LANDAS

Chicklet Chooser

Add to Google Reader or Homepage

FeedBurner FeedCount

Cari Blog Ini

Jumaat, 15 Ogos 2008

STRATEGI DAKWAH KPD MASYARAKAT INDIA

STRATEGI DAKWAH KEPADA MASYARAKAT INDIA


Kertas kerja ini disediakan untuk membantu para pendakwah supaya dapat mengenali latar belakang keagamaan, kebudayaan dan kepercayaan masyarakat India di Malaysia. Perbincangan di dalam kertas kerja ini di fokuskan kepada masyarakat India yang menganut agama Hindu supaya para pendakwah dapat mengaplikasikan teknik dakwah yang khusus dan berkesan.

1.0 PENDAHULUAN

Migrasi masyarakat India ke Malaysia berlaku secara besar-besaran di awal abad ke 18. Sebahagian besar daripada mereka telah dibawa masuk oleh penjajah British untuk bekerja di sektor perladangan dan sebahagian lain pula bekerja sebagai buruh yang terlibat dalam pembinaan jalan raya dan jalan keretapi.

Dari jumlah penduduk Malaysia seramai 23.27 juta orang (2000), hampir 9% atau 2.0 juta orang terdiri daripada orang-orang India. 70% dari masyarakat India di Malaysia adalah berketurunan Tamil. Selebihnya terdiri daripada keturunan Telegu, Malayalee, Punjabi, Bengali dan Ceylonese Tamil. Hampir 80% daripada masyarakat India di Malaysia menganut agama Hindu.

2.0 PENGENALAN KEPADA AGAMA HINDU

Perkataan Hindu tidak ada di dalam kitab-kitab agama Hindu yang awal. Agama Hindu pada mulanya dikenali dengan nama Sanadhana Dharma (agama yang kekal). Penganut Hindu percaya kepada banyak dewa dan dewi yang jumlahnya sehingga ke 330 juta.

Agama Hindu telah disusun semula ke dalam enam mazhab (sub sects) yang besar oleh Athi Sankara Chariya yang mana setiap mazhab mempunyai dewanya tersendiri. Keenam-enam dewa ini pula dikatakan berasal dari Brahman (sumber) yang sama. Mazhab-mazhab tersebut adalah Sowram iaitu pemujaan matahari, Saivam bertuhankan Siva, Kowmaram bertuhankan dewa Subramaniam, Vaishnawam bertuhankan Vishnu, Ganapathiyam bertuhankan dewa Ganapathy dan Saaktham bertuhankan Sakthi (tuhan wanita). Semua mazhab mempunyai pengikut masing-masing kecuali Sowram. Setiap mazhab mempunyai cara beribadah, pemujaan dan mantra tersendiri.

Selain daripada itu, terdapat Trimurthi atau rangkaian tiga tuhan iaitu Brahma, Vishnu dan Siva. Setiap tuhan mempunyai tugas masing-masing iaitu Brahma tuhan yang mencipta, Vishnu tuhan yang memberi perlindungan dan Siva tuhan yang menghancurkan. Dinyatakan dalam kitab Hindu, Chandogya Upanishad (Chap 6 Sec 2 Verse 1) Ekam Evad Vitiyam yang bermaksud “Dia hanya satu dan bukan dua”. Dalam Rig Veda, Vol.6,45:16: disebut "There is only One God, worship Him."

Konsep ketuhanan Hindu berasaskan kepada penyembahan patung dan berhala yang mempunyai beberapa ciri tertentu. Ada tuhan disembah berupa manusia (seperti Rama, Subramaniam, Krishna, dll), haiwan (monyet, lembu, ular, dll) dan alam semula jadi (api, matahari, gunung-ganang, dll). Shwetashvatara Upanishad 4:19 menyatakan Na tasya pratima astiyang bermaksud “Tidak ada wajah atau rupa bagiNya”. Manakala dalam kitab Panniru Thirumurai/Thevaram yang lazim digunakan oleh masyarakat Hindu di Malaysia disebut karpanai kadantha jothi KARUNAI yeh uruvam aagiyang bermaksud “Tuhan dalam bentuk Nur yang tidak dapat dibayang rupaNya, sifatNya berupa Rahman dan Rahim”.

Pada kepercayaan penganut Hindu, tuhan boleh menjelma menjadi manusia dan haiwan. Institusi ketuhanan Hindu sama seperti manusia, di mana mereka juga beristeri dan mempunyai anak. Walau bagaimanapun dalam kita suci awal agama Hindu, Shwetashvatara Upanishad 6:9 menyatakan na casya kas cij janita na cadhipah” yang bermakna “Dia tidak dilahirkan atau tidak melahirkan”.

Manakala lembu pula merupakan binatang yang suci dalam agama Hindu dan diharamkan membunuhnya. Sebaliknya terdapat bukti di dalam kitab Rig Veda lembu pernah dikorbankan dan dipanggang dalam upacara keagamaan. Matha, Pitha, Guru, Deva pula merupakan konsep ibadah yang penting.

Kitab-kitab suci agama Hindu yang penting adalah seperti Veda (iaitu Rig Veda, Yajur Veda, Soma Veda dan Atharva Veda), Upanishad, Mahabaratha, Bhagavadgita, Ramayana, Purana dan Tantaras serta kitab Panniru Thirumurai dan Thevaram.

Konsep ibadah dalam agama Hindu lebih kepada penyembahan berhala dan menyambut perayaan keagamaan seperti Deepavali, Ponggal, Thaipusam dll. Penganut Hindu percaya mereka akan dilahirkan semula setelah mereka mati. Walau bagaimanapun mereka tidak semestinya dilahirkan semula sebagai manusia. Ramai juga yang percaya tentang adanya syurga dan neraka.

Institusi sosial dalam agama Hindu banyak dipengaruhi oleh sistem kasta. Pada asalnya hanya terdapat empat kasta iaitu Brahmin, sudra, vyasa dan satria. Kemudian sistem kasta ini berkembang sehingga melebihi dua ribu kasta. Ada kasta yang bersandarkan pekerjaan turun temurun. Biasanya seseorang itu tidak boleh menukar kastanya. Akibat dari sistem kasta yang mendiskriminasi, adalah sukar untuk melihat kesamaan dan persaudaraan dalam masyarakat Hindu.

Wanita tidak mempunyai sebarang hak asasi. Sebelum berkahwin dia patuh kepada ibubapanya dan setelah berumah tangga terpaksa akur kepada suaminya. (Mahabharata 3:231.) Seorang wanita tidak boleh berkahwin semula setelah kematian suaminya. Wanita juga tidak boleh mewarisi harta keluarganya ataupun harta suaminya. Lazimnya wanita Hindu lebih suka mati sebelum suaminya mati.

3.0 KEBUDAYAAN MASYARAKAT INDIA

Masyarakat India merupakan satu kelompok manusia yang amat kaya dengan kebudayaan dan tradisi. Hampir kesemua amalan masyarakat India mempunyai nilai-nilai serta maksud yang tersirat. Namun kebudayaan dan keagamaan sering tidak dapat dipisahkan. Antara amalan-amalan yang popular di kalangan masyarakat India adalah seperti menyambut kelahiran, upacara memberi nama, menindik telinga, mencucuk hidung, meletak tanda pada dahi dan mencapai baligh. Selain itu makanan, perkahwinan dan kematian di kalangan masyarakat India juga berbeza dari kebudayaan masyarakat yang lain di Malaysia.

Pakaian tradisional masyarakat India adalah seperti sari, veesthi, pakaian Punjabi, gurtha dll. Pemakaian baju dan seluar moden diterima secara luas.

Memakan makanan di atas daun pisang merupakan salah satu adat asas masyarakat India. Daun pisang digunakan atas sebab kesihatan dan kebersihan. Manakala makanan popular orang India adalah seperti tosai, capatti, idli, vade, puri dll. Ramai orang-orang India mengamalkan pemakanan sayur-sayuran (vegetarian) di atas faktor keagamaan.

Pokok pisang mempunyai nilai tradisi yang tinggi. Biasanya pokok pisang digunakan di dalam upacara perkahwinan, menyambut hari kelahiran dan menyambut hari-hari kebesaran keagamaan. Pokok pisang melambangkan kesinabungan atau persaudaraan dan kesejahteraan yang berkekalan.

Salah satu daripada tradisi orang India adalah kolem iaitu lukisan di atas lantai. Perkataan kolem dalam bahasa Tamil membawa maksud indah atau cantik. Kolem juga menggambarkan perasaan seseorang. Kolem dibuat dengan tepung beras atau beras yang dibancuh dengan warna.

Memecah buah kelapa di upacara keagamaan dan keramaian membawa maksud untuk menyelesaikan segala kebuntuan dan masalah. Di samping itu kelapa juga dipecahkan dengan diiringi doa supaya tuhan menghancurkan ketakaburan seseorang seperti mana kelapa itu berkecai, dan menyucikan hati mereka seperti isi kelapa yang putih.

Membunyikan loceng di kuil dan memainkan alat-alat muzik seperti melam (gendang) dan nadaswara adalah bertujuan untuk menarik perhatian penganut Hindu terhadap tuhan mereka dan menjauhkan suara-suara yang sumbang dari didengar oleh tuhan.

Pottu atau meletak tanda bulat di dahi mempunyai fungsi sosial dan keagamaan. Tanda merah (kum-kum) adalah simbol Dewi Sakti, tanda kuning atau cendana membawa maksud Dewa Siva dan tanda hitam pula bertujuan menolak bala dan sihir. Tanda hitam juga melambangkan seseorang itu masih dara. Kini pelbagai warna digunakan untuk menyesuaikan diri dengan suasana dan keadaan. Biasanya abu putih diletak di dahi melambangkan kesucian.

4.0 TANGGAPAN PENGANUT AGAMA HINDU TERHADAP AGAMA ISLAM

i. Agama Islam adalah untuk mereka yang lahir di dalam keluarga Islam sebagaimana agama Hindu bagi mereka yang lahir dalam keluarga Hindu.

ii. Agama Islam dan agama Hindu adalah dari tuhan yang sama. Oleh itu kedua-dua agama ini adalah benar.

iii. Semua agama boleh diterima. Tidak salah seorang penganut Hindu mengamalkan ajaran agama lain termasuk Islam.

iv. Orang Islam yang megerjakan solat lima waktu, puasa dan haji serta mengamalkan sunnah dan berpegang teguh pada ajaran Islam kadang kala dilihat sebagai fanatik.

v. Akibat publisiti negetif oleh media barat, Islam dilihat sebagai agama keganasan. Kebanyakkan Negara Islam terlibat dalam peperangan.

vi. Orang Islam menyembah Kaabah. Orang Islam dilihat tawaf, rukuk dan sujud di hadapan Kaabah.

vii. Masyarakat Islam lemah/pasif dan sentiasa perlu dibantu. DEB dan RMKe9.

viii. Seseorang yang memeluk agama Islam akan dipaksa oleh orang Islam untuk meninggalkan keluarga dan kebudayaan asalnya.

ix. Satu kehinaan bagi keluarga apabila seseorang ahli keluarga memeluk agama Islam kerana dia tidak boleh menyertai upacara kematian keluarga Hindu.

x. Masuk Islam dilihat sebagai masuk Melayu. Pakai songkok dan baju Melayu serta bercakap dalam bahasa Melayu dan mengamalkan kebudayaan Melayu.

xi. Ajaran Islam menghina agama Hindu. Misalnya penyembelihan lembu secara besar-besaran. Lembu dianggap sebagai binatang yang suci.


5.0 KENAPA PERLU BERDAKWAH KEPADA MASYARAKAT HINDU

i Untuk memperkenalkan Islam kepada orang-orang Hindu sebagai agama yang sempurna.

ii. Untuk memberi gambaran yang baik tentang Islam supaya orang-orang Hindu bersikap positif terhadap Islam.

iii. Untuk menyampaikan Islam dengan hikmah supaya tidak mendatangkan perasaan takut.

6.0 PENDEKATAN DAKWAH KEPADA MASYARAKAT HINDU

i. Mengadakan dialog dan perjumpaan dengan pelbagai pertubuhan dan masyarakat Hindu seperti Persatuan Hindu Malaysia, Persatuan Belia Hindu, Kelab Bell Tamil, dll.

ii. Mengadakan kerjasama dengan pertubuhan Hindu dalam berbagai program dan perkara yang melibatkan kepentingan bersama seperti gotong-royong, Rukun Tetangga, kempen kesihatan, kem pendidikan, dll.

iii. Melakukan ziarah kepada masyarakat Hindu. Jika masyarakat Islam menziarahi rumah kematian orang Hindu atau menziarahi orang sakit, InsyaAllah, ia merupakan dakwah yang paling berkesan. Bawalah buah tangan untuk menambat hati mereka.

iv. Membantu masyarakat Hindu yang menghadapi pelbagai kesusahan seperti tidak mampu untuk menyara keluarga dan pendidikan anak-anak.

v. Mendedahkan masyarakat Hindu terhadap realiti sebenar ajaran agama Islam, samada dari segi ajaran, tamadun dan pencapaian ilmu pengetahuan. Boleh menggunakan kaedah sains untuk membuktikan kebenaran al Quran.

vi. Penerangan dan penyebaran maklumat Islam perlu dibanyakkan dalam bahasa ibunda, misalnya dalam bahasa Tamil.

vii. Sistem institusi kewangan Islam seperti perbankan, pajak gadai dan takaful perlu dijelaskan untuk menarik minat masyarakat Hindu terhadap agama Islam.

viii. Pendakwah perlu memahami sosio-budaya serta pemikiran masyarakat Hindu yang menjadi sasaran dakwah. Supaya tidak menimbulkan sebarang reaksi yang negetif.

ix. Memanjangkan masa siaran radio dan TV Islam dalam bahasa Tamil. Beri peluang yang lebih luas kepada saudara baru India untuk muncul di kaca TV.

x. Menyelitkan rancangan-rancangan bercorak propaganda untuk menarik orang-orang Hindu kepada Islam. Misalnya bukti-bukti dari kitab Hindu yang menolak penyembahan berhala serta bukti-bukti dalam kitab Hindu tentang kedatangan Nabi Muhammad s.a.w.

xi. Agensi-agensi kerajaan perlu mengadakan penerangan secara terus terang berkaitan agama Islam. Kaedah ini memberi lebih banyak maklumat kepada masyarakat.

xii. Jangan sesekali sentuh isu kasta atau mempersendakan tuhan Hindu di hadapan penganut Hindu kerana ianya boleh mencetuskan keadaan ketegangan.

xiii. Mencampurkan pelajar/mahasiswa Hindu untuk tinggal bersama pelajar Islam di asrama di pusat pengajian tinggi. Dengan kaedah ini konsep ibadah dan akhlak Islam dapat dikenalkan kepada pelajar Hindu.

xiv. Pamerkan akhlak yang terpuji dan tawanlah kepercayaan mereka terhadap agama Islam.

xv. Jangan memperkecilkan agama Islam atau pemimpinnya di hadapan orang-orang Hindu. Misalnya mengatakan ‘hudud itu zalim’ atau menghina Nabi Muhammad s.a.w. Masyarakat Hindu tidak akan menghormati agama Islam di masa akan datang.

xvi. Jangan panggil orang Hindu dengan panggilan ‘keling’, ‘Hindu’, ‘India’, ‘pariah’ dsb. Adalah sukar untuk menambat kembali hati mereka sekiranya perasaan mereka tidak diambil kira.

xvii. Anjurkan kelas bimbingan bagi pelajar Hindu di estet dan di kawasan setinggan. Klinik bergerak NGO Islam perlu kerap ke kawasan-kawasan ini.

xviii. Jangan hidangkan daging lembu kepada orang-orang Hindu. Cuba elak dari makan daging lembu bila kita makan bersama mereka.

7.0 KESIMPULAN

Semoga kerta kerja ini dapat membantu kita untuk mengenali kepercayaan dan kebudayaan orang-orang India di Malaysia. Di samping itu membuka jalan untuk berdakwah kepada mereka. Adalah menjadi harapan penulis agar kita dapat mengekalkan perpaduan dan keharmonian pelbagai kaum dan agama di Negara kita dan pada masa yang sama kita memperkenalkan budaya dan agama kita kepada mereka. Semoga perjumpaan kita ini dirahmati Allah s.w.t. Amin.

fitriabdullah@hotmail.com

76, Jalan Angsana
Taman Idaman
48200 Serendah
Selangor
012-3159262.

0 ulasan:

 

Pengikut