau harus meneliti kedudukan mereka secara mendalam serta situasi mereka yang sedia ada. Beberapa pengamatan dapat dinyatakan dalam hal ini iaitu;

1. Wujudnya tanggapan bahawa masjid dan surau hanya sesuai untuk orang-orang tua.

2. Struktur kepimpinan masjid dan surau tidak memberi ruang peluang penyertaan belia dan remaja secara langsung dalam pembangunan masjid dan surau.

3. Masjid dan surau tidak dikembangkan untuk memberi perhatian kepada permasalahan belia dan remaja.

4. Kegiatan masjid dan surau dan sangat cenderung kepada memenuhi keperluan orang-orang dewasa dan tua sahaja.

5. Belia dan remaja tidak terbimbing dalam aktiviti yang sesuai untuk mendekatkan diri mereka kepada masjid dan surau.

Dalam analisis khidmat tersebut umumnya masjid dan surau tidak mengembangkan aktivitinya untuk melihat persoalan-persoalan masyarakat dengan lebih luas seperti:

1. Pendidikan kekeluargaan.

2. Pembangunan belia dan remaja.

3. Pegurusan kebajikan golongan tidak bernasib baik.

4. Kecemerlangan persekolahan anak-anak.

5. Masalah-masalah keruntuhan akhlak di kalangan masyarakat.

6. Pembangunan rakyat termiskin.

7. Kemudahan membaca.

8. Pengukuhan ekonomi anak kariah.

9. Peningkatan kualiti dan taraf hidup anak kariah.

10. Pengindahan kawasan kariah.

11. Pendidikan dewasa.

12. Pusat pendidikan kanak-kanak.

13. Pendidikan kaum wanita.

14. Khidmat kaunseling remaja.

15. Pembangunan kesihatan anak kariah.

16. Bimbingan kerjaya belia.

17. Pembangunan sumber tempatan.

18. Khidmat penyebaran maklumat semasa.

19. Khidmat pusat musyawarah anak kariah

20. Khidmat bantuan perbelanjaan persekolahan

21. Khidmat pusat pembangunan kepimpinan masyarakat

22. Khidmat penyelesaian konflik komuniti

23. Khidmat nasihat persediaan perkahwinan

24. Khidmat pusat bantuan kecemasan

25. Khidmat membangun organisasi masyarakat setempat.

26. Pusat kaunseling pekerja industri.

Semua aspek tersebut adalah bidang dan medan kerja masjid dan surau yang boleh benar-benar menjadikan masjid sebagai Pusat Pembangunan dan Kemajuan Masyarakat yang sebenar.

Persoalan-persoalan dan masalah-masalah yang kini sedang berlaku di dalam masyarakat memerlukan perubahan paradigma yang besar dalam gerakkerja masjid dan surau. Hanya melalui keperihatinan dari masjid dan surau sahajalah akan menempatkan fungsi masjid ditengah-tengah hati nuraini komuniti lingkungannya. Keperihatinan masjid dan surau terhadap keperluan komuniti sekitarnyalah akan menambat masyarakat untuk mendampingi masjid dan surau dalam semua ehwal kehidupan mereka.

Dari pengamatan di atas natijah yang berlaku ialah kelompok belia dan remaja kian menjarak dari masjid dan surau. Dengan demikian, keberkaitan hidup anak muda dengan masjid dan surau tidak berlaku dan pembinaan tidak dapat dilaksanakan secara berkesan. Akhirnya mereka akan terlibat dan terjebak dalam aktiviti-aktiviti maksiat dan munkarat.

Pihak Prihatin Malaysia meneliti fenomena ini dengan insaf bahawa suatu pendekatan yang berkesan perlu dirumus dan diimplementasikan. Namun begitu beberapa prasyarakat perlu dipenuhi sebagai upaya untuk memastikan pendekatan yang diambil akan berkesan;

  1. Keterbukaan Kepimpinan Masjid dan Surau.

Iaitu perlu ada keterbukaan yang membenarkan serta memberi keyakinan kepada belia dan remaja bahawa penglibatan mereka amat perlu dan penting. Keterbukaan ini akan membenarkan belia dan remaja diberi peluang turut serta dalam merancang serta melaksanakan aktiviti yang sesuai dan berciri ‘kebeliaan’ dan ‘kepemudaan’.

  1. Melibatkan belia dan remaja dalam struktur jawatankuasa kariah.

Jawatankuasa kariah perlu menyemak kemungkinan untuk memastikan penyertaan belia dan remaja secara formal dalam menentukan ‘kerusi’ kepada belia dan remaja dalam jawatankuasa kariah perlu didahulukan sebagai laluan untuk menarik minat kehadiran dan penyertaan mereka.

  1. Aktiviti masjid dan surau perlu mewujudkan hubungan dengan belia.

Kehadiran belia dan remaja akan hanya terjamin jika aktiviti yang dilaksanakan ‘berkait’, ‘berkenaan’ dan ‘bersesuaian’ dengan keperluan belia dan remaja. Justeru itu, pihak masjid dan surau perlu menggiatkan aktiviti yang secocok dan cukup merangsang minat mereka.

PENDEKATAN

Pendekatan masjid dan surau untuk menjangkau kelompok belia dan remaja sememangnya tidak mudah. Kesedaran dan komitmen dari pimpinan masjid dan surau perlu dicetuskan secara tulen untuk menghulurkan tangan kasih serta ‘harapan keyakinan’ bahawa anak-anak muda memang boleh dididik. Sesungguhnya kita perlu membuktikan dedikasi masa, tenaga dan upaya kita untuk membangunkan mereka.

Bagaimanapun pendekatan kita tetap diterjemahkan berdasarkan beberapa asas hubungan kita dengan mereka iaitu;

1. Hubungan Nasihat.

Kelompok belia dan remaja perlu diberikan dengan nasihat-nasihat yang ‘bernas’, ‘tepat’ dan ‘padat’. Apa yang perlu dielakkan ialah leteran yang boleh menimbulkan kebosanan. Pemimpin masjid dan surau harus membina hubungan nasihat dengan kelompok belia dan remaja ini agar mereka tidak jemu datang ke masjid dan surau.

2. Hubungan Teladan.

Hubungan teladan ini menjadi penentu kepada kepercayaan belia terhadap kepimpinan masjid dan surau. Tingkahlaku, percakapan, pengurusan, disiplin, kejujuran dan kesungguhan pemimpin masjid dan surau akan terus menjadi perhatian anak muda. Ketelusan keperibadian pemimpin masjid dan surau sering dituntut agar menyakinkan anak muda untuk turut serta dalam kegiatan-kegiatan masjid dan surau.

3. Hubungan Kasih Sayang.

Masjid dan surau harus dirasakan sebagai ‘ibu’ kepada masyarakat amnya dan anak muda khususnya. Hubungan yang membina perasaan kasih bukan benci, sayang bukan herdik, lembut bukan kasar, membelai bukan mengutuk dan memujuk bukan menyerang, perlu disuburkan antara belia dan remaja dengan masjid dan surau.

4. Hubungan Membimbing.

Masjid dan surau harus dirasakan sebagai pusat kaunseling yang berkesan bagi menyantuni alam kebeliaan dan keremajaan. Membimbing dengan aktiviti yang melengkapkan diri mereka dengan wawasan dan gagasan hidup yang tertib dan teratur akan lebih menambat hati nuraini mereka dengan masjid dan surau.

Berasaskan hubungan-hubungan ini, pendekatan berikut dicadangkan untuk digunapakai;

  1. Bina Keilmuan Belia dan Remaja

Keilmuan amat asasi dalam pembinaan kelompok belia dan remaja. Penekanan yang wajar kepada kegiatan-kegiatan belia dan remaja yang berteraskan kefahaman dan penghayatan ilmu-ilmu Islam adalah pendekatan yang perlu diutamakan.

Dalam hal ini, penekanan ilmu agama yang asas bagi melengkapkan belia dan remaja dengan pengetahuan fardhu ain adalah penting dengan tidak pula mengabaikan kelilmuan mereka mengenai hal-hal fardu kifayah.

  1. Bina Keperibadian Belia.

Masjid dan surau setepatnya berperanan untuk membina sahsiah yang luhur di dalam masyarakat. Kekuatan sahsiah adalah benteng bagi menangkis krisis moral yang menggejala di kalangan masyarakat masa kini.

Dengan yang demikian, pendekatan membina keperibadian belia dan remaja juga merupakan teras dalam menjayakan pembangunan masjid dan surau. Belia dan remaja yang dibangunkan kemurnian akhlaknya akan menjadi harapan kepada perkembangan masyarakat yang berpedoman, murni dan harmonis.

Isi pembinaan sahsiah juga harus menjurus kepada;

1. Pembentukan matlamat hidup.

2. Penegasan harga hidup.

3. Penekanan kesucian hidup.

  1. Bina Kepimpinan Belia dan Remaja.

Aspek kepimpinan adalah kemuncak pembinaan yang perlu dicapai oleh masjid dalam menggerakkan kelompok belia dan remaja.

Pembinaan kepimpinan belia dan remaja memerlukan kebijaksanaan yang tepat dari pendokong masjid dan surau agar tidak berlaku kepincangan dan kebuntuan dalam membangun pelapis.

Masjid dan surau perlu membuat tapisan yang tepat agar dapat mewujudkan kelompok terpilih dari kalangan belia dan remaja bagi menjalani latihan yang ada kaitan dengan kefahaman, kemahiran dan kecekapan kepimpinan. Yang demikian hal ehwal pengurusan masjid dan surau perlu dijadikan sukatan latihan untuk belia dan remaja, disamping aspek lain termasuk penyampaian khutbah, memimpin majlis, merancang aktiviti serta mengendalikan urusan kewangan masjid.

KEMAHIRAN

Kemahiran untuk mengandalikan organisasi masjid dan surau adalah kecekapan dalam merancang, mengimplementasi, memantau dan menggerakkan susulan untuk mencapai keberkesanan maksima ketika menggerak sebarang tugas yang dilaksanakan untuk menghasilkan impak yang dihajati oleh organisasi masjid dan surau untuk memberi khidmat kepada masyarakat.

KEMAHIRAN melibatkan:

· Ketelitian.

· Keterperincian.

· Kerapian.

· Kekemasan.

· Ketekunan.

· Kecemerlangan.

KEMAHIRAN adalah berasaskan:

· Keilmuan.

· Informasi terkini.

· Teknologi berkesan.

· Pertimbangan dan perhitungan yang teliti.


PENUTUP

Pendektan yang berkesan hanya dapat direalisasikan melalui kesungguhan dan kerapian pihak jawatankuasa masjid dan surau. Pembangunan belia dan remaja adalah rukun kepada kesinambungan budaya dan tamadun masyarakat yang hendak dibina. Matlamat tetap sama, walaupun kaedah dan pendekatan mungkin berlaian antara satu sama kariah yang lain.


Disediakan Oleh:
Ustaz Kamaruddin bin Kassim
KOODINATOR URUSETIA MENANGANI GEJALA SOSIAL NEGERI KEDAH

E-mail : urusetialandas@yahoo.com / kama54us@yahoo.com Read More...

Islam, Jantina dan Seks

Islam, Jantina dan Seks

Oleh `Izzat Anwari bin Hasni

Pengharaman budaya tomboi dan pengkid oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan kali ke-83 di Kota Bharu pada 24 Oktober 2008 baru-baru ini mendapat kritikan pedas daripada beberapa golongan masyarakat dan kumpulan badan bukan kerajaan (NGO). Malah, lebih memilukan lagi, golongan ‘pengkid Islam’ menjawab isu ini dengan keilmuan yang cetek serta tidak beradab di dalam satu temubual akhbar Harian Metro.

Situasi ini menggambarkan kepada semua umat Islam di Malaysia khususnya, bahawa pengamalan cara hidup Islam yang menyeluruh seolah-olah dianggap sebagai taboo. Kesan sebegini timbul akibat sikap serta pemikiran kebanyakan umat Islam di Malaysia yang sudah dijangkiti sekularisasi dan liberalisasi aqidah hasil daripada usaha golongan Islam Liberal.

Demonstrasi yang dibuat oleh Katagender dan Food-Not-Bombs boleh dilihat sebagai satu kesilapan umat Islam dalam menyampaikan kefahaman Islam yang sebenar kepada golongan bukan Islam terhadap institusi Islam di negara ini. Demonstrasi yang dilihat seakan-akan membela kaum pengkid ini sebenarnya berasaskan penafian sistem Islam yang diguna pakai dalam Perlembagaan Persekutuan.

Lebih menggetarkan lagi apabila penafian ini dilakukan di khalayak ramai seolah-olah mencabar status Majlis Fatwa Kebangsaan secara terbuka.

Aqidah Islam

Islam datang dengan penurunan al-Qur’ān serta dijelaskan melalui al-Sunnah. Malah, pentafsiran hukum-hakam di dalam al-Qur’ān serta al-Sunnah bukannya boleh dibuat secara membuta tuli.

Kemahiran dalam bahasa Arab terutama dalam loghat dan faham Bani Quraisy, kefahaman tentang sebab-sebab penurunan ayat-ayat al-Qur’ān (asbab al-nuzul), hadith-hadith yang menerangkan maksud ayat-ayat al-Qur’ān yang tertentu, pengguguran hukum tertentu dalam al-Qur’ān setelah turunnya ayat hukum yang lain, pemahaman terhadap sistem sosial serta amalan tertentu masyarakat Arab ketika al-Qur’ān diturunkan, semua ini menunjukkan kepada kita bahawa bukan calang-calang keilmuan serta kefahaman yang diperlukan oleh alim ulama’ dalam mentafsir al-Qur’ān dan al-Sunnah.

Pentafsiran ini penting buat semua umat manusia sebagai kompas petunjuk jalan kehidupan di dunia menuju kehidupan kekal di Akhirat kelak. Namun, hanya alim ulama’ yang benar-benar pakar dalam bidang ini yang boleh mengeluarkan hukum (istinbat) menurut adab-adab ilmu yang tertentu disamping berbincang (muzakarah) sebelum menyatakan fatwa-fatwa tertentu ke atas sesuatu perkara.

Atas dasar keilmuan inilah Islam berkembang dan dapat diterima pakai secara menyeluruh di mana-mana negara di dunia pada bila-bila masa. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda di dalam sebuah hadith, “sesungguhnya para alim ulama’ itu adalah pewaris para Nabi”.

Para alim ulama’ pakar dalam bidang keagamaan, maka sudah tentu mereka sedar dan faham setiap perkara yang ingin mereka ketengahkan. Tetapi masih ada masyarakat yang cetek pemikiran melawan golongan alim ulama’ ini secara terbuka seolah-olah mereka lebih arif tentang ilmu agama.

Sejarah Mungkin Berulang

Allah s.w.t. secara terang lagi nyata menceritakan perihal golongan homoseksual (seks sesama jantina) di dalam al-Qur’ān melalui kisah kaum Nabi Lut dalam surah al-Shu‘arā’, surah ke-26 ayat ke-160 hingga 175. Kaum yang engkar dengan ayat-ayat Allah s.w.t. ini diberikan hukuman bencana[1] iaitu diterbalikkan tanah tempat tinggal mereka ke dalam perut bumi hanya setelah mereka menafikan maksiat homoseksual selepas berkali-kali dinasihatkan oleh Nabi Lut supaya bertaubat dan kembali kepada ajaran Allah s.w.t. yang benar.

Ini menunjukkan kepada kita bahawa usaha membanteras gejala sebegini wajib dilakukan bagi mencapai hidup yang diredhai-Nya. Jika usaha membanteras dan membaikpulih masyarakat yang rosak langsung tidak dibuat, Allah s.w.t. akan menghukum kaum tersebut dengan pelbagai bencana dan penderitaan dalam pelbagai sudut. Sudahkah umat Islam di Malaysia sedar berbagai wajah malapetaka yang menimpa masyarakat sejak akhir-akhir ini?

Penurunan al-Qur’ān jelas memberi amaran kepada manusia akan sejarah umat-umat terdahulu yang membelakangkan ayat-ayat Allah s.w.t. sehingga mereka dijatuhkan bala bencana sebagai balasan menafikan kebenaran yang sudah ditunjukkan di hadapan mata dan kepala mereka. Peristiwa ini tidak mustahil akan berulang jika perkara yang sama dilakukan oleh masyarakat hari ini.

Mitos-mitos Pengkid

Jika ditanya kepada masyarakat umum, ramai yang akan membuat andaian bahawa budaya pengkid ini lahir daripada kisah putus cinta antara lelaki dan perempuan. Setelah itu, perempuan tersebut tertekan lalu menjadi pengkid kerana lebih mudah untuk berhubungan tanpa berisiko untuk dipermainkan oleh lelaki berhidung belang.

Ada juga beberapa mitos pengkid yang bermula akibat asuhan ibubapa di rumah yang mengenakan pakaian lelaki kepada anak perempuan atau tidak menghiraukan anak perempuan mereka yang suka berpakaian lelaki. Semua ini benar dan terbukti dalam menyuburkan budaya pengkid dalam masyarakat tetapi punca-punca ini adalah punca picisan yang hanya membaja fahaman pengkid.

Punca utama kelahiran budaya yang merosakkan ini adalah daripada kegagalan menanam kefahaman aqidah yang sahih ke dalam diri setiap manusia. Al-Qur’ān secara jelas merakam kisah golongan homoseksual yang dilaknat lalu dihukum dengan azab yang sangat hina. Namun, berapa ramai umat Islam yang benar-benar menghayati kisah ini sebagai panduan hidup masa kini? Seorang muslim yang bersungguh-sungguh berpegang kepada aqidah yang sahih langsung tidak akan terpedaya dengan timbulnya perasaan ‘pelik’ dalam diri tatkala melihat jantina yang sama sebagai tempat melempiaskan nafsu serakah.

Pengkid juga digambarkan sebagai lebih memahami wanita yang bermasalah dalam percintaan berbanding lelaki. Kenyataan ini ada benarnya kerana pengkid juga adalah wanita! Namun, jika dikaji lebih mendalam, alasan bahawa pengkid lebih memahami wanita adalah batu loncatan semata-mata dalam membuka jalan yang lebih mudah untuk memuaskan nafsu seks tanpa sekatan. Malah, masyarakat akan memandang pelik apabila wanita yang tinggal serumah atau sebilik disabitkan kesalahan sosial walaupun salah seorang daripada mereka adalah pengkid.

Lambakan hiburan dan budaya seronok (hedonisme) yang disiarkan dalam media massa menjadi satu cabang utama kelahiran budaya jijik ini yang perlu dicantas serta-merta. Kehidupan yang berteraskan material dan kepuasan perasaan diri individu yang dipamerkan dalam televisyen terutamanya, menggalakkan pembiakan budaya pengkid dalam kalangan kanak-kanak serta remaja sekolah. Malah, dalam salah satu drama ‘Islamik’ Indonesia yang ditayangkan di televisyen, watak Olivia sebagai seorang perempuan ditonjolkan menjadi lelaki bernama Ruben dalam babak penyamaran jantina.

Penyuburan kemungkaran yang halus di dalam media sebegini harus diberi perhatian serius oleh semua peringkat masyarakat! Sesuatu perlu dilakukan sebelum nasi menjadi bubur.

Membetulkan Salah Faham Pengkid

Islam mengiktiraf ‘khunsa’ iaitu dari segi syarak bermaksud seseorang yang diragui jantinanya sama ada mempunyai kedua-dua alat kelamin, tiada langsung atau ada alat kelamin lelaki tapi batinnya perempuan atau sebaliknya. Pengiktirafan ini menunjukkan Islam memandang golongan khunsa sebagai manusia normal tetapi dalam beberapa sudut seperti ibadat, golongan ini diberi penetapan khas.

Contohnya penetapan posisi mereka dalam solat sudah ditetapkan oleh jumhur ulama’ yang menyatakan bahawa khunsa mesti berada di saf ketiga selepas dewasa dan kanak-kanak lelaki. Saf di belakang golongan khunsa adalah wanita.

Namun masyarakat harus memberi perhatian serius terhadap isu pengkid dan maknyah yang meniru lagak jantina berlawanan. Golongan ini tidak dikategorikan sebagai khunsa dan hukumnya jelas adalah haram di sisi Islam kerana mengubah kejadian fitrah diri manusia. Bukan sahaja lagak yang ditiru, malah sebenarnya golongan ini membawa pemikiran penyair wanita Greek purba iaitu Sappho.

Islam sama sekali tidak membenarkan budaya yang keji ini untuk bertapak subur dalam masyarakat atas alasan merosakkan aqidah. Allah s.w.t. memberi amaran keras kepada manusia menerusi al-Qur’ān dengan merakamkan kisah kaum Nabi Lut supaya umat Islam sentiasa mengingati dan mengambil ibrah atas peristiwa yang berlaku terhadap kaum terdahulu. Ternyata orang yang masih mempertahankan naluri jijik sebegitu langsung tidak beriman serta mengamalkan apa yang dibawa oleh al-Qur’ān! Na‘uzubillah.

Kebanyakan pengkid akan menggunakan alasan naluri semulajadi yang timbul dalam diri secara tidak sedar atau akibat suasana masayarakat sekeliling. Putus cinta, salah didikan ibubapa, pengaruh kawan, sifat ingin mencuba, seks pengkid lebih selamat kerana tidak mengandung, pengkid lebih memahami wanita, adalah antara alasan kosong yang sengaja ditimbulkan untuk memberi lampu hijau kepada kemudahan golongan ini dalam memperluaskan jajahan maksiat mereka.

Persoalan seterusnya adalah kesan budaya pengkid yang boleh menyebabkan gejala sosial seperti lari dari rumah, hedonisme yang berlebih-lebihan sehingga meleret kepada arak dan dadah, dan juga perceraian suami isteri! Lupakah kita bahawa pengkid pernah menggemparkan tanah air ini apabila melarikan diri bersama seorang isteri yang sudah pun mempunyai anak? Kerosakan rumahtangga sebeginilah yang boleh menimbulkan lagi lebih banyak gejala sosial yang merosakkan sistem kehidupan manusia.

Saya sangat terkilan tatkala membaca temubual beberapa pengkid Islam di dalam Harian Metro yang mencemuh ulama’ seperti kawan mereka sendiri. Alasan-alasan akal berlandaskan nafsu serakah semata-mata dapat dilihat daripada kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka ini. Para alim ulama’ harus dijadikan kawan sebagai tempat rujukan segala permaslahan hidup, bukannya melayan ulama’ seperti kawan sendiri!

Falsafah Kebahagiaan Lesbian

Walaupun golongan pengkid tidak pernah menelaah karya-karya Sappho secara serius, atau mengkaji falsafah lesbian yang dibawanya, asas ideologi ini tumbuh daripada akar yang sama iaitu bertuhankan rasional akal sambil berlapikkan nafsu seks semata-mata.

Perkataan ‘lesbian’ yang digunapakai hari ini adalah terbitan daripada nama pulau Lesbos yang didiami oleh Sappho sekitar tahun 625 hingga 570 sebelum Masihi. Sappho mengukir perasaan ‘cintanya’ kepada wanita melalui ayat-ayat indah dalam sajaknya. Malah, sejarah lesbian terawal ketika itu bermula setelah Sappho menjalinkan hubungan serius dengan murid perempuannya.

Tomboi dan pengkid sebenarnya adalah peringkat bertatih sebelum tiba ke peringkat lesbian yang lebih sejati di mana wanita lesbian adalah wanita dalam bentuk wanita sebenar tetapi bernafsu kepada wanita lain. Mengapa tomboi dan pengkid selalunya dilihat di Malaysia tetapi tidak di Barat?

Di Malaysia, budaya ketimuran yang dipenuhi dengan adab dan sopan masih kuat dipegang. Malah, sandaran Islam sebagai agama rasmi persekutuan Malaysia menjadi teras kukuhnya asas akhlak serta moral masyarakat di Malaysia. Walaupun fahaman sekularisasi dan juga liberalisasi Islam kian merebak dalam setiap nadi masyarakat Islam di Malaysia, beberapa perkara dasar yang lain seperti penukaran jantina dan perkahwinan sesama jantina masih dianggap tidak bermaruah. Tidak mustahil suatu hari nanti masyarakat di Malaysia akan menerima budaya lesbian dan perkahwinan sesama jantina ini sebagai norma hidup iaitu setelah fahaman sekularisasi dan liberalisasi Islam merebak pantas dalam institusi kekeluargaan dan keagamaan.

Di Barat, budaya lesbian ini diterima pakai akibat sikap individualistik yang begitu subur oleh setiap rakyatnya. Setiap perbuatan rakyat langsung berlandaskan seseorang individu di mana hak seseorang manusia bergantung atas dirinya sendiri. Maka, setiap naluri ingin mencuba sesuatu yang baru walaupun bercanggah dengan nilai moral manusia dianggap baik atas alasan membenarkan hak individu terbabit untuk berkelakuan. Sifat ini ternyata sangat berlawanan dengan budaya kemasyarakatan di Malaysia.

Apabila sikap seseorang individu dianggap hak seseorang individu, maka lesbian dengan mudah terima oleh masyarakat Barat. Jika analogi dibuat, lesbian adalah makam tertinggi golongan pengkid. Bezanya, pengkid di Malaysia boleh dikategorikan sebagai peringkat permulaan lesbian sebelum menyambung peringkat tengah kepada lesbian dan seterusnya peringkat seksual tertinggi iaitu biseksual (bernafsu seks kepada lelaki dan wanita).

Jika dilihat dengan teliti, permulaan lesbian bukannya terjadi secara tiba-tiba tetapi didahului dengan luahan perasaan ‘pelik’ kepada kaum sejenis. Apabila luahan tersebut tidak bertepuk sebelah tangan, maka kedua-dua individu tadi akan memulakan hubungan yang serius. Namun, apakah saripati budaya jijik ini? Jawapannya, kepuasan biologi tubuh (jasadi) semata-mata.

Islam langsung tidak meletakkan keperluan jasadi sebagai matlamat puncak kepada kebahagiaan. Malah, makna kebahagiaan dalam Islam merangkumi aspek yang sangat teras dan mencakupi sudut dalaman (batiniah) diri manusia iaitu kebahagiaan di dunia dan di Akhirat. Kebahagiaan yang dimaksudkan ini menjadikan Akhirat sebagai tujuan hidup di dunia.

Kebahagiaan dunia dalam pandangan Islam pula bukanlah dari sudut material atau jasadi semata-mata, tetapi dalam ertikata kebahagiaan rohani dan akhlak yang ditumbuh subur atas aqidah yang dibajai dengan ketaqwaan yang benar. Sejarah pembukaan dan perkembangan kota Madinah di bawah kepimpinan Rasulullah s.a.w. membuktikan betapa sejahteranya hidup manusia apabila berlandaskan Islam. Maka, garis jelas inilah yang memisahkan pemikiran dan adab hidup masyarakat Islam dengan selainnya.

Menurut Imam al-Ghazali, kebahagiaan yang hakiki adalah ilmu pengenalan mengenal Allah s.w.t. (ma‘rifatullah).

Seks Halal

Secara semulajadi, fitrah diri manusia memerlukan pasangan hidup sebagai pelengkap kebahagiaan diri serta kemandirian generasi yang seterusnya. Malah, hubungan seksual juga secara saintifik menunjukkan kitaran hormon manusia menjadi lebih stabil dan melancarkan sistem biologi tubuh. Maka, perkahwinan menjadi salah satu keperluan manusia sebagai pintu kepada hidup berpasangan.

Islam membenarkan seks antara lelaki dan wanita. Namun, pengiktirafan hubungan ini wajib disalurkan melalui akad nikah yang sah. Hubungan seks yang tidak melalui proses ini dijatuhkan hukuman haram dan berdosa. Malah, hubungan seks suami isteri adalah ibadat jika melalui perkahwinan dan didasari hukum-hakam yang dibawa oleh Islam. Di dalam sebuah hadith, ketika Rasulullah s.a.w. ditanya tentang persetubuhan, baginda menjawab, “sebagaimana seseorang itu berdosa apabila melakukan atas perkara yang haram, dia juga akan memperoleh pahala jika dilakukan atas perkara yang halal”.

Perkahwinan itulah yang menghalalkan hubungan seks. Lebih terperinci lagi, perkahwinan antara lelaki dan perempuan.

Walaupun percintaan antara lelaki dan wanita seringkali dianggap puncak kepada perasaan kasih sayang yang sering ditonjolkan oleh media massa, harus diingat bahawa Islam meletakkan cinta kepada Allah s.w.t. sebagai cinta teragung dan menyeluruh dalam segala tindak-tanduk seharian. Dengan itu, segala hukum-hakam serta syari‘at Islam diberi keutamaan paling tinggi dalam meletakkan manusia sebagai hamba kepada Allah s.w.t. hatta dalam persoalan cinta.

Katagender dan Food-Not-Bombs

Demonstrasi Katagender dan Food-Not-Bombs boleh dilihat sebagai kesilapan umat Islam di Malaysia dalam menyampaikan faham Islam yang sebenar. Pengeluaran fatwa pengharaman pengkid bukanlah jatuh kepada semua kaum di Malaysia tetapi tertakluk hanya kepada masyarakat yang beragama Islam.

Dalam demonstrasi tersebut juga, kumpulan ini dilihat seperti ‘menang sorak, kampung tergadai’. Isu pembelaan hak wanita yang digembar-gemburkan kumpulan ini ternyata tersimpang jauh daripada matlamat yang sebenarnya. Pengharaman pengkid sama sekali tidak menindas kaum wanita di Malaysia, malah membela nasib kaum wanita apabila mengawal unsur-unsur tidak sihat yang mula menjangkiti rakyat Malaysia saban hari.

Kecetekan ilmu juga dapat dilihat tatkala kumpulan ini melaungkan slogan-slogan yang agak kelakar. Contohnya, ‘pengkid bukan jenayah’, ‘nenek saya berambut pendek, ada masalah?’, dan sebagainya.

Takrifan pengkid bukanlah berambut pendek semata-mata, tetapi pemikiran serta budaya tidak sihat yang dibawanya. Malah, di dalam Islam, wanita-wanitanya dituntut memakai tudung secara sempurna walaupun ramai wanita Islam hari ini berambut pendek. Jika dilihat dengan penuh berhikmah, pemakaian wanita Islam yang sempurna sama sekali menyekat mana-mana wanita daripada berkelakuan lelaki akibat had pergerakan yang terhasil daripada menutup aurat.

Asas pengharaman pengkid bukan bermakna meletakkan pengkid dalam kategori jenayah, tetapi menyekat dan membanteras pemikiran dan budaya jijik yang dibawa. Islam sama sekali tidak membuka jalan ke arah kerosakan aqidah serta akhlak, maka pintu utama ke jalan tersebut perlu ditutup serta-merta.

Mengapa isu pengeksploitasian wanita secara globalisasi melalui syarikat berlian De Beers tidak dijadikan asas perjuang kumpulan ini? Mengapa penindasan dan kerosakan wanita melalui pelacuran tidak dibela? Isu-isu sebegini yang harus diberi perhatian oleh Katagender dan Food-Not-Bombs, bukan isu pengharaman pengkid. Ternyata sekali asas kumpulan ini bukanlah menegakkan hak asasi wanita, tetapi sengaja mempolemikkan keharmonian masyarakat Islam di Malaysia.

Apa Perlu Buat?

Pengharaman pengkid sepatutnya dilihat sebagai salah satu usaha pembaikan masyarakat yang harus digembeleng bersama, bukan sebagai satu hukuman keras ke atas golongan ini sehingga menyingkirkan mereka daripada masyarakat. Kajian komuniti terhadap golongan ini seperti punca utama, punca perkembangan, kesan-kesannya terhadap aqidah umat Islam, kesan-kesannya terhadap institusi kekeluargaan di Malaysia, dan sebagainya seharusnya diberi perhatian serius.

Pendekatan program Latihan Aktivis Dakwah dalam Isu-isu Sosial (LANDAS) yang digunapakai oleh Urusetia Menangani Gejala Sosial[2] (UNGGAS) yang berpusat di Kedah sewajarnya diambil iktibar. Remaja yang bermasalah sama sekali tidak dihukum malah dikaunseling secara terbuka dan lembut ketika aktiviti ini dijalankan. Pendekatan ke akar umbi masyarakat sebegini membuka mata ramai peserta yang hadir sehingga menjadi salah satu program bulanan yang dianjurkan oleh UNGGAS.

Pemahaman tentang isu-isu masyarakat secara langsung boleh membuka mata masyarakat betapa seriusnya kebejatan sosial yang berlaku sehingga merosakkan aqidah umat Islam. Andaian-andaian sesat tentang kebaikan pengkid harus ditolak serta-merta dan cara yang terbaik adalah dengan mendekati golongan ini di dalam masyarakat.

Apabila masyarakat lebih suka berada di hadapan televisyen menonton drama, gemar bersiar-siar ke tempat-tempat peranginan yang menarik, sehingga mereka ini buta realiti masyarakat, maka lahirlah salah faham terhadap beberapa isu-isu penting yang membelenggu masyarakat.

Hentikan Islam Liberal Serta-merta!

Kesan-kesan kerosakan pemikiran yang dibawa oleh kumpulan liberalisasi Islam nampaknya sudah menghasilkan generasi yang berpemikiran seperti mereka. Pembelaan hak asasi manusia adalah antara medium utama yang menjadi sandaran golongan ini dalam membawa virus liberal sehingga simptom-simptom kepincangan aqidah jelas kelihatan saban hari.

Saya menyeru pihak yang berkewajipan memberi perhatian serius membanteras penyebaran fahaman Islam Liberal ke dalam masyarakat yang menggunakan media massa, manipulasi pendidikan agama, dan sekularisasi makna kebaikan dalam Islam sebagai pengisian-pengisian utama fahaman ini. Usaha ini sudah lama digembeleng serius oleh Persatuan Ulama’ Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP) yang banyak membantu UNGGAS. Namun, masyarakat juga harus sedar dan berusaha mencegah fahaman sebegini daripada merebak sekadar termampu.

Semoga Islam masih lagi bertapak di dalam diri manusia di Malaysia tanpa dipesongkan oleh golongan Islam Liberal yang licik berdakyah dalam masyarakat.


[1] Kisah ini diceritakan di dalam al-Qur’ān dengan jelas dalam surah Hūd (surah ke-11), ayat 77 hingga 83.

[2] Maklumat lanjut di http://www.urusetialandas.blogspot.com/

Read More...

Selasa, 11 November 2008

MEREKA MEMANG KUAT LANDAS


Mereka Memang Kuat
LANDAS

Oleh Salman Siddiqiy bin Mohd Azmi

Tarikh :10 Zulkaedah 1429 / 8 November 2008 (Sabtu)

Peserta :Ustaz Kamaruddin Kassim

Salman Siddiqiy Mohd Azmi

Abu Muslim

Mohd Sofi

Tempat : Bangunan PKNK (Stesyen Bas) dan Centrel Square

Ketibaan Ustaz Kamaruddin ke Masjid Sultan Muzaffar Syah, Sg Petani, kami sambut dengan membalasnya ucapan salamnya serta senyuman tanda kasih. Jam menunjukkan tepat 11.30 pagi, seperti yang dijanjikan. Kereta Kelisanya diparkir tidak jauh dari tempat duduk kami.

“Mana yang lain ?” Soalan pertama sang ustaz.

“Tak dapat datang, ustaz.. Ramai yang sedang menghadapi peperiksaan..” jawab kami.

Dia mengangguk, tanpa sebarang reaksi pada wajah tuanya. Dia seperti sudah menjangka.

“Insya Allah, mereka akan datang diprogram akan datang nanti..”

“Apa tu ?” Dia merujuk kepada bahan yang terpapar diskrin komputer bimbit kami.

“Oh, ini kami download dari website LANDAS.. Gambar-gambar program yang kami tak sempat ikut.. Artikel Kak Wan ( aktivis SAM).. Macam-macam lagilah..”

“Baguslah..” Perlahan-lahan dia duduk disamping kami. “Baru-baru ni program di Masjid Abu Bakar as-Siddiq, Bakar Arang dan Langkawi dihadiri juga Dr. Hamdan (EXCO Belia dan Sukan, Kedah)..”

“Ustaz, apa pandangan dia tentang CS tingkat 5 ?”

Sang ustaz menggegeleng. “Banyak birokrasi dengan majlis perbandaranlah.. Itulah, inilah.. Macam-macamlah alasan.. Masing-masing pula kerja mengikut ‘office hour’.. Tak sempat memikirkan tentang apa yang sedang berlaku..”

Kami tercengang mendengarnya. Aik, beginikah cara kerja parti Islam ??

“Kelmarin saya terserempak dengan Cikgu Abdullah (EXCO Pendidikan Kedah) bersama keluarganya sedang berbelanja di TESCO.. Sementara keluarganya membeli belah, kami berdua bersembang mengenai realiti remaja di Sungai Petani, hampir setengah jam jugalah.. Dia kelihatan sangat perihatin.. Saya pun ajaklah dia menyertai program pada hari ni, tapi katanya dia tak sempat..”

Kami tersenyum. Tentulah seorang exco ada jadual tersendiri yang padat.. Masakan kita boleh jemput secara mendadak.. Tapi dia ada tak memberitahu tarikh kosongnya ?

“Saya pun kecewa dengan penceramah-penceramah kita sekarang.. Merekapun turut kelihatan perihatin.. Tapi bila diajak untuk bergaul dengan pewaris-pewaris Islam yang semakin hari semakin rosak ni, mereka seperti mengalami suatu kejutan, lalu dinyatakanlah jadual ceramahnya disana-sini.. Akhirnya mereka tetap tak dapat pergi..”

Kami mengeluh kecewa, walau sebelum ini kami benar-benar kagum dengan para penceramah yang dimasukkan itu. Rupa-rupanya, mereka seronok berada di ‘zon selesa’.

“Walhal selama ni, ceremah mereka bukannya sampai kepada golongan yang memerlukan, tapi golongan yang ‘sudah sedia baik’.. Disinilah ana harap ada perubahan..”

Sebenarnya keluhan seperti ini sudah sering kami dengar. Dan kali ini kami terus mendengar dari orang yang sama, Ustaz Kamaruddin. Nampaknya dia istiqomah dalam perjuangannya.

“Oh ya ustaz, kelmarin semasa mesyuarat TEGAS (Badan Bertindak Menangani Gejala Sosial Sungai Petani), kami putuskan untuk mengadakan Seminar Gejala Social pada 14 Disember 2008 di PUSBA (Pusat Saudara Baru).. Salah seorang pembentang kertas verja ialah ustaz.. Selain tu, kami nanti mahu berbincang dengan ustaz tentang rumah tu..”

Dia terus mengangguk faham. Kami memaksudkan rumah berwarna oren yang terletak bersebelahan Taman Jubli Perak, yang diberi kerajaan Kedah bagi tujuan menjadi pusat para remaja bermasalah berkongsi masalah selain tempat mereka berkumpul dan melakukan aktiviti berfaedah. Namun ia dalam keadaan sangat menyedihkan dek kerana lama ditinggalkan, tiada elektrik dan air dan penuh dengan sampah sarap dan lalang selain berbau busuk.

Sebetulnya, kami telah bergotong-royong membersihkannya pada 5 bulan yang lalu. Tapi oleh kerana tiada bekalan air dan elektrik, bangunan itu tetap tak dapat digunakan dan terus terbiar, kembali kotor dan lalang naik lagi melampaui ketinggian kami.

Ketika ini, sang ustaz mengeluarkan telefon bimbitnya. Punat ditekan-tekan.

“Kalau ustaz setuju, kami nak mencari mana-mana jutawan agar dapat membiayai kos wiring dan sebagainya.. Jadi tak perlu lagi kita mununggu peruntukan dari kerajaan negeri.. Lambat.. Kami berharap ia segera dapat beroperasi..”

Ustaz Kamaruddin tersenyum. “Tak perlu, saya baru teringat janji saya dengan seorang jutawan untuk melihat-lihat rumah tu pada hari ni.. Insya Allah dia akan membantu sedaya upaya..”

Kami berempat dalam perjalanan ke perhentian bas, lokasi pertama tujuan utama pada hari ini. Penulis terkenang-kenang rumah orang kaya tadi, besar dan mewah bagaikan istana dengan empat buah kereta mewah pelbagai warna tersusun rapi dihalaman.

“Insya Allah, dalam seharí dua lagi saya akan menghantar kontrekter melihat dan meletakkan estimet bagi membaik pulih rumah ni..” janji orang kaya itu ketika kami singgah melawat. Semoga Allah memberkati kekayaannya.

Kereta Kelisa berjaya diparkir setelah melalui kesibukan kota raya yang dikatakan akan menggantikan Alor Setar sebagai ibu negeri, sementara Alor Setar akan menjadi bandaraya diraja. Wallahualam, mungkin itu hanya khabar angin.

Kami mengelilingi tingkat atas bangunan PKNK, stesyen bas Sungai Petani. Waktu satu tengahari tepat. Tiada remaja melayu yang melepak seperti yang kami temui pada program-program lepas. Alhamdulillah. Tapi kami mungkin datang terlalu awal.

Seorang mak cik bertubuh gempal melihat kami dengan curiga, sambil membuka meja dihadapan premis perniagaannya. Papan tanda diatas tertulis : Rubiah Tukang Jahit.

“Hang pa ada apa ni ?” dia menegur.

“Saja jalan-jalan, cari ‘adik-adik’ yang tak balik rumah..” kami tersenyum mesra.

“Baguslah tu.. Macam baru-baru ni ada seorang budak berhari-hari tak balik rumah.. Bila mak dia jumpa kat sini, tangannya dikepit supaya tidak lari sebelum diserahkan kepada polis..”

Perbualan kami tamat disitu. Kami kemudian terjumpa tin kecil kosong yang tertulis ‘Rubber Cement’.

“Ini gam yang telas habis dihidu ?” teka penulis.

“Isy, gam yang suka dihidu budak-budak adalah gam tayar, bukan gam ni..” sanggah Abu Muslim. Ayahnya mempunyai kedai bahan-bahan binaan, jadi dia tentu lebih tahu.

“Bukan begitulah, gam jenis ni pun dihidu !” Ustaz Kamaruddin membuat pembetulan.

Abu Muslim tercengang. “Tapi bau gam ni sangat kuat,” dia berbisik.

Kami terjumpa pula botol arak yang tertulis ‘Likeur Cap Buluh’. Hanya perkataan ini sahaja yang berbahasa Melayu, yang lain bahasa Thailand. Kandungan alkoholnya 22 peratus.

Kami kemudian menuju ke Central Square. Kelihatan beberapa remaja lingkungan 9-13 tahun melintas jalanraya menuju kesana. Mereka kelihatan sangat teruja melihat bangunan oren yang gah berdiri itu.

Ditingkat lima kompleks membeli-belah itu, penuh sesak dengan orang ramai, kebanyakkannya orang-orang muda. Suasana hingar bingar dengan bau asap rosok dimerata tempat. Disitu terdapat pusat wayang, bowling, karaoke dan permainan video (empat elemen yang sangat berjaya menarik perhatian para pemuja dunia). Segelintir perempuan Melayu disana berpakaian yang sangat menjolok mata.

Kami berpecah sementara. Melalui dihadapan karoeke-karoke kecil pasti membuatkan kepala kita tergeleng-geleng. Semuanya Melayu. Bangsa lain tak pandai menyanyikah ? Ada yang melompat-lompat, terpekik-pekik, berpeluk-pelukan.

Penulis mencari-cari ‘adik-adik’ yang pernah menjadi subjek nasihat pada program-program sebelum ini. Malangnya tiada seorang pun yang penulis kenal. Dimana ‘pengunjung-pengunjung setia’ yang lama ini pergi ? Apakah mereka sudah insaf dan tidak kesitu lagi ? Ditempat-tempat makan pun tidak ada.

Akhirnya kami ternampak salah seorang yang kami cari. Dia melambai dari jauh.

“Assalamualaikum..” kami menyambutnya.

“Waalaikumussalam..”

“Apa khabar ?”

“Sihat..”

“Baru bangun dari tidurkah ?”

Dia tersenyum-senyum. Kami ketawa mesra.

“Mana yang lain ?”

“Sekejap lagi sampailah mereka tu..”

“Dengar cerita ; jumaat pada minggu lepas, sini diadakan pertandingan menari shaffel, betulkah ?” Kami cuba mengorek cerita.

Dai mengangguk. “Fuh masa tu, ramai betul orang..”

“Berapa peserta ?”

“Pada asalnya 70 orang.. Tapi setelah ditapis dan peserta baru diutamakan, hanya 30 orang saja yang layak..”

“Fuh, itu dah kira ramai la tu..” kami agak terperanjat. “Mula jam berapa ?”

“Dari pagi sampai petang ?”

Sampai petang ? Ketika tu hari jumaat, jadi ada tak yang solat jumaat ? Kami tertanya-tanya. Pasti ada agenda Yahudi. “Pendaftaran berapa ringgit ?”

“RM 10..”

“Johan dapat berapa ringgit ?”

“RM 200.. Yang lain dapat saguhati..”

Lalu kami terfikir : perolehan penganjur dari yuran pendaftaran hanya RM 300 tanpa sebarang tajaan dari mana-mana pihak. Jadi dari mana mereka mendapat wang untuk hadiah ?

“Jom kami belanja makan..” kami mengajak.

Pewaris bangsa itu tersipu-sipu malu walau akhirnya tidak menolak. Kami terserempak pula dengan seorang ‘kenalan lama’. Seluarnya terkoyak dilutut, fesyen. Katanya baru pulang dari Alor Setar dengan rakan-rakan yang lain. Mereka tidak menaiki bas, tapi berjalan kaki selama dua hari ! Mereka memang ‘kuat’. Bagaimana dengan kita ?!

Kami sempat bersembang dan berazam sesama bahawa perlunya diterbitkan buletin mingguna agar dapat diedarkan kepada orang awam setiap solat jumaat agar dapat mencetuskan kesedaran dan tindakan.

Kami berempat bertolak pulang pada jam 3.30 petang. Pulang membawa harapan.

Read More...
 

Pengikut